Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang(EXCO) pada 17 Jun 2015 secara sebulat suara menentang dan tidak bersetuju dengan usul Muktamar PAS memutuskan hubungan dengan DAP(m)

Kenyataan Akhbar Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng Di Komtar, George Town Pada 17.6.2015.

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang(EXCO) pada 17 Jun 2015 secara sebulat suara menentang dan tidak bersetuju dengan usul Muktamar PAS memutuskan hubungan dengan DAP. EXCO memutuskan bahawa tindakan mengejut kepimpinan baru PAS dan Muktamar PAS menerima usul tanpa bahas agar memutuskan hubungan dengan DAP, bukan sahaja telah putuskan hubungan dengan kerajaan negeri Pulau Pinang tetapi juga mengakibatkan Pakatan Rakyat(PR) tidak wujud lagi.

Ini adalah kerana PR ditubuhkan pada 1 April 2008 oleh PKR, DAP dan PAS dan sebaik PAS putuskan hubungan dengan DAP, maka dengan sendirinya PAS telah mengambil langkah “membunuh” PR. Lantaran itu, EXCO memutuskan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang akan terus didokong dan dikekalkan berdasarkan Dasar Bersama PR yang digubal pada Disember 2009 dan Manifesto PR Pulau Pinang bagi Pilihanraya Besar 2013 yang memperolehi mandat popular 68%, yakni terbesar dalam sejarah negeri Pulau Pinang.

Oleh demikian, kerajaan negeri Pulau Pinang akan berfungsi seperti biasa dan memberikan tumpuan dan komtimen untuk menambahbaik penyampaian perkhidmatan, urus tadbir cekap akauntable dan telus(CAT), menjana pembangunan ekonomi yang dinikmati semua tanpa kira kaum dan agama serta menjalankan transformasi ke arah negeri bertaraf antarabangsa dan pintar yang bersih, hijau, sihat dan selamat.

Pada masa yang sama, EXCO ingin memuji dan mengucapkan penghargaan kepada pemimpin-pemimpin PAS yang menghormati kerajaan negeri dengan meletakkan jawatan mereka dalam kerajaan negeri, ekoran usul Muktamar PAS memutuskan hubungan dengan DAP dan dengan sendirinya juga dengan kerajaan negeri Pulau Pinang.

Impak negatif paling besar adalah ke atas empat wakil PAS yang merupakan Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai. Ini disebabkan mereka akan terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan Ketua Menteri Lim Guan Eng(Setiausaha Agung DAP) dan juga Ahli EXCO Kerajaan Tempatan Chow Kon Yeow yang merupakan Pengerusi DAP Negeri Pulau Pinang.

Dua daripada empat ahli Majlis kerajaan tempata PAS ini, iaitu ahli MPSP Dahalan bin Fazil dan ahli MBPP Mhd Nasir Yahya, yang bertindak dengan bermaruah selepas meletakkan jawatan, kerana usul kepimpinan baru PAS memutuskan hubungan dengan DAP dan kerajaan negeri Pulau Pinang. Tindakan bermaruah mereka yang letakkan jawatan akan diingati bukan sahaja oleh kerajaan negeri tetapi oleh rakyat Pulau Pinang.

LIM GUAN ENG