Kenyataan Akhbar Setiausaha-Agung DAP Dan Ahli Parlimen Kawasan Bagan Lim Guan Eng Di Kuala Lumpur Pada 9.11.2014. (EN)

Kenyataan Akhbar Setiausaha-Agung DAP Dan Ahli Parlimen Kawasan Bagan Lim Guan Eng Di Kuala Lumpur Pada 9.11.2014.
Hormat DAP Kepada PAS Dan Presidennya Punca DAP Minta Datuk Seri Hadi Awang Wajib Hadiri Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PR Agar PR Boleh Tunaikan Janji Dan Penuhkan Komitmen, Kerana Hanya Beliau Ialah Pemimpin Tunggal Yang Boleh Putuskan Segala-galanya Bagi Pihak PAS.

Hormat DAP kepada PAS dan Presidennya punca DAP minta Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang wajib hadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PR agar PR boleh tunaikan janji dan penuhkan komitmen, kerana hanya beliau ialah pemimpin tunggal yang boleh putuskan segala-galanya bagi pihak PAS. Kegagalan beliau menghadiri mesyuarat Pimpinan Tertinggi PR menimbulkan keraguan dan persoalan samada persetujuan oleh wakil PAS dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PR merupakan keputusan muktamad PAS, sepertimana yang berlaku dalam kemelut Menteri Besar Selangor baru-baru ini.

Malah dalam Muktamar PAS di Johor baru-baru ini, Datuk Seri Abdul Hadi menyatakan beliau berhak menolak keputusan Jawatankuasa Tertinggi PAS dan membuat keputusan sendiri bagi PAS. Kenyataan Datuk Seri Hadi ini diterima oleh DAP kerana ia tidak dipertikaikan oleh mana-mana pihak dalam PAS. Oleh itu mesyuarat Pimpinan Tertinggi PR tanpa kehadiran beliau adalah sama seperti tidak dihadiri PAS. Tanpa PAS adalah sama seperti tanpa PR kerana PR adalah gabungan tiga parti PKR, PAS dan DAP.

Saya tidak bersetuju dengan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali bahawa kenyataan balas Setiausaha Organisasi DAP dan Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke, berhubung isu ketidakhadiran Presiden PAS dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, menjurus kepada soal dalaman parti. Yang menjadi perkara pokok ialah wakil DAP dan PKR dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PR berkuasa penuh untuk membuat keputusan bagi pihak parti masing-masing, tetapi entah mana wakil PAS sekiranya bukan Presiden parti sendiri yang hadir?

Yang penting ialah wakil parti berkuasa untuk beri kata putus dan bukanlah keadaan di mana hari ini setuju, esok hari ditolak atau ditidakkan. Kalau wakil PAS dalam mesyuarat Pimpinan Tertinggi PR bukanlah wakil berkuasa yang boleh beri kata putus, ia bukan sahaja kurang hormati mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PR tetapi juga menimbulkan keraguan orang awam dan mempertikaikan komitmen parti tersebut ke atas janji atau Dasar Bersama PR yang sudahpun dipersetujui.

Saya telah mengarahkan Sdr Anthony Loke untuk bincang secara “direct” dengan Datuk Mustafa seperti yang diminta oleh Datuk Mustafa, untuk sampaikan pendirian parti DAP dan perlunya Presiden PAS menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PR.

LIM GUAN ENG