Teks ucapan TYT Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Sempena Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga DUN yang Ke-13

TEKS UCAPAN TUAN YANG TERUTAMA YANG DIPERTUA NEGERI PULAU PINANG SEMPENA PERASMIAN MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KETIGA DEWAN UNDANGAN NEGERI YANG KETIGA BELAS NEGERI PULAU PINANG BERTEMPAT DI DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG

Segala puji dan sanjungan hanya berhak kita panjatkan ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala yang melimpahkan kasih sayang-Nya Yang Maha Luas hingga tidak terbatas ruang dan waktu. Selawat dan salam kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabat Baginda serta keluarga mereka.

Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya dapat saya dan Toh Puan bersama menghadiri Majlis Perasmian Mesyuarat Pertama Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ketiga Belas pada pagi yang mulia dan barakah ini.

Di kesempatan yang berharga ini , saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua wakil rakyat kerana berjaya mentadbir negeri ini dengan cemerlang sepanjang penggal ini. Saya berharap semua Ahli Yang Berhormat dapat terus menjalankan amanah dan kepercayaan rakyat dalam kepimpinan negeri yang diketuai oleh Yang Amat Berhormat Tuan Lim Guan Eng.

Pembukaan tahun baru ini juga kita telah mencatatkan satu lagi sejarah baharu apabila Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) telah diisytiharkan sebagai sebuah Bandaraya yang ke-13 di Malaysia dan kini dikenali sebagai Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berkuatkuasa 1 Januari 2015. Tahniah saya ucapkan kepada Dato’ Hajah Patahiyah binti Ismail diatas penganugerahan sebagai Datuk Bandar Wanita Pertama di negeri ini. Adalah menjadi harapan saya, supaya dengan status baru, MBPP dapat meningkatkan perkhidmatan dan kesediaan untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat negeri ini, agar menjadi sebuah Bandaraya yang maju dan paling kondusif pada masa hadapan.

MEMBEBASKAN NEGERI PULAU PINANG DARIPADA GEJALA RASUAH SERTA PEMBAZIRAN DAN PENYELEWENGAN KEWANGAN

Saya ingin mengucapkan syabas kepada barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana hasil daripada urus tadbir Cekap, Akauntabitli dan Telus (CAT) ini, Kerajaan Negeri berjaya mencatatkan lebihan Belanjawan setiap tahun semenjak mengambil alih tampuk pemerintahan pada tahun 2008.

Saya difahamkan melalui lebihan Belanjawan sebanyak RM453 juta sejak tahun 2008, Kerajaan Negeri melaksanakan program-program bantuan sosial dengan peruntukan sebanyak RM287 juta warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU), ibu tunggal, surirumah, pelajar sekolah rendah dan menengah, bayi yang baru dilahirkan, waris warga emas, waris ibu tunggal dan waris OKU, semua mahasiswa dan mahasiswi universiti awam tempatan, nelayan, pemandu teksi, penarik beca serta bantuan kepada golongan miskin agar pendapatan isi keluarga secara bulanan melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) negara sebanyak RM790 sebulan.

Baki lebihan Belanjawan ini digunakan untuk melaksanakan projek-projek untuk kegunaan awam seperti jalan raya, longkang, dewan orang ramai, rumah mampu milik dan perumahan awam, taman rekreasi, gelanggang futsal dan sukan serta menaiktaraf pasar awam. Antaranya, memperuntukan RM5 juta bagi menaiktaraf tiga (3) buah pasar awam termasuk Pasar Awam Samagagah di Permatang Pauh. Saya juga dimaklumkan bahawa Kerajaan Negeri juga sedang merancang untuk membangunkan semula 4.5 ekar Pasar Awam dan Kompleks Penjaja Bandar Seberang Jaya yang akan menelan belanja sebanyak RM12 juta. Jumlah yang paling besar untuk menaiktaraf pasaraya dalam sejarah pentadbiran negeri di Malaysia.

Di samping itu, RM11 juta dibelanjakan bagi pembinaan SPA atau Seberang Perai Arena di Seberang Jaya yang merupakan dewan paling cantik dibina oleh Kerajaan Negeri.

EKONOMI NEGERI

Keadaan ekomomi terus maju dan dapat dilihat apabila pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Negeri Pulau Pinang telah meningkat daripada RM39.2 bilion pada 2005 kepada RM62.6 bilion pada 2013 iaitu peningkatan 6% setahun.

Pulau Pinang berjaya menarik jumlah pelaburan sebanyak RM8.16 bilion pada tahun 2014 berbanding dengan RM3.91 bilion pada tahun 2013. Keyakinan pelabur memang terserlah apabila pelaburan negeri ini mencatat RM48.2 bilion untuk tempoh tujuh (7) tahun di antara 2008 hingga 2014.

Peningkatan jumlah pelaburan ini sudah pastinya akan menawarkan peluang pekerjaan yang lebih meluas kepada rakyat negeri ini dan saya bersyukur apabila Pulau Pinang mencatatkan kadar pengangguran yang rendah iaitu 1.7 peratus sahaja berbanding dengan kadar pengangguran di Malaysia iaitu 3.1 peratus. Senario ini membuktikan bahawa negeri ini mampu menawarkan peluang pekerjaan yang terbuka luas untuk semua rakyat sehingga Pulau Pinang kekurangan 20,000 pekerja dalam pelbagai sektor.

Saya juga tertarik dengan inisiatif Kerajaan Negeri dengan mewujudkan pusat animasi kreatif dan teknologi dalam usaha untuk membantu usahawan kecil yang terlibat di dalam bidang animasi kreatif, teknologi ataupun yang terlibat di dalam sektor “Internet of Things” (IOT). Kerajaan Negeri akan memperkasakan bidang ini apabila renovasi Wisma Yeap Chor Ee sebanyak RM5 juta siap pada akhir tahun ini dilengkapi dengan ruang pembelajaran sains dan teknologi untuk pelajar-pelajar dan ‘accelerator’ untuk pakar-pakar sistem komputer (computer programmer).

PENGANGKUTAN AWAM DAN INFRASTRUKTUR
Mewujudkan satu sistem pengangkutan awam dan jalan raya yang berintegrasi serta menyeluruh di seluruh Negeri Pulau Pinang termasuk di Seberang Perai senantiasa menjadi agenda utama Kerajaan Negeri sejak mula memerintah Negeri Pulau Pinang pada tahun 2008. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri memperkenalkan Pelaksanaan Pelan Induk Pengangkutan Negeri yang dijangka menelan belanja sebanyak RM27 bilion yang merangkumi pengangkutan darat, air dan udara (termasuk keretapi, LRT/MRT).
Kerajaan Negeri dan Penang Sentral Sdn. Bhd. sedang dalam peringkat menimbang projek kereta kabel menghubungkan Seberang Perai dan bahagian Pulau yang dikenali sebagai Penang Sky Cab. Penang Sky Cab bukanlah berperanan sebagai alternatif kepada LRT/MRT tetapi satu produk pelancongan yang boleh menjadi mod pengangkutan awam yang lembut.
Andai semuanya berjalan lancar, projek dengan anggaran kos antara RM250 juta ke RM300 juta ini dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2018.

Saya bersyukur dengan pembangunan infrastruktur di negeri ini yang semakin baik. Pada tahun 2015 peruntukan sebanyak RM32.7 juta telah disediakan untuk memantapkan dan meningkatkan lagi pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas di bandar dan luar bandar, yang merupakan sebahagian kos peruntukan keseluruhan sebanyak RM86.3 juta untuk enam (6) projek di seluruh Pulau Pinang.

SEKTOR PELANCONGAN NEGERI

Tahun 2015 merupakan Tahun Melawat Pulau Pinang. Walaupun terdapat dua insiden malang yang berlaku pada tahun 2014 membabitkan syarikat penerbangan Malaysia iaitu MH370 dan MH17, didapati berdasarkan statistik Tourism Malaysia ianya merekodkan peningkatan penginapan hotel di Pulau Pinang pada tahun 2014. Jumlah penginapan telah meningkat sebanyak 32.89% iaitu 4.7 juta orang berbanding 3.5 juta orang pada tahun 2013. Pada masa yang sama, Lapangan Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) juga telah merekodkan pertumbuhan penumpang sebanyak 3% kepada 6 juta penumpang pada tahun 2014.

Kerajaan Negeri akan melipatgandakan usaha menganjurkan lebih banyak program di samping mencantikkan tapak pelancongan utama seperti Bukit Bendera, Tapak Warisan UNESCO George Town dan kemudahan asas bertaraf antarabangsa seperti Pusat Seberang Perai Arena, Pusat Pameran dan Konvensyen untuk menarik lebih banyak pelabur datang ke negeri ini. Tumpuan turut diberikan kepada produk-produk baru, anjuran program-program baru dengan pengalaman baru akan diperkenalkan demi menarik pelancong kembali ke Pulau Pinang.

INDUSTRI PERTANIAN DAN ASAS TANI

Saya juga sangat berharap Sektor Pertanian akan terus diperkasakan dengan konsep pertanian moden (modern agriculture) walaupun sektor ini hanya menyumbang 1.9% sahaja kepada KDNK negeri pada tahun 2013.

Usaha Kerajaan Negeri dengan memperkenalkan Tabung Usahawan Tani Muda yang merupakan satu skim mikrokredit bagi membantu usahawan tani yang baharu berjinak-jinak dalam sektor pertanian ini haruslah dipuji. Saya difahamkan dana awal sejumlah RM250,000 telah disediakan oleh Kerajaan Negeri dan 30 orang telah dipilih untuk mendapatkan bantuan mikrokredit sejumlah RM5,000 bagi mengembangkan produktiviti projek pertanian mereka. Program bantuan pukat percuma dua kali setahun oleh Kerajaan Negeri kepada golongan nelayan yang melibatkan seramai 2,981 orang nelayan pantai di seluruh daerah Negeri Pulau Pinang.

Berkenaan Zon Industri Akuakultur (ZIA), saya berpendapat bahawa projek ini merupakan satu inisiatif yang baik bagi melaksanakan projek ternakan dan pembenihan ikan serta udang laut secara bersepadu dan dianggarkan 15,000 tan metrik ikan/udang laut dapat dihasilkan setahun melalui projek ini. Projek ZIA ini secara tidak langsung dapat meningkatkan pengeluaran akuakultur negeri dan meningkatkan sumber pendapatan para pengeluar. Saya turut difahamkan bahawa Nilai Hasil Ternakan (NHT) sejak tahun 2008 melebihi RM750 juta setiap tahun dan pada tahun 2014 pengeluaran NHT berjumlah RM844.10 juta dan kadar ini dijangka akan mencapai NHT RM850 juta pada tahun 2015.

PERUMAHAN AWAM DAN MAMPU MILIK

Kerajaan Negeri harus dipuji kerana menerusi PDC giat membina 22,512 unit rumah awam dan mampu milik di kedua-dua bahagian Negeri Pulau Pinang. Ianya dijangka memenuhi permintaan rakyat sekiranya diambil kira lebih daripada 20,000 unit tambahan yang akan dibina oleh pihak swasta. PDC telah memperuntukkan dana RM500 juta untuk tujuan ini.

Selain itu, saya difahamkan bahawa Kerajaan Negeri juga telah menyediakan peruntukan pembangunan sebanyak RM9.4 juta pada tahun 2015 untuk kerja-kerja menaiktaraf dan membaiki semua rumah di rancangan perumahan. Saya yakin semua ini dilakukan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat serta membantu golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana supaya golongan ini dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa.

PERKEMBANGAN SEKTOR PENDIDIKAN
Dalam mengelak pengaliran keluar bakat tempatan, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif khas menubuhkan Penang Future Foundation (PFF) yang merupakan program biasiswa. Saya dimaklumkan bahawa PFF ditawarkan kepada pelajar-pelajar Malaysia yang cemerlang dan berkelayakan, dengan keutamaan diberikan kepada anak Negeri Pulau Pinang untuk belajar dalam jurusan terpilih dalam institusi pengajian tinggi di Malaysia, dengan syarat mesti bekerja di Pulau Pinang untuk satu tempoh masa selepas Ijazah.
PFF yang dimungkinkan hasil sumbangan derma sektor swasta dan individu sebanyak RM20 juta sebagai permulaan termasuk Penang Turf Club. Adalah diharapkan supaya lebih banyak pihak korporat akan tampil dan menyumbang kepada PFF yang mana semua sumbangan kewangan akan dikecualikan daripada cukai.
Di sini suka untuk saya memuji usaha Kerajaan Negeri yang bersungguh-sungguh meneroka inisiatif serta mewujudkan peluang bagi membendung arus pengaliran keluar pakar yang kini melanda negara. Kita sedar bahawa Pulau Pinang tidak mempunyai sumber-sumber semula jadi. Kemakmuran ekonomi dan kejayaan material kita adalah bergantung pada keupayaan membina, mengekal, menarik dan menggunakan bakat manusia.

PEMBANGUNAN BELIA DAN SUKAN

Berkenaan dengan pembangunan sukan, saya berbangga dengan pencapaian sukan negeri semasa tetapi saya percaya terdapat lagi ruang untuk dipertingkatkan mutu pencapaiannya. Bagi sukan bola sepak, tiada perkara lain yang diharapkan selain membuktikan prestasi terbaik untuk naik ke Liga Super bagi tahun 2016 dan mempamerkan aksi yang cemerlang pada Liga Perdana 2015. Saya berharap dan mencabar pengurusan Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) untuk merangkul kejuaraan dalam Liga Perdana pada tahun ini.

PEMBANGUNAN WANITA

Saya juga difahamkan pencapaian program Women Empowerment and Leadership (WEL) pada tahun 2014 melibatkan Briged Wanita Pulau Pinang (BWPP) yang bertanggungjawab mendaftar wanita yang layak untuk program penghargaan ibu tunggal, ibu emas dan skim mikrokredit Projek Titian Saksama Rakyat (PTSR) di mana sejumlah 2,241 wanita telah didaftarkan sebagai ahli BWPP.

Selain daripada itu, saya juga menyambut baik inisiatif Kerajaan Negeri memperkenalkan program pemeriksaan mamogram percuma yang telahpun dilancarkan untuk semua wanita yang melebihi 35 tahun sekaligus menunjukkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kaum wanita.

HAL EHWAL AGAMA ISLAM

Dalam hal pembangunan institusi masjid dan surau, saya amat berharap kecekapan sistem pentadbiran hal ehwal Islam dan prasarana ibadah serta pendidikan dapat terus ditambah baik. Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM54.08 juta pada tahun 2015 di bawah peruntukan keagamaan berbanding RM52.21 juta pada tahun 2014.

Penghayatan terhadap Islam semakin dirasai dengan wujudnya pelbagai saluran media dan bahan-bahan yang berorientasikan Islam. Walaubagaimanapun, berlaku kekeliruan dalam kalangan umat Islam tentang pendekatan yang terbaik dalam menjalani kehidupan sebagai seorang muslim. Oleh yang demikian, usaha Kerajaan Negeri dalam menganjurkan Konvensyen Fiqh Ummah pada 18 November 2014 yang lalu untuk memberikan pendedahan kepada masyarakat kepada pendekatan sederhana (wasatiyyah) dalam kehidupan seorang muslim amatlah dipuji. Program sebegini harus dilaksanakan setiap tahun kerana ia juga menjadi platform kepada masyarakat untuk berhubung dengan para ilmuan.

PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN AWAM

Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri kerana berjaya memperolehi penarafan 5 Bintang bagi Penilaian Penarafan Bintang oleh Malaysia Administrative Modernisation and Management Planning Unit (MAMPU). Rasanya masih belum terlewat untuk saya merakamkan ucapan tahniah juga kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) kerana diiktiraf di peringkat antarabangsa. Ucapan tahniah juga diucapkan kepada Jabatan Kewangan Negeri dan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) kerana memperolehi tahap prestasi pengurusan kewangan sangat baik bagi tempoh enam (6) tahun berturut-turut dari tahun 2008 sehingga 2013.

Ahli-Ahli Yang Berhormat, Bangunan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang kita sama-sama berada ini telah menjadi Dewan yang mulia sejak dari tahun 1959. Pada ketika itu hanya terdapat seramai 24 Ahli Dewan Undangan Negeri. Kini jumlah kawasan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang adalah berjumlah 40 KADUN dan masih menggunakan bangunan dan ruang Dewan Undangan Negeri yang sama. Kemajuan dan kepesatan pembangunan Negeri Pulau Pinang, peningkatan permintaan serta keperluan untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat adalah tidak dapat dinafikan. Oleh itu ruang yang sedia ada adalah tidak lagi mencukupi serta sesuai untuk menampung pertambahan jumlah kawasan Dewan Undangan Negeri berkenaan.

Pada pemerhatian saya dan lawatan yang telah saya berkesempatan lakukan ke beberapa buah negeri serta Dewan Undangan Negeri didapati hampir kesemua negeri telahpun mempunyai bangunan Dewan Undangan Negeri baru yang serba moden dan canggih bukan sahaja bagi menampung pertambahan jumlah KADUN semasa tetapi mengambil kira pertambahan kawasan Dewan Undangan Negeri pada masa akan datang. Oleh itu sukalah saya menyarankan Kerajaan Negeri untuk membuat perancangan tersebut mulai sekarang bagi mengenalpasti dan mendapatkan tapak yang bersesuaian bagi pembinaan bangunan baru Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

Sehubungan dengan ini saya ingin menyarankan supaya Kerajaan Negeri memberi pertimbangan yang sewajarnya untuk membina Dewan Undangan Negeri di atas “bekas” tapak pelupusan sampah Jelutong dengan mengambilkira bahawa tapak tersebut akan dilupuskan segala sampah yang ada yang menjadikan tapak tersebut bebas dari segala bahan-bahan sedia ada. Cadangan pembinaan di tapak tersebut oleh Kerajaan Negeri bukan sahaja menjadi Dewan Undangan negeri berada di satu lokasi yang strategik di antara Pulau dan Seberang tetapi juga membuktikan kesungguhan usaha Kerajaan Negeri untuk mentransformasikan tapak tersebut. Malah lokasi Dewan Undangan Negeri di tapak ini akan menjadikan ia sebahagian dari mercu tanda pembangunan Pulau Pinang dengan mengambil kira projek “The Light” bersebelahannya. Untuk cadangan ini Ahli-Ahli Yang Berhormat boleh membahaskan perkara ini bagi dipertimbangkan sewajarnya oleh Kerajaan Negeri.

PENUTUP

Sebelum saya mengakhiri ucapan saya pada pagi ini, sekali lagi saya ingin menyeru kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, sebagai Ahli Dewan Negeri yang mulia ini hendaklah mematuhi Peraturan-peraturan Tetap Dewan Negeri semasa bersidang supaya perjalanan sidang Dewan Negeri berjalan dengan teratur dan sempurna, serta dengan penuh rasa hormat menghormati antara satu dengan lain tanpa mengambil kira ideologi politik masing-masing. Ini adalah kerana, matlamat setiap ahli Dewan Negeri adalah sama iaitu untuk memberi perkhidmatan yang terbaik demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat dan negeri.

Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua penjawat awam termasuk angkatan tentera, polis dan bomba yang telah berusaha tanpa mengenal erti penat dan lelah dalam memastikan kemakmuran dan keselamatan rakyat di negeri ini terjamin.

Akhirnya, saya berdoa semoga Negeri Pulau Pinang dan seluruh rakyat negeri ini terus mendapat perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala dan sentiasa dilimpahi rahmat-Nya supaya keamanan dan kemakmuran akan dapat diwariskan kepada generasi yang akan datang. Saya turut berharap semua perancangan yang direncanakan dapat dilaksanakan dengan jayanya dalam memastikan matlamat untuk menjadi negeri maju, bertaraf antarabangsa dan pintar tercapai.