UCAPAN PENGGULUNGAN YAB KETUA MENTERI TUAN LIM GUAN ENG

UCAPAN PENGGULUNGAN YAB KETUA MENTERI TUAN LIM GUAN ENG
PERSIDANGAN DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG MESYUARAT KEDUA PENGGAL KETIGA
DEWAN UNDANGAN NEGERI KETIGA BELAS

Yang Berhormat Dato’ Speaker

Ahli-ahli Yang Berhormat

1. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih dan setinggi – tinggi tahniah kepada semua Ahli Yang Berhormat kerana telah turut serta mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Bajet Negeri 2016 dengan hati dan minda yang terbuka.

PEMILIKAN TANAH 1MDB DI PULAU PINANG

2. Saya hendak mulakan dengan YB Ketua Pembangkang yang telah meluahkan perasaan tidak puas hati ke atas kenyataan saya sebelum ini bahawa BN mati di Pulau Pinang kerana kegagalan urus tadbir dan kepincangan ketelusan, akauntabiliti dan ketidakcekapan dalam menguruskan pentadbiran Kerajaan Negeri. Saya mengakui bahawa saya ada menyebut BN mati di Pulau Pinang tetapi tidak pernah merujuk kepada UMNO kerana UMNO masih hidup di
Pulau Pinang sekarang, bukannya BN. Mengapa sebegitu sensitif?

Skandal-skandal kewangan seperti 1MDB telah menghantui rakyat dan akan terus membelenggu masa depan anak-anak kita. Malah, skandal 1MDB ini mungkin menular ke Pulau Pinang. Oleh itu, cadangan YB ADUN BN untuk mengadakan sesi soal-jawab dengan Encik Arul Kanda, Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, adalah tidak sesuai sekarang kerana Encik Arul perlu menjawab satu soalan penting berhubung urusan tanah di Pulau Pinang yang mengejutkan dan tidak berkepentingan rakyat kerana 1MDB telah menggunakan dana membeli tanah yang bukan dimiliki 100% oleh 1MDB. Oleh itu, adalah tidak sesuai untuk Kerajaan Negeri menjemput Encik Arul tetapi, Kerajaan Negeri berpandangan orang atasan Encik Arul boleh dijemput.

3. Semakan Kerajaan Negeri mendapati 1MDB sememangnya memiliki tanah seluas 23.47 ekar di Pulau Pinang yang didaftarkan atas nama 1MDB Re (Ayer Itam) Sdn Bhd. Butir-butir tanah tersebut adalah seperti berikut:

i. ¼ bahagian tanah dipegang di bawah Geran 43187 Lot 1561, Sek.3, Bandar Ayer Itam, Daerah Timur Laut, Pulau Pinang iaitu berkeluasan 61,069.162 mp (15.09 ekar) yang dipinda milik pada 6 Mac 2014.

ii. ¼ bahagian tanah yang dipegang di bawah Geran 53264 Lot 1584, Mukim 13, Daerah Timur Laut, Pulau Pinang iaitu berkeluasan 15, 681.567 mp (3.87 ekar) yang dipinda milik pada 6 Mac 2014.

iii. 11/100 bahagian tanah yang dipegang di bawah Geran 4661 Lot 1457, Mukim 13, Daerah Timur Laut, Pulau Pinang berkeluasan 18,265.205 mp (4.51 ekar) yang dipinda milik pada 6 Mac 2014.

4. Apa yang mengejutkan ialah 23.47 ekar tanah adalah sebahagian daripada ketiga-tiga petak tanah seluas 116.89 ekar ataupun hanya milikan 20% dan bukannya 100%. Persoalannya sekarang ialah “Mengapa membeli tanah tanpa pegangan ekuiti 100%?”. Ini juga bercanggah dengan pengumuman 1MDB bahawa mereka telah membeli 234 ekar tanah dengan harga RM1.08 bilion. “Beli dengan harga RM1.08 bilion untuk pegangan ekuiti kurang daripada 100%? Tidak masuk akal sama sekali!” Itulah yang kita hendak penjelasan daripada Encik Arul Kanda “Mengapa beli tanah tanpa milikan 100%?” Adakah RM1.08 bilion akan hanyut begitu sahaja?

5. Kerajaan Negeri juga melalui Pejabat Pengarah dan Tanah (PTG) telah menulis surat kepada Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Encik Arul Kanda pada 13 Julai 2015 bagi mendapat maklumat lanjut mengenai pemilikan tanah tesebut dan cadangan pembangunan yang dirancang. Dalam surat tersebut juga dimaklumkan bahawa satu perbincangan perlu diadakan antara kedua-dua pihak. Sehubungan dengan surat tersebut, Timbalan Pengarah PTG telah menghubungi Encik Arul Kanda pada 23 Julai 2015 untuk memberikan penjelasan lanjut, tetapi tiada jawapan rasmi kecuali janji secara lisan yang tiada tindakan susulan.

PELABURAN DI PULAU PINANG

6. Untuk makluman dewan yang mulia ini, Pulau Pinang terus mendapat tempat di kalangan pelabur yang berprestasi kukuh untuk terus menambah pelaburan di negeri ini. Terkini pada 13 November 2015, Premium Sound Solutions (PSS) yang beribupejabat di Dendermonde (Belgium) yang dikenali dunia sebagai peneraju pembekal kelengkapan peralatan audio dengan legasi 45 tahun di persada industri Pengeluaran Perkakasan Asli (Original Equipment Manufactuer (OEM)) telah mengumumkan pengambilan ke atas aktiviti-aktiviti OEM oleh Blaupunkt Malaysia yang dalam proses pembubaran secara sukarela (voluntary liquidation). Dengan transisi ini, PSS bakal mencipta pelbagai nilai tambahan untuk pelanggan-pelanggan, tenaga kerja dan pemegang taruh PSS. Sekali lagi, Pulau Pinang dipilih sebagai lokasi strategik pelebaran industri PSS sedia bersandarkan fakta portfolio negeri ini yang cemerlang, bersih tanpa rasuah dan bekalan tenaga kerja yang kompeten dan bermotivasi tinggi. Jelas, misi delegasi Kerajaan Negeri ke luar Negara untuk mempromosikan pelaburan di Pulau Pinang tidaklah sia-sia dan telah banyak membuahkan hasil yang bermanfaat kepada penduduk negeri Pulau Pinang, seterusnya kepada ekonomi Negara ini.

PERUNTUKAN BAJET NEGERI PULAU PINANG

7. Penjelasan telah diminta mengenai Butiran 54, Pembelian & Penyediaan Ruang Pejabat KOMTAR (m/s 132) yang meningkat dari RM710,000.00 kepada RM1,972,000.00 pada tahun 2016?

8. Bagi menjelaskan perkara ini, sukacita dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri menyedari peningkatan yang ketara bajet bagi bajet Pembangunan P.01 Butiran 54 iaitu Pembelian dan Penyediaan Ruang Pejabat KOMTAR. Ini adalah disebabkan oleh pertambahan jumlah projek yang diluluskan bagi tahun 2016 dan juga sebagai usaha Kerajaan Negeri untuk menyediakan persekitaran kerja yang lebih konduksif yang mampu mewujudkan struktur tadbir urus yang komprehensif dan efektif yang juga menyokong inovasi dan operasi Jabatan Kerajaan. Sebanyak empat belas (14) projek telah dipersetujui di bawah bajet Pembangunan P.01 Butiran 54 tahun 2016 berbanding hanya enam (6) projek yang diluluskan bagi bajet tahun 2015. Perincian bajet Pembangunan P.01 Butiran 54, Pembelian dan Penyediaan Ruang Pejabat KOMTAR bagi tahun 2015 dan 2016 adalah seperti jadual di bawah:-
BIL
PROJEK (2015)
PERUNTUKAN
1
Kerja-kerja menaiktaraf Ruang Pejabat Unit Pinjaman Penuntut di tingkat 29, KOMTAR
RM50,000.00
2
Kerja-kerja membesarkan stor simpanan fail Pejabat Setiausaha Kerajaan di tingkat 9, KOMTAR
RM30,000.00
3
Kerja-kerja menaiktaraf Bilik Perbincangan Pejabat Setiausaha Kerajaan di tingkat 25, KOMTAR
RM30,000.00
4
Kerja-kerja menaiktaraf kaunter PSUKPP di tingkat 3, KOMTAR
RM100,000.00
5
Kerja-kerja menaiktaraf Kaunter Unit Hasil Pejabat Daerah dan Tanah, Daerah Timur Laut di Tingkat 3, KOMTAR
RM250,000.00
6
Kerja-kerja Naiktaraf Ruang Pejabat di Pejabat Tanah & Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21 dan 22, KOMTAR
RM250,000.00

JUMLAH PERUNTUKAN (2015)
RM710,000.00

BIL
PROJEK (2016)
PERUNTUKAN
1
Kerja-kerja kecemasan dan kerja-kerja menaiktaraf pejabat di tingkat 28, dan Pejabat Exco, Tingkat 52 & 53
RM100,000.00
2
Kerja-kerja menaiktaraf karpet di laluan Pejabat Exco di Tingkat 52 dan 53, KOMTAR
RM160,000.00
3
Kerja-kerja menaiktaraf Ruang Pejabat Unit Pinjaman Penuntut di tingkat 29, KOMTAR
RM160,000.00
4
Kerja-kerja menaiktaraf Stor Peralatan Pejabat PSUKPP di Tingkat 9, KOMTAR
RM150,000.00
5
Kerja-kerja menaiktaraf tandas di Tingkat 9, KOMTAR
RM80,000.00
6
Kerja-kerja menaiktaraf tandas di Tingkat 7, KOMTAR
RM80,000.00
7
Kerja-kerja menaiktaraf Gymnisium Tingkat 7, KOMTAR
RM50,000.00
8
Kerja-kerja menaiktaraf ruang pejabat di Bahagian Perumahan Tingkat 20, KOMTAR
RM290,000.00
9
Kerja-kerja menaiktaraf ruang Pejabat Kewangan Negeri Tingkat 18, KOMTAR
RM440,000.00
10
Kerja-kerja menaiktaraf tandas Pejabat Kewangan Negeri Tingkat 18, KOMTAR
RM80,000.00
11
Kerja-kerja menaiktaraf pejabat Pejabat Tanah dan Galian Tingkat 19, KOMTAR

RM200,000.00
12
Kerja-kerja menaiktaraf tandas Pejabat Tanah dan Galian Tingkat 19, KOMTAR
RM80,000.00
13
Kerja-kerja menaiktaraf karpet di 12 Bilik Pegawai Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi Negeri Tingkat 24
RM72,000.00
14
Kerja-kerja menaiktaraf dinding pantri kepada jenis akustik
RM30,000.00

JUMLAH PERUNTUKAN (2016)
RM1,972,000.00

9. YB ADUN Pulau Betong telah meminta penjelasan mengenai Maksud Pembangunan P09 Jabatan Perhutanan Negeri (m/s 136) bagi butiran 08 – Rangkaian Kawasan Hutan Perlindungan, 09 – Publisiti dan Peningkatan Kesedaran, 10 – Pengurusan Tanah Lembab Bersepadu dan 11 – Bio-Teknologi Hutan, serta penjelasan mengenai Maksud Pembangunan P10 Jabatan Taman Botani (m/s 137) bagi butiran 03 – Projek Pengindahan dan Landskap dan 05 – Program Pembangunan Saintifik, Konservasi, Landskap, Hortikultural dan Sumber Manusia? Dan mengapakah tiada peruntukan untuk perkara-perkara berikut sekiranya Kerajaan Negeri benar memperjuangkan Cleaner, Greener, Safer & Healthier Penang?

10. Sebagai makluman YB, Butiran di bawah tajuk 03 adalah bagi kerja-kerja menyelenggara pokok, penyelenggaraan sungai di dalam kawasan taman dan kerja-kerja landskap di kawasan taman. Tiada permohonan dibuat oleh Jabatan Botani pada tahun ini kerana semua peruntukan bagi kerja-kerja di atas telah dipindahkan kepada peruntukan mengurus. Oleh itu, tiada peruntukan bagi Butiran 03 pada tahun ini dan tahun hadapan. Manakala Butiran di bawah tajuk 04 adalah melibatkan pembangunan data saintifik. Permohonan telah dibuat pada tahun 2011 dan bajet telah diperuntukkan untuk perbelanjaan pada tahun 2012. Tiada permohonan peruntukan dibuat pada tahun 2013 hingga 2015 kerana Jabatan meneruskan projek pembangunan data saintifik secara percuma dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) bagi Sistem Pengurusan Herbarium dan Kajian Botanikal Tumbuhan (BRAHMS) dan seterusnya kerjasama dengan Unit PEGIS bermula pada tahun 2015 bagi projek pemetaan pokok. Melalui kerjasama yang dijalankan, perisian yang terlibat iaitu Sistem BRAHMS telah dimuat turun secara percuma. Walau bagaimanapun, Jabatan bercadang untuk memohon peruntukan tambahan di bawah tajuk 04 pada tahun hadapan bagi tujuan mendapatkan lesen bagi perisian tersebut yang memerlukan lesen berbayar berkuatkuasa bermula pada tahun 2015.

11. Manakala Maksud pembangunan Jabatan Perhutanan merangkumi Butiran P09/08 – Rangkaian Kawasan Hutan Perlindungan bagi tujuan penubuhan dan penyelenggaraan Hutan Simpanan Hutan Dara (Virgin Jungle Reserve) bagi memastikan pemeliharaan sumber kepelbagaian biologi hutan secara in-situ dan ex-situ, P09/09 – Publisiti dan Peningkatan Kesedaran yang yang bertujuan untuk meningkatkan pemahaman yang meluas di kalangan masyarakat berkaitan dengan kepentingan dan faedah-faedah hutan serta produk perkhidmatan jabatan melalui penyediaan risalah dan pelaksanaan kempen kesedaran, P09/10 – Pengurusan Tanah Lembap Bersepadu bagi tujuan untuk meningkatkan keupayaan jabatan dalam mengurus, memelihara dan memulihara Hutan Paya Laut supaya memberi faedah yang maksimum terhadap kepentingan sosial, ekonomi dan alam sekitar dan P09/12 – Bioteknologi Hutan yang bertujuan untuk memelihara dan mengurus tumbuhan herba melalui penyesuaian tanaman herba dan tumbuhan ubatan tradisional dengan penubuhan petak herba hutan yang mempamerkan koleksi tumbuhan herba dan ubatan yang berasal daripada sumber hutan.

12. Pada tahun 2016, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan Pembangunan Jabatan Perhutanan sebanyak RM450 ribu yang merangkumi RM400 ribu di bawah Butiran P09/01 – Pengurusan Hutan Secara Lestari, RM30 ribu di bawah Butiran P09/03 – Penghutanan Semula dan RM20 ribu di bawah Butiran P09/14 – Hutan Pendidikan dan Pengembangan (Publisiti dan pengembangan).

13. Suka saya tegaskan di dewan yang mulia ini, Kerajaan Negeri sememangnya memperjuangkan dasar Cleaner, Greener, Safer & Healthier Penang dan Sebagai bukti komitmen Kerajaan Negeri, sejumlah RM1.8 juta peruntukan Mengurus telah disediakan untuk tujuan Pembangunan P09 Jabatan Perhutanan Negeri dan Pembangunan P10 Jabatan Taman Botani bagi tahun 2016 . Jumlah peruntukan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri bagi tujuan terlibat diagihkan kepada Jawatankuasa MMK Alam Sekitar dan kepada Penang Green Council. Namun demikian dalam melaksanakan program-program bagi menambahbaik perlindungan alam sekitar yang menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup, ianya bukan sahaja telah dibiayai oleh Kerajaan Negeri tetapi juga telah mendapat sumbangan dan kerjasama daripada sektor swasta di bawah tanggungjawab corporate social responsibility, malahan sumbangan daripada orang perseorangan, bagi menyemai budaya dan amalan mesra alam sekitar di semua peringkat masyarakat. Bagi menyemai budaya dan amalan mesra alam sekitar di semua peringkat masyarakat, di samping pembiayaan Kerajaan Negeri, pelaksanaan program-program penambahbaikan perlindungan alam sekitar yang menyumbang kepada peningkatan kualiti hidup turut mendapat sumbangan dan kerjasama daripada sektor swasta di bawah tanggungjawab sosial (corporate social responsibility), malahan sumbangan daripada orang perseorangan .

14. YB ADUN Pulau Betong juga meminta penjelasan mengenai Maksud Pembangunan P12 – Jabatan Kerja Raya bagi butiran 26 – Jalan-jalan Kerajaan Negeri yang telah dikurangkan peruntukan daripada RM7.4 juta pada 2015 kepada RM2.75 juta pada tahun 2016?

15. Sebagai makluman YB, walaupun peruntukan tahun 2016 yang disediakan di bawah Maksud Pembangunan P12 Butiran 26 Jalan-Jalan Kerajaan Negeri berkurangan daripada RM7.4 juta pada tahun 2015 kepada RM2.75 juta, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan sejumlah RM26.11 juta bagi meneruskan pelaksanaan enam (6) projek pembinaan jalan yang disediakan di bawah Maksud Pembangunan P16 Jabatan Kewangan Negeri. Enam (6) projek jalan terlibat ialah pelebaran Jalan Bukit Minyak-Alma, projek membina jambatan baru merentasi Sungai Krian di atas laluan P169 Kg. Tg. Berembang, SPS, pelebaran jambatan (Fasa 1) dan menaik taraf/pelebaran jalan (Fasa 2) dari 1 lorong ke 2 lorong dari Jalan Perusahaan hingga ke persimpangan lampu isyarat Jalan Tok Kangar, menggantikan pembetung konkrit ke jambatan konkrit di Jalan Padang Lalang, SPT dan menyiapkan pembinaan jalan menuju ke SJK (C ) Hun Bin, Tanjung Bunga.

16. Bagi menjawab isu yang dibangkitkan oleh YB ADUN Penanti yang telah membuat andaian kononnya Kerajaan Negeri telah meminggirkan kawasan Penanti. Ingin saya jelaskan dan tegaskan di sini bahawa dakwaan ini adalah tidak benar sama sekali. Seperti mana yang kita semua sedia maklum, kawasan DUN Penanti adalah antara 3 kawasan DUN dalam Parlimen Permatang Pauh. Dalam pembentangan bajet Negeri Pulau Pinang bagi tahun 2016 tempoh hari, telahpun dimaklumkan bahawa dalam tahun semasa 2015 bagi kawasan Parlimen Permatang Pauh telah diluluskan peruntukan berjumlah RM9.43 juta untuk pembiayaan projek-projek pembangunan seperti berikut:

i 2 projek pengambilan tanah untuk tujuan tapak masjid, sekolah agama dan tapak perkuburan Qaryah Masjid Cherok Tok Kun Atas dan bagi tujuan tapak Dewan Orang Ramai KADUN Permatang Pasir sejumlah RM7,005,950.00;

ii. 6 projek pengairan dan saliran untuk tujuan mitigasi banjir sejumlah RM451,000.00 di kawasan Sungai Pasir, Sungai Kulim, kawasan Seberang Jaya, parit Tok Suboh, parit Permatang Pauh/Perai dan di Sungai Kilang Ubi ;

iii. 5 projek penyelenggaraan jalan Negeri sejumlah RM600,000.00;

iv. sejumlah RM170,000.00 untuk tujuan kemudahan sukan, iaitu membina semula gelanggang futsal yang rosak di KADUN Permatang Pasir dan membina gelanggang badminton di Dewan JKKK Kg Pertama; dan

v. sejumlah RM1.2 juta untuk membiayai projek meroboh dan membina semula Masjid Timah, Kampung Belah Dua dan membina Sekolah Rendah Islam, Maahad At-Tarbiah Guar Jering.
15. Jumlah peruntukan RM9.43 juta terlibat belum mengambil kira peruntukan lump sum yang diluluskan kepada Pejabat Daerah untuk membiayai kerja-kerja penyelenggaraan jalan kampung, pembinaan dan membaiki rumah rakyat miskin dan kerja-kerja pembaikan dewan masyarakat yang akan diagihkan mengikut keperluan di daerah. Khusus bagi projek menaiktaraf Dewan Taman Guar Perahu (dewan sedia ada) dalam tahun semasa ini 2 waran peruntukan kecil berjumlah RM250,000.00 telahpun dikeluarkan pada 7 dan 27 Oktober 2015 kepada JKR untuk memulakan kerja-kerja awalan projek (kerja sivil, tukar bumbung dan dinding zink, pasang exhaust fan) dan kerja ukur serta penyiasatan tanah. Pada tahun 2016, sejumlah RM600,000 diperuntukkan untuk projek pembinaan Dewan Taman Guar Perahu yang baharu berhampiran dengan dewan sedia ada yang boleh dijalankan aktiviti/program “science cafe” .

17. Di samping peruntukan lump sum yang diluluskan kepada Pejabat Daerah SPT untuk pelaksanaan projek-projek kecil di Daerah, peruntukan secara langsung berjumlah RM1.85 juta juga diluluskan kepada ketiga-tiga Y.B. ADUN dan YB Ahli Parlimen Permatang Pauh untuk pembiayaan projek bekalan, infrastruktur kecil dan bantuan segera yang dipertimbangkan secara langsung oleh YB sendiri.

18. Perincian kepada projek-projek kecil yang diluluskan dalam tahun semasa 2015 bagi KADUN Penanti khususnya sedang dikemaskini dan akan dikemukakan kepada Y.B. ADUN Penanti dalam masa terdekat.
19. Pada tahun 2016 keseluruhan peruntukan yang disediakan untuk kawasan parlimen Permatang Pauh mengikut peruntukan pembangunan Jabatan adalah berjumlah RM32.37 juta. Khusus untuk tujuan mitigasi banjir di Parlimen Permatang Pauh sebanyak RM22.47 juta diperuntukkan iaitu untuk pembinaan jambatan baru, rumah pam dan menaiktaraf Sungai Rawa yang melibatkan kawasan Padang Lalang/Kg. Permatang Rawa dan kawasan Kg. Tanah Liat Mukim 20/ Taman Guru, di samping keperluan pembiayaan sebanyak RM9.9 juta untuk pelaksanaan projek-projek infrastruktur dan kemudahan masyarakat lain yang akan disediakan peruntukan yang diperlui.

20. Di samping itu, peruntukan lump sum juga akan diluluskan kepada Pejabat Daerah SPT untuk pelaksanaan projek-projek kecil di Daerah. Selain daripada itu, peruntukan berjumlah RM1.85 juta juga akan diluluskan kepada ketiga-tiga Y.B. ADUN dan YB Ahli Parlimen Permatang Pauh untuk pembiayaan projek bekalan, infrastruktur kecil dan bantuan segera yang dipertimbangkan secara langsung oleh YB sendiri.

LAPORAN AUDIT

21. Y.B ADUN Telok Ayer Tawar juga telah membangkitkan mengenai teguran audit yang mendapati ada kelemahan urustadbir Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP).

22. Untuk makluman YB, isu-isu yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara telahpun diberi perhatian dan tindakan penyelesaian serta penambahbaikan urus tadbir yang baik oleh pihak PBBPP. Secara keseluruhannya, pengurusan PBBPP telah dimantapkan dan pengawasan serta pengauditan rapi sedang dilaksanakan. (Maklumbalas secara terperinci kepada teguran audit adalah seperti di Lampiran).

23. Kerajaan Negeri menyambut baik cadangan YB ADUN Paya Terubong supaya diadakan sesi latihan perbahasan DUN kepada Ahli-ahli Yang Berhormat bagi meningkatkan lagi kualiti perbahasan. Kerajaan Negeri berpandangan bahawa sesi-sesi latihan intensif boleh diadakan untuk meningkatkan kualiti perbahasan serta kualiti penyediaan soalan – soalan DUN boleh dianjurkan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di masa hadapan dengan kerjasama Ketua Backbencher. Lebih penting dari itu, apa yang diperlukan bagi menwujudkan satu perbahasan yang berkualiti bukan hanya sekadar kepetahan berhujah, tetapi kefahaman YB ADUN terhadap isu-isu yang akan dibahaskan yang disokong dengan fakta dan maklumat-maklumat terperinci yang berkaitan.

24. Menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh YB Pulau Betong berkenaan tiada peruntukan yang diberikkan bagi Butiran 58, Dewan Undangan Negeri pada tahun 2016, ingin saya jelaskan kepada semua ahli-ahli Yang Berhormat, dalam tahun semasa 2015 lagi pembiayaan bagi Kerja-kerja Menaik Taraf Dewan Undangan Negeri tidak disediakan melalui peruntukan Pembangunan P01 Butiran 58 tetapi telah disediakan di bawah vot Pembangunan P12 JKR Butiran 36 Membaiki dan Mengubah Bentuk Bangunan-bangunan Kerajaan Negeri.  Sebagai makluman, dalam tahun semasa 2015, peruntukan yang diluluskan kepada JKR untuk Kerja-kerja Menaik Taraf DUN ialah RM335,000.00 dan untuk tahun 2016 jumlah yang  diperuntukkan bagi Kerja-kerja Menaik Taraf DUN di bawah vot P12 Butiran 36 ialah RM500,000.00.

Yang Berhormat Dato’ Speaker,

25. Bagi menjelaskan dakwaan YB ADUN Teluk Bahang berlakunya pusing ganti (turn over) tenaga kerja kakitangan PDC yang terlalu tinggi mulai tahun 2013 sehingga 2015 dan status PDC Consultancy dan kakitangannya, adalah dimaklumkan secara keseluruhannya terdapat seramai 30 orang kakitangan PDC yang telah menamatkan perkhidmatan dari tahun 2013 hingga 2015 atas pelbagai sebab. Dari jumlah tersebut, seramai 11 orang telah bersara wajib, 12 orang telah bersara pilihan, seorang telah tamat kontrak, 4 meletak jawatan dan 2 orang meninggal dunia. Suka saya tegaskan di sini, penamatan perkhidmatan ini tidak ada kaitan langsung dengan beban kerja seperti yang didakwa. Adalah difahamkan di antara mereka yang meletak jawatan adalah disebabkan telah mendapat tawaran jawatan yang lebih baik setelah menimba pengalaman di PDC. Berhubung dengan kakitangan PDC Consultancy Sdn Bhd, selaras dengan proses penstrukturan semula PDC semua kakitangan PDC Consultancy Sdn Bhd telah diberi opsyen untuk diserap ke PDC Premier Holdings Sdn Bhd, sebuah lagi anak syarikat PDC. Kesemua kakitangan PDC Consultancy telah menerima opsyen ini dan mereka telah diserap ke PDC Premier Holdings Sdn Bhd berkuatkuasa 1 Ogos 2015. PDC Consultancy Sdn Bhd kini tidak aktif.

Warisan

26. Berhubung dengan status dan langkah-langkah pertimbangan Kerajaan negeri dalam usaha pewartaan Rancangan Kawasan Khas Tapak Warisan Dunia George Town yang dibangkitkan oleh YB KOMTAR, ingin dimaklumkan bahawa Rancangan Kawasan Khas Tapak Warisan Dunia George Town kini berada di peringkat semakan akhir terjemahan Bahasa Malaysia oleh jabatan-jabatan teknikal yang terdiri daripada jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan George Town World Heritage Incorporated (GTWHI). Selepas kerja-kerja semakan akhir ini disempurnakan, pihak JPBD Negeri akan membuat pembentangan untuk pertimbangan dan kelulusan Mesyuarat MMK sebelum diwartakan.

Hal Ehwal Tanah

27. Berkaitan gesaan Kerajaan Negeri agar mengambil tindakan terhadap pemaju kuari yang telah mengorek kuari dengan kedalaman 10 kaki selain denda bernilai RM30,000 sahaja, ingin saya maklumkan di sini bagi kerja-kerja operasi pengkuarian, pengusaha kuari perlu melalui proses Permohonan Kebenaran Merancang dan Pelan Kerja Tanah melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebelum operasi kuari dapat dijalankan. Kelulusan yang diberikan adalah tertakluk kepada syarat-syarat yang perlu dipatuhi yang ditetapkan oleh pihak PBT. Sekiranya pemaju melanggar syarat-syarat kelulusan, Notis Berhenti Kerja akan dikeluarkan kepada pemaju berkenaan di bawah Seksyen 70A, Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dan kawasan yang dikerjakan perlu dibaikpulih untuk keselamatan awam. Jika disabit kesalahan, pengusaha boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak lebih dari lima tahun atau denda tidak lebih dari RM50,000.00 atau kedua-duanya sekali. Berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 28(1) Akta Perancangan Bandar Dan Desa 1976 (Akta 172), pihak PBT boleh mengambil tindakan penguatkuasaan ke mahkamah bagi pengusaha yang telah melanggar syarat-syarat Kebenaran Merancang. Mengikut prosedur, pihak PBT akan mengeluarkan notis di bawah Seksyen 28(1)(a) atau 28(1)(b). Seksyen 28(1)(a) adalah untuk mana-mana pengusaha yang telah siap menjalankan pemajuan atau Seksyen 28(1)(b) adalah untuk pemajuan yang belum siap kepada mana-mana pengusaha yang tidak mematuhi syarat-syarat Kebenaran Merancang yang telah diberikan oleh pihak PBT.

28. Sebagai makluman YB, suatu tempoh akan ditetapkan oleh PBT untuk pengusaha mematuhi syarat-syarat Kebenaran Merancang. Sekiranya pengusaha-pengusaha tidak mematuhi tempoh tersebut, pihak Majlis boleh membawa kes tersebut untuk tindakan mahkamah dan jika disabitkan dengan kesalahan, pengusaha boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 28(6), iaitu denda yang tidak lebih daripada satu ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya dan denda tambahan sehingga lima ribu ringgit bagi tiap-tiap satu hari pemajuan itu dijalankan selepas sabitan yang pertama bagi kesalahan itu.

29. Menyentuh persoalan keseriusan Kerajaan Negeri terhadap langkah mitigasi yang dilakukan di Bukit Gambir dan Bukit Laksamana (Bukit Botak) yang dipersoal oleh YB Permatang Berangan dan YB Pulau Betong serta saranan supaya Kerajaan Negeri membuat pemantauan berkala dengan menggunakan flight survey atau satelite mapping, termasuk penggunaan drone, perlu saya maklumkan di sini bahawa kesemua pemilik tanah tidak boleh melakukan kerja-kerja tanah tanpa kelulusan PBT. MBPP sememangnya serius terhadap kerja-kerja baikpulih kawasan yang telah digondolkan di mana surat-surat ulangan telah diberikan kepada pemilik tanah yang terlibat untuk melaksanakan kerja-kerja mitigasi. MBPP juga telahpun membuat pemantauan secara berkala di kawasan yang terlibat. Sebagai makluman, kaedah pemantauan kerja-kerja tanah tanpa kelulusan MBPP dengan menggunakan flight survey (drone) telahpun dilaksanakan di kawasan-kawasan yang telah dikenalpasti oleh Majlis. Bagi kawasan Bukit Laksamana, kaedah drone akan dijalankan pada bulan Disember 2015. MBPP juga telahpun membuat perancangan untuk memasang CCTV bagi pemantauan kerja-kerja tanah di kawasan berbukit tanpa kelulusan Majlis pada tahun 2016 di mana 22 lokasi CCTV telah dikenalpasti. Kawasan berbukit yang tidak diliputi oleh CCTV pula akan dipantau dengan menggunakan kaedah drone.

30. Bagi penjelasan dasar Kerajaan Negeri berkaitan pembangunan tanah tinggi yang dipohon YB Permatang Berangan, dimaklumkan bahawa dasar semasa Kerajaan Negeri bagi pembangunan tanah tinggi adalah membenarkan setiap pembangunan yang kurang dari ketinggian 76 meter. Kelulusan perkara ini adalah di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan. Manakala bagi ketinggian yang melebihi 76 meter, pembangunan ini akan dirujuk kepada Jawatankuasa Perancang Negeri untuk pertimbangan. Rujukan Dasar Kerajaan Negeri dan garis panduan berhubungan Pembangunan Tanah Tinggi di Pulau Pinang adalah Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2020 (RSN2020) – (DSU10L1) yang menetapkan Kawasan Sensitif Alam Sekitar Berisiko Bencana (KSAS) adalah kawasan tanah tinggi yang melebihi 76m (250 kaki), Garis Panduan Perancangan Pembangunan Di Kawasan Bukit Dan Tanah Tinggi dikeluarkan JPBD yang tidak membenarkan sebarang pembangunan kecuali pembinaan infrastruktur (terowong, jalan, jambatan telekomunikasi) di kawasan bukit / cerun kelas IV dan Safety Guideline For Hillsite Development 2012.

Tebus Guna Tanah

31. Menyentuh isu yang dibangkitkan oleh YB ADUN Telok Air Tawar berkaitan perjanjian tanah tebus guna tanah Tanjong Tokong. Menurut YB ADUN Telok Air Tawar, perjanjian awal oleh Kerajaan Barisan Nasional yang ditanda tangani pada 1992 membenarkan pemaju menebusguna tanah seluas 392 hektar berbanding kenyataan dalam ucapan bajet bahawa 456.24 hektar telah diluluskan.

32. Sememangnya dalam perjanjian konsesi yang ditandatangani oleh Kerajaan Barisan Nasional pada 4 Oktober 1990 telah membenarkan pemaju menebus guna tanah Tanjong Tokong seluas 980 ekar (396.59 hektar). Tebus guna tanah dilakukan dalam dua (2) fasa, fasa pertama 240 ekar dan fasa kedua 740 ekar. Pada tempoh Fasa 1, kawasan Seri Tanjung Pinang 1, tanah seluas 240 ekar telah ditebus guna dan daripadanya seluas 13.77 ekar telah diserahkan kepada Kerajaan Negeri. Selain daripada itu tanah seluas 20 ekar lagi untuk tujuan simpanan PORR juga perlu diserahkan kepada Kerajaan Negeri dalam tempoh Fasa 1.

33. Walau bagaimanapun merujuk kepada Perjanjian Tambahan pada 7 Oktober 1999, di samping 740 ekar yang perlu ditebus guna dalam fasa kedua, seluas 20 ekar lagi perlu ditambah untuk tanah simpanan PORR yang belum dibuat serahan kepada Kerajaan Negeri. Daripada tanah tebus guna berkeluasan 760 ekar tersebut, keluasan tanah yang perlu diserahkan kepada Kerajaan Negeri adalah sebanyak 60 ekar.

34. Di samping perjanjian konsesi awal tersebut, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan telah merunding semula dan meminta pemaju E&O untuk menebus guna tanah tambahan (over and above) seluas 131 ekar lagi di sepanjang persisiran pantai Persiaran Gurney dengan kos dibiayai sepenuhnya oleh pihak E&O. Tanah tambahan seluas 131 ekar tersebut akan diserahkan keseluruhannya kepada Kerajaan Negeri untuk pemajuan masa hadapan, infrastruktur dan lain-lain kegunaan.

35. Oleh itu,keseluruhannya keluasan tanah kawasan Seri Tanjung Pinang yang ditebus guna ialah 1,131 ekar (457.70 hektar). Berbanding dengan perjanjian konsesi awal di mana daripada jumlah keluasan untuk ditebus guna hanyalah 980 ekar dengan tanah yang perlu diserahkan kepada Kerajaan Negeri adalah 94 ekar (38.04 hektar) sahaja. Tetapi setelah rundingan semula perjanjian konsesi awal tersebut, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan dapat memperolehi satu nilai pulangan yang lebih baik iaitu seluas 225 ekar (91.05 hektar) tanah tebus guna akan diserahkan kepada Kerajaan Negeri. Jelas daripada rundingan semula ini telah dapat meningkatkan bank tanah Kerajaan Negeri.

Tebus Guna Tanah Tanjung Tokong Fasa 2
(Seri Tanjung Pinang Fasa 2)

Perjanjian Asal Konsesi
740 ekar

Rundingan Semula Perjanjian Konsesi
131 ekar

Perjanjian Tambahan (Simpanan PORR)

20 ekar

Keluasan Yang Akan Ditebus Guna

891 ekar

Perbezaan (891 – 740 ekar)
151 ekar

36. Sebagai makluman, bagi Tanah tebusguna di Bayan Bay yang berjumlah 24 ekar, kelulusan telah diberikan kepada syarikat Ideal Gim Ventures Sdn Bhd bagi pembangunan perumahan kondomunium dan Kerajaan Negeri pula akan menerima satu tapak milik Ideal Gim Ventures Sdn Bhd yang terletak di Bayan Bay, (di mana ia bukan Tanah tebusguna) untuk pembangunan rekreasi awam yang mengandungi sebuah velodrom, kolam renang dan padang bola seluas 9 ekar serta tapak institusi pendidikan seluas 4.068 ekar.

37. Berhubung dengan persoalan YB Telok Ayer Tawar berkenaan penjelasan komposisi jenis pembangunan perumahan yang diberikan kepada Ideal Gim Sdn Bhd yang akan dibangunkan, adalah dimaklumkan komposisi pembangunan bagi pemajuan oleh Ideal Gim Ventures merangkumi 2100 unit perumahan kondominium, 127,400 kaki persegi perdagangan / komersial dan 3.417 ekar bagi promenade 50 kaki.

38. Berhubung dengan pemakluman setiap laporan EIA projek tebusguna tanah berserta implikasinya dimaklumkan kepada kepada nelayan-nelayan serta langkah Kerajaan Negeri dalam memantau hakisan dan kesan alam sekitar selepas pelaksanaan projek tebusguna tanah yang dibangkitkan oleh YB Permatang Berangan, saya ingin menjelaskan bahawa pada peringkat awal pemprosesan kelulusan projek tebusguna Tanah, permohonan akan dirujuk kepada Jabatan Alam Sekitar untuk mendapatkan kelulusan Laporan Terperinci Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (DEIA) terlebih dahulu, dimana pada peringkat ini pemaju dikehendaki menyatakan langkah-langkah untuk memulihara kawasan semasa pelaksanaan projek. Sesi pendengaran awam (public hearing) merupakan peringkat yang wajib dilaksanakan oleh pemaju kepada wakil persatuan dan penduduk setempat. Selepas projek disiapkan, pemantauan kawasan dan penguatkuasaan akan dilaksanakan oleh Jabatan Alam Sekitar, Pihak Berkuasa Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan.

Polisi Tukang Masak tempatan

39. Kerajaan Negeri cukup prihatin dengan senario yang berlaku di negara ini khususnya di negeri Pulau Pinang, berkenaan lambakan warga asing yang membuat pelbagai pekerjaan termasuklah tukang masak. Kerajaan Negeri memandang serius akan perkara ini kerana makanan penjaja adalah terkenal di Pulau Pinang dan bukan sahaja menyumbangkan kepada industri pelancongan dan ekonomi, tetapi juga menyemarakkan kehidupan dan semangat dalam kerencaman budaya dan warisan pelbagai kaum kita. Atas sebab ini, adalah penting untuk kita mengekalkan kualiti dan rasa unik makanan Pulau Pinang yang dimasak oleh penduduk tempatan.

40. Justeru, bagi melindungi, memelihara penjana makanan tempatan dan mempromosi makanan penjaja, Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Majlis bandaraya Pulau Pinang membuat kajian lapangan mempelawa maklum balas orang ramai sama ada perlu mengharamkan pekerja asing dari memasak di gerai penjaja untuk memastikan makanan penjaja kegemaran kita akan kekal sama dan mengekalkan rasa Pulau Pinang yang unik. Larangan dicadangkan hanya terpakai kepada orang asing dan bukan rakyat Malaysia dan hanya untuk gerai-gerai penjaja, bukannya restoran. Cadangan larangan itu juga selaras dengan peraturan undang-undang yang menyatakan lesen gerai hanya boleh diberikan kepada rakyat Malaysia dan bukannya rakyat asing.

41. Kajian lapangan yang telah dilaksanakan oleh pihak MBPP telah dilaksanakan dari 25 Julai sehingga 31 Ogos 2014 dengan melibatkan 14,810 orang responden. Pelbagai input berkaitan dengan cadangan untuk melaksanakan larangan tukang masak warga asing memasak masakan tempatan telah diperolehi daripada responden dan mendapati 12,952 orang responden iaitu 87.45 % bersetuju bahawa makanan tempatan perlu dimasak oleh warga tempatan. manakala 1,858 orang atau 12.55 % sahaja tidak bersetuju dengan cadangan tersebut, membuktikan bahawa majoriti bersetuju dengan cadangan kerajaan negeri untuk melaksanakan dasar ini.

42. Suka untuk tegaskan di sini bahawa tidak timbul isu diskriminasi kerana peraturan ini hanya dilaksanakan ke atas penjaja dan makanan jalanan yang sepatutnya terdiri daripada orang tempatan yang berpendapatan rendah. Larangan ini tidak dikenakan ke atas restoran dan bidang perhotelan, dimana pekerja asing boleh terus jadi tukang masak. Oleh yang demikian, tidak wujudnya diskriminasi terhadap pekerja asing.

43. Dengan ini saya mengumumkan mulai tahun 2016, Pihak Berkuasa Tempatan di Negeri Pulau Pinang akan mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas penjaja yang menggunakan Tukang Masak Warga Asing untuk memasak masakan tempatan. Jenis tindakan yang akan diambil adalah seperti menarik semula lesen Establisymen Makanan yang telah dikeluarkan setelah pihak majlis berpuas hati dengan pelanggaran syarat lesen. Dengan pelaksanaan ini, kita akan mampu memelihara citarasa masakan tempatan Pulau Pinang dengan meningkatkan populariti masakan tempatan seperti asam laksa yang telah dilabelkan makanan yang mempunyai citarasa yang terbaik.

PROJEK MENAIKTARAF KOMPLEKS PASAR/ PENJAJA DAN MAKANAN

44. Semenjak Kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri, usaha untuk melaksanakan pelbagai projek menaiktaraf kompleks pasar/penjaja dan makanan secara drastik telah dibuat melalui kedua-dua PBT sebagai langkah memperbaiki mutu hidup golongan tidak berada.

45. Walau bagaimanapun, kerja-kerja menaik taraf kompleks pasar/ penjaja dan makanan dilaksanakan oleh MBPP misalnya yang menelan belanja sebanyak RM37.46 juta, tetapi bayaran sewa tidak naik dan tetap kekal sampai sekarang. Semua perbelanjaan ini dapat dijalankan ke atas rakyat kerana urustadbir CAT Kerajaan Negeri di mana pentadbiran yang bersih dapat menjimatkan wang untuk manfaat rakyat.

46. Antara kompleks pasar/ penjaja dan makanan yang dinaik taraf dan kini menjadi tumpuan orang ramai ialah Kompleks Makan Bukit Gedung yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM1.55 juta, Kompleks Makan Padang Brown sebanyak RM2.9 juta serta Pasar Awam Chowrasta sebanyak RM12.19 juta.

47. Pada masa yang sama, Tapak Astaka Kota Selera, Padang Kota yang terletak di atas tanah milik Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang (CMI) merupakan antara salah satu ikon kawasan pelancongan di Pulau Pinang. Kini, ianya telah dipermodenkan dengan satu tapak penjaja yang cantik dan bersih yang dinamakan sebagai Esplanade Park dengan kos RM500,000.

48. Di samping lokasi astaka yang amat strategik kerana terletak di dalam kawasan Bandaraya Pulau Pinang berdekatan Fort Cornwallis, astaka ini juga turut menjadi tumpuan pelancong kerana merupakan antara lokasi syurga makanan bagi Pulau Pinang.

PENGECUALIAN CUKAI PINTU TAHUN 2016

49. Mengambil kira keadaan ekonomi semasa yang lembab dan bagi mengurangkan dan meringankan beban pemilik rumah kos rendah, sederhana rendah serta juga termasuk pemillik rumah kampung, Kerajaan Negeri melalui kedua dua PBT telah bersetuju untuk mengecualikan bayaran cukai kadaran/pintu bagi tahun 2016. Keputusan Kerajaan Negeri ini melibatkan hasil sejumlah RM11,699,820.94 yang sepatutnya dipungut perlu dikecualikan. Keputusan memperluaskan pengecualian cukai pintu kepada rumah kos rendah, kos sederhana rendah serta rumah kampung membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri kepada golongan yang tidak berada dan golongan luar bandar.

PENGECUALIAN CUKAI KADARAN KEDIAMAN SKIM :KOS RENDAH, KOS SEDERHANA RENDAH DAN RUMAH KAMPUNG/ BERTANAH

**Kemas kini sehingga 31 Oktober 2015

50. Adalah menjadi harapan Kerajaan Negeri dengan pengecualian ini dapat membantu mengurangkan bebanan golongan berpendapatan rendah yang terlibat. Malah pengecualian ini juga secara tidak langsung membantu penduduk berkenaan menampung cukai GST yang telah dikenakan Kerajaan Persekutuan termasuk kepada penduduk dan pemilik rumah kos rendah, sederhana rendah serta pemillik rumah kampung.

PENUTUP

Yang Berhormat Datuk Speaker,

51. Kerajaan Negeri Pakatan Harapan akan meneruskan usaha untuk menjadikan negeri Pulau Pinang sebagai negeri keusahawanan yang pertama di Malaysia selain daripada menjadi negeri berkebajikan. Dasar kebajikan Kerajaan Negeri sememangnya diketahui umum di mana Kerajaan Negeri telah membelanjakan RM287 juta dalam tempoh 6 tahun ini untuk bantuan kewangan secara langsung.

52. Tetapi untuk mengorak langkah ke masa depan, Kerajaan Negeri harus menjadi negeri keusahawanan yang dapat memperkasakan keyakinan dan jati diri untuk berdaya saing bukan sahaja di pentas kebangsaan tetapi di persada antarabangsa.

53. Untuk melaksanakannya, Kerajaan Negeri bersedia untuk membuat pelaburan dalam 3 aspek utama:

i) membina dan memperkukuh infrastruktur termasuk komunikasi digital;

ii) pendidikan termasuk latihan vokasional; dan

iii) menjadi kluster berpengetahuan yang boleh mencetuskan kreativiti dan inovasi.

54. Penganjuran Penang International Science Fair (PISF) 2015 baru-baru ini yang dibanjiri lebih 60, 000 orang di SPICE adalah satu petanda baik bahawa Pulau Pinang menuju ke arah pusat kecemerlangan sains dan teknologi.

55. Kerajaan Negeri akan terus berusaha menangani masa depan dengan pelaburan ke atas 3 aspek kritikal di atas. Marilah kita bersama-sama bersatu padu melawan keganasan dan ekstremis demi kemakmuran dan keamanan untuk semua.

Dengan ini YB Dato’ Speaker, saya mohon menyokong.