Utusan Hari Raya

Utusan Hari Raya Aidilfitri 1435 Oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng Di Komtar, George Town Pada 26.7.2014.

Mengatasi Masalah Kesesakan Trafik Dengan Menawarkan Tender Terbuka Untuk Pelan Induk Pengangkutan Awam Pulau Pinang Sebanyak RM 27 Bilion Dan Mempergiatkan Demokrasi Perumahan Dengan Meneruskan Projek Rumah Awam Dan Mampu Milik.

Bagi pihak kerajaan negeri Pulau Pinang, kami ingin ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri maaf zahir dan batin. Semoga kejayaaan menunaikan ibadah puasa di kalangan masyarakat Islam dapat diraikan dengan suasana meriah tanpa melupakan kehibaan dan kepiluan ekoran nahas MH370 yang masih kehilangan di Lautan Hindi dan kezaliman nahas MH17 yang ditembak jatuh oleh puak pengganas di timur Ukraine.

Kerajaan negeri ingin sekali mengucapkan takziah serta simpati dan solidariti kepada semua mangsa-mangsa dan ahli keluarga kedua-dua nahas kapalterbang ini. Pada masa yang sama, kerajaan negeri juga menyanjung tinggi ketabahan hati dan kecekalan semangat penduduk Palestin di Gaza yang dimangsakan oleh pengganas rejim Israel dan mengecam keganasan bukan sahaja oleh Israel tetapi juga negara-negara yang berkepala keras terus menyokong Israel.

Kerajaan negeri bangga dengan usaha gigih rakyat Pulau Pinang untuk menjadikan Pulau Pinang terus aman dan damai serta maju dan adil. Menjelang usaha menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri bertaraf antarabangsa dan pintar yang bersih, hijau, sihat dan selamat kian dicapai, adalah perlu diingatkan bahawa syarat penting kejayaan adalah masyarakat yang berharmoni dan bersatu-padu. Bukan sekadar bersikap toleransi tetapi juga harus saling hormat-menghormati demi mengekalkan hubungan silaturahim di kalangan masyarakat majmuk kita.

Oleh itu adalah dikesali pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab mempertikaikan kebajikan hal ehwal Islam di Pulau Pinang sungguhpun dalam aspek peruntukan kewangan adalah jauh lebih baik sebelum 2008. Tambahan peruntukan kewangan kepada hal ehwal agama Islam telah mengundang banyak kritikan oleh pihak yang sama sebagai tidak menghormati kaum bukan Islam tetapi kini kerajaan negeri dikritik pula sebagai mengabaikan Islam.

Fitnah haruslah ditolak dan fakta ditegakkan. Peruntukan kewangan untuk hal ehwal Islam adalah RM25.49 juta di bawah BN pada 2008, manakala di bawah PR selepas 2008 adalah RM35.78 juta (2009), RM37.85 juta (2010), RM63.21 juta (2011), RM64.03 juta (2012), RM54.55 juta (2013) dan RM51.17 million untuk 2014. Ini adalah jauh lebih banyak daripada apa yang diberikan oleh BN sebelum ini dan itulah sebabnya tambahan peruntukan ini dikritik oleh Gerakan sebagai anti-bukan Islam.

Bagi agama bukan Islam, peruntukan kewangan hanya mula diberikan pada 2012 dengan jumlah wang sebanyak RM 801,315 pada 2012, RM 1,384,425 pada 2013 dan sehingga 24 Julai 2014 sebanyak RM 477,500.

Kerajaan negeri juga menggalakkan pihak swasta mengadakan interaksi dan aktiviti bersama di kalangan pelbagai agama untuk memupuk hubungan silaturrahim. Oleh itu upacara perasmian bangunan baru oleh sebuah NGO, Penang India Association, yang didoakan oleh sami Hindu, paderi Kristain dan imam Islam adalah satu perkembangan positif. Malangnya ia telahpun dipolitikkan oleh pihak tidak bertanggungjawab sebagai bangunan kerajaan negeri yang dihadiri oleh Timbalan Ketua Menteri II Professor P. Ramasamy dan dengan sengaja tidak mahu menyebut bahawa Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G. Palanivel juga turut hadir dalam majlis perasmian tersebut.

Kerajaan negeri percaya rakyat akan menolak motif dan niat jahat golongan tidak bertanggungjawab ini yang ingin menghancurkan harmoni kaum dan agama. Kerajaan negeri tidak akan dialihkan perhatian daripada memberikan tumpuan kepada 2 cabaran utama rakyat Pulau Pinang iaitu memperbanyakkan bekalan rumah yang mampu dimiliki oleh rakyat dan masalah pengangkutan awam.

Kerajaan negeri akan berusaha mengatasi masalah kesesakan trafik dengan menawarkan tender terbuka untuk Pelan Induk Pengangkutan Awam Pulau Pinang sebanyak RM27 bilion dan mempergiatkan demokrasi perumahan dengan meneruskan projek rumah awam dan mampu milik. Kerajaan negeri berkeyakinan dapat mengatasi masalah perumahan mampu milik dengan dana RM500 juta untuk membina lebih 22,000 unit di kelima-lima daerah di Pulau Pinang.

Akan tetapi masalah kesesakan trafik amat bergantung kepada kesediaan kerajaan persekutuan meluluskan lessen operasi kerana pengangkutan awam bukanlah bidangkuasa negeri tetapi kuasa mutlak kerajaan pusat. Kerajaan negeri akan terus berinteraksi dengan kerajaan pusat untuk mencari penyelesaian bersama.

LIM GUAN ENG

0 Responses to “Utusan Hari Raya”


Comments are currently closed.