DAP MENGALU-ALUKAN KEMASUKAN ‘PEWIRA UBAH’ SASTERAWAN NEGARA DATUK A. SAMAD SAID SEBAGAI AHLI DAP

KENYATAAN MEDIA SETIAUSAHA AGUNG DAP, LIM GUAN ENG, MERANGKAP AHLI PARLIMEN BAGAN DI KUALA LUMPUR PADA 14 JUN 2015
DAP MENGALU-ALUKAN KEMASUKAN ‘PEWIRA UBAH’ SASTERAWAN NEGARA DATUK A. SAMAD SAID SEBAGAI AHLI DAP

DAP sangat berbesar hati dengan kesudian Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said meneruskan perjuangan membina masyarakat dan negara yang demokratik di Malaysia melalui DAP. Tindakan Datuk A. Samad Said yang sangat berani ini amat dihargai pada saat Malaysia dan DAP sedang diasak dengan sentimen agama dan perkauman.

Kemasukan seorang Sasterawan Negara ke dalam DAP ini pastinya merupakan sebahagian daripada manifestasi kesungguhan majoriti masyarakat Malaysia – tanpa mengira kaum dan agama – untuk mengecap perubahan. Sebagai seorang Sasterawan Negara dan tokoh nasional, Datuk A. Samad Said pasti maklum akan tohmahan dan ranjau yang bakal beliau tempuh apabila menyertai DAP – khasnya serangan fitnah daripada UMNO-Barisan Nasional yang semakin tidak relevan.

Datuk A. Samad Said bukan anak kecil yang boleh diremehkan oleh sesiapa. Beliau bukan sahaja memberikan sumbangan yang besar terhadap kesusasteraan negara malahan memberi impak terhadap gerakan sosial utama di Malaysia melalui Bersih dan juga Negara-ku. Kini, perjuangan Datuk A. Samad Said maju setapak lagi bersama DAP.

Tindakan Datuk A. Samad Said ini harus menjadi tauladan yang jelas kepada semua, bahawa intelektual awam – dalam lapangan apa sekali pun; kewartawanan, akademik, budayawan dan lain-lain – harus mengambil sikap yang jelas ketika negara kita sedang berhadapan dengan krisis kepimpinan terburuk dalam sejarah kemerdekaan negara sama ada secara partisan mahu pun tidak.

Pada saat masyarakat mendambakan isyarat jelas daripada intelektual awam, Datuk A. Samad Said telah memberikan satu alamat bahawa tiada jalan lain untuk menyelamatkan Malaysia, selain daripada meninggalkan politik perkauman dan politik ketakutan serta memilih untuk bersama-sama dengan pakatan yang memperjuangkan rakyat. Datuk A. Samad Said, yang meskipun menjangkaui usia 80 tahun, masih tetap bersemangat waja untuk membentuk jalan tengah Malaysia (middle Malaysia) yang berteraskan kesederhaan, nilai-nilai progesif dan demokratik. Maka tidak syak lagi, Datuk A. Samad Said selayaknya menerima gelaran Pewira Ubah dan wajar menjadi tauladan dan inspirasi kepada anak muda semua bangsa di negara ini.

Kemasukan Datuk A. Samad Said ini bertepatan dengan pengumuman bahawa DAP akan menyokong pembinaan semula Masjid di Kampung Pasir Tumboh, Gua Musang yang rosak teruk akibat dilanda banjir tempoh hari. Sumbangan DAP bersama-sama dengan bantuan lainnya daripada pelbagai pihak termasuk penduduk tempatan diharap dapat membantu mendirikan kembali masjid ini bagi kemudahan beribadat untuk orang kampung.

Semoga perkembangan terbaru ini akan mengukuhkan lagi kerjasama seluruh rakyat Malaysia untuk membina Malaysia yang lebih bersih dan demokratik. Sekali lagi, terima kasih Datuk A Samad Said kerana memilih bukan sahaja untuk menjadi Sasterawan Negara tetapi juga Sasterawan Rakyat.

LIM GUAN ENG

0 Responses to “DAP MENGALU-ALUKAN KEMASUKAN ‘PEWIRA UBAH’ SASTERAWAN NEGARA DATUK A. SAMAD SAID SEBAGAI AHLI DAP”


Comments are currently closed.