Kerajaan Negeri bersedia memberi komitmen terhadap kepimpinan Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff yang menerajui Skuad Harimau Kumbang atau Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (m/c)

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri bersedia memberi komitmen terhadap kepimpinan Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff yang menerajui Skuad Harimau Kumbang atau Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) di sini.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, komitmen berkaitan adalah suntikan semangat kepada semua yang terlibat supaya pasukan bola sepak Pulau Pinang mampu terus kekal dalam Liga Super pada musim depan. Ini adalah berikutan kejayaan pasukan Pulau Pinang naik pangkat ke Liga Super tahun depan.

“Berdasarkan rekod dan aksi cemerlang sebelum ini, Kerajaan Negeri yakin FAP ada rancangan yang baik, komitmen untuk terus kekal dalam Liga Super.

“Ini adalah berdasarkan pencapaian musim ini yang mana wujudnya pentadbiran profesional dalam FAP. Orang yang minat dalam sukan jadi presiden, sanggup korban masa, duit dan bukannya orang-orang politik,” katanya pada Majlis Jamuan Makan Tengahari Bersama-sama Ahli-ahli FAP di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Guan Eng memberitahu bahawa sebelum ini, Presiden FAP adalah berjawatan Ketua Menteri, namun, beliau menolak ‘tradisi’ tersebut kerana tidak tahu menahu mengenai pengurusan pasukan bola sepak.

“Mahukan pemain profesional, pemimpin juga perlu profesional dan jangan sekadar memegang jawatan agar ‘syok sendiri’. Ahli politik harus melepaskan jawatan dan berikan laluan kepada pemimpin sukan yang berwibawa. Kerajaan Negeri tetap akan sokong mereka asalkan mereka profesional, berkemampuan dan bersih,” ujarnya sambil mengucapkan syabas kepada seluruh pasukan FAP.

0 Responses to “Kerajaan Negeri bersedia memberi komitmen terhadap kepimpinan Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff yang menerajui Skuad Harimau Kumbang atau Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (m/c)”


Comments are currently closed.