Ucapan Penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri

UCAPAN PENGGULUNGAN YAB KETUA MENTERI TUAN LIM GUAN ENG PERSIDANGAN DEWAN UNDANGAN NEGERI PULAU PINANG
MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KEDUA DEWAN UNDANGAN NEGERI KETIGA BELAS

Yang Berhormat Dato’ Yang di-Pertua Dewan
Ahli-Ahli Yang Berhormat

Terlebih dahulu saya dengan takzimnya mengucapkan terima kasih kepada Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang atas ucapan dasar yang dizahirkan di Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Yang Ke-13 pada 19 Mei 2014 yang lalu. Sesungguhnya ucapan Tuan Yang Terutama telah menyentuh keseluruhan strategi, tindakan dan program pembangunan Negeri Pulau Pinang dan ini mencerminkan keprihatinan dan kepekaan Tuan Yang Terutama terhadap kemakmuran dan kesejahteraan rakyat Negeri ini.

Saya dan seluruh kepimpinan Kerajaan Negeri akan menerima dan mempertimbangkan segala pandangan, buah fikiran, dan cadangan-cadangan yang telah dikemukakan bagi memantapkan pembangunan dan kesejahteraan negeri ke arah menjadikan Negeri Pulau Pinang sebagai sebuah negeri maju bertaraf antarabangsa dan pintar menjelang tahun 2020.

Menjawab soalan yang dibangkitkan oleh YB ADUN Machang Bubuk berkenaan Kajian Impak Sosial bagi projek pembangunan IKEA di Batu Kawan yang dikatakan akan memberi kesan kepada peniaga-peniaga kecil yang berniaga untuk meningkatkan ekonomi mereka.

Berhubung pembangunan keseluruhan tanah seluas 245 ekar untuk pembinaan gedung IKEA dan pembangunan bercampur yang dicadangkan akan dilaksanakan setelah mendapat kelulusan daripada Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan jabatan teknikal lain. Dalam hal ini, sekiranya Kajian Impak Sosial (Social Impact Assessment) merupakan satu syarat yang dikenakan oleh MPSP maka ia sudah pasti akan dipenuhi oleh pihak pemaju. Bagi pengusaha perabot tempatan, Kerajaan Negeri bercadang untuk menubuhkan satu Taman Perindustrian untuk membolehkan mereka menangani cabaran IKEA dengan memantapkan dan memperluaskan perniagaan mereka.

Seperti mana yang kita semua sedia maklum, IKEA merupakan satu jenama terkenal dunia dan mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan lestari di Batu Kawan khususnya dan Pulau Pinang amnya. Untuk menarik minat IKEA supaya membuat pelaburan di Pulau Pinang bukanlah perkara yang mudah sekiranya Kerajaan Negeri menawarkan satu pakej tawaran yang biasa. Dalam hal ini, untuk makluman YB, negeri-negeri lain juga turut menarik IKEA untuk melabur di negeri masing-masing dengan menawarkan tanah secara percuma tetapi Negeri Pulau Pinang tidak mampu untuk berbuat perkara yang sama. Oleh yang demikian, satu pakej menarik dan menyeluruh telah dibuat melalui usahasama ASPEN-IKANO iaitu menawarkan pembangunan IKEA di atas tanah seluas 20 ekar dan dalam masa yang sama menawarkan pembangunan komersial lain seluas 50 ekar serta pembangunan bercampur seluas 170 ekar. Harga jualan yang dibuat oleh PDC adalah :

IKEA – RM30.00 sekaki persegi
Komersial – RM38.00 sekaki persegi
Pembangunan bercampur – RM50.00 sekaki persegi

Jumlah harga penjualan bagi keseluruhan tanah adalah sebanyak RM483,951,600.00. Dalam melaksanakan pembangunan ini, IKEA mempunyai peranan dan peratus ekuiti. Cadangan pembangunan seperti ini merupakan kali pertama dilakukan oleh IKEA kerana sebelum ini IKEA hanya membina gedung membeli belahnya di kawasan siap membangun dan tidak terlibat dalam pembangunan selain daripada pembinaan gedung IKEA itu sendiri.
Saya kesal terhadap Ketua Pembangkang, YB Dato’ Jahara Hamid yang dilihat seperti cakap tidak serupa bikin dalam hal berkaitan penjualan tanah seluar 245 ekar oleh PDC di Batu Kawan yang dibuat secara rundingan terus kepada Aspen Vision Sdn. Bhd.. Ketua Pembangkang dalam balasan twitternya secara terang menyatakan pendirian bahawa beliau tidak bersetuju dengan kaedah rundingan berhubung tanah tersebut. Walhal YB Telok Ayer Tawar pada sesi soal jawab di DUN pada Isnin lepas menyebut “…kita faham kenapa misalannya IKEA dibuat secara rundingan…”. Ini jelas menunjukkan YB Telok Ayer Tawar tidak konsisten dengan pendiriannya di dalam dan di luar DUN. (sila rujuk lampiran)

ISU PENINGKATAN TARIF AIR

Saya mengerti isu peningkatan tarif air ini akan menjadi perdebatan hangat di dalam dewan yang mulia ini dan saya menyambut baik atas keprihatinan Ahli-Ahli Yang Berhormat mengenai isu peningkatan tarif air yang bakal diimplementasikan oleh Kerajaan Negeri.

Untuk makluman YB, kos operasi tahunan PBAPP pada tahun 2011 adalah sebanyak RM211,947,062.00, manakala pada tahun 2012 adalah sebanyak RM230,889,835.00 dan pada tahun 2013 adalah sebanyak RM237,085,048.00. Sungguh pun berlaku peningkatan dalam kos operasi PBAPP pada setiap tahun, ia bukanlah menjadi titik tolak atau alasan Kerajaan Negeri untuk meningkatkan tarif air di negeri ini. Peningkatan tarif air ini dibuat di atas dasar-dasar seperti berikut:-

Kenaikan tarif air adalah untuk mengelakkan catuan air

Ini adalah objektif utama kenaikan tarif air untuk menggalakkan semua pengguna air di Pulau Pinang mengurangkan penggunaan air mereka. Dengan penggunaan air yang kurang, secara tidak langsung akan membantu PBAPP untuk tidak mengenakan catuan air di Pulau Pinang.

Mengurangkan penggunaan air domestik yang tinggi

Dalam hal ini, sekiranya penggunaan air domestik dapat dikurangkan, maka ia akan membantu Kerajaan Negeri untuk mendapatkan kelulusan dari Kerajaan Persekutuan dan membiayai projek Skim Air Mentah Sungai Perak bernilai RM2.0 bilion bagi menjamin sumber air bagi Pulau Pinang sehingga 2050.

Tarif domestik masih yang terendah di Malaysia

Secara puratanya, cadangan tarif domestik di Pulau Pinang bagi 35 meter padu yang pertama (RM0.32 setiap meter padu) masih merupakan yang terendah di Malaysia untuk memanfaatkan rakyat. Sementara itu, purata tarif Kebangsaan bagi kategori penggunaan ini adalah RM0.66 per meter padu pada tahun 2012 yang mana ia jauh lebih tinggi daripada tarif yang dikenakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang . (YAB dimohon merujuk kepada Lampiran 1).

Berhubung dengan pengenaan caj oleh Kerajaan Negeri kepada PBAPP kerana penghijrahan aset air dari Sungai Muda ke Lahar Tiang, saya ingin menjelaskan bahawa sememangnya terdapat caj air mentah yang dibayar olej PBAPP kepada Kerajaan Negeri iaitu sejumlah RM10.82 juta pada tahun 2013, RM10.58 juta pada tahun 2012 dan RM10.4 juta pada tahun 2011.
Tujuan utama kenaikan tarif domestik sebanyak 20% adalah untuk mengelakkan daripada menjalankan catuan air apabila musim kemarau yang lebih serius akibat kesan fenomena El Nino yang dijangka melanda Malaysia pada pertengahan tahun.

Untuk makluman YB, kadar tarif air untuk aktiviti perniagaan atau industri di Negeri Pulau Pinang adalah masih yang terendah berbanding dengan Negeri Selangor dan Johor serta jauh lebih rendah daripada purata Kebangsaan iaitu sebanyak RM1.45 sebulan untuk 500 kubik liter (YAB dimohon rujuk kepada Lampiran 2). Dengan kadar yang lebih rendah ini berbanding negeri-negeri perindustrian lain, Pulau Pinang masih lagi menjadi tarikan kepada pelabur-pelabur dalam dan luar negara. Sementara itu, mengenai insentif atau rebat yang perlu diberikan kepada rakyat, saya ingin memaklumkan bahawa PBAPP telah memberi subsidi sejumlah RM68.4 juta pada tahun 2014 kepada rakyat Pulau Pinang sebagai salah satu usaha kebajikan bagi membantu rakyat secara keseluruhannya.

Dalam hal ini, suka saya maklumkan bahawa Kerajaan Negeri melalui PBAPP telah melaksanakan beberapa langkah yang terperinci di dalam memberi penerangan kepada pengguna termasuk penduduk luar bandar mengenai langkah penjimatan air. Antara langkah yang telah diambil adalah dengan mengadakan program-program seperti Program Bersama Persatuan Water Watch (USM), Aqua Save Programme, Pengedaran risalah-risalah mengenai langkah-langkah penjimatan air melalui Unit Khidmat Pelanggan, PBAPP, kempen kesedaran melalui Buletin Mutiara yang dimuatkan maklumat mengenai langkah penjimatan air, Program Kesedaran Tentang Penjimatan Air di Sekolah, Penglibatan PBAPP di Pesta Pulau Pinang dan lain-lain. Selain itu, Kerajaan Negeri melalui PBAPP juga sedang merangka kaedah lain dalam menggalakkan rakyat menjimatkan air iaitu dengan mengedarkan risalah-risalah kesedaran penjimatan air ke setiap rumah di Pulau Pinang dan mengadakan pameran bergerak (roadshow) mengenai pentingnya pemuliharaan air bagi mengelakkan krisis air yang akan memberi kesan kepada kehidupan seharian kita. Berkenaan cadangan yang dikemukakan oleh YB, ia merupakan cadangan yang baik dan pihak PBAPP akan mempertimbangkan cadangan tersebut.

Mengenai desakan untuk Surcaj Pemuliharaan Air sebanyak 60%, suka saya jelaskan di sini bahawa isi rumah yang besar dan melebihi 8 orang dan ke atas boleh memohon untuk mendapatkan diskaun sebanyak 60% bagi Surcaj Pemuliharaan Air (WCS). Borang permohonan boleh didapati dari 9 Unit Khidmat Pelanggan (PBAPP) mulai 16 April 2014 dan pelanggan perlu mengemukakan beberapa dokumen untuk pengesahan pihak PBAPP. Antara dokumen yang diperlukan adalah:-

Nama penuh dan Kad Pengenalan kesemua penghuni rumah (kesemua Kad Pengenalan penghuni mestilah menunjukkan alamat rumah yang sama seperti dalam bil air domestik);

Salinan Kad Pengenalan mestilah disahkan sebagai Salinan Benar (Certified true copy);

Salinan Bil Air PBAPP yang terkini; dan

Salinan Bil Elektrik TNB yang terkini.

Diskaun ini hanya terpakai untuk pengguna air domestik sahaja (Tarif 1) dan akan terpakai hanya untuk Surcaj Pemuliharaan Air (Water Conservation Surcharge) yang dikenakan mulai 1 Mei 2014. Selain itu, permohonan diskaun ini hanya perlu dibuat sekali sahaja dan permohonan yang diterima adalah berdasarkan kepada jumlah penggunaan air (water consumption) dan bukannya ke atas pendapatan isi rumah.

ISU PENILAIAN UCAPAN DEWAN

YB ADUN Air Itam juga membangkitkan soalan mengenai status pelaksanaan sistem penilaian kualiti perbahasan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri.

Menjawab kepada persoalan yang dibangkitkan, saya ingin memaklumkan bahawa cadangan pelaksanaan ini masih dibincangkan secara terperinci oleh Yang di-Pertua Dewan bersama-sama dengan back benchers bagi menentukan terma-terma rujukan yang sesuai sebelum ia dapat dilaksanakan sepenuhnya.

ISU AKTA PENGURUSAN STRATA

YB ADUN Air Itam juga membangkitkan soalan mengenai status Akta Pengurusan Strata dan bilakah Akta ini akan dibawa ke Dewan Undangan Negeri untuk kelulusan.

Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) telah dibentangkan dan diluluskan di Parlimen pada November 2012 dan digazetkan pada 8 Februari 2013. Walau bagaimanapun, tarikh kuat kuasa Akta tersebut di negeri-negeri Semenanjung Malaysia masih belum ditetapkan sehingga hari ini. Menurut subseksyen 1 (3) Akta Pengurusan Strata 2013, YB Menteri akan menetapkan tarikh kuatkuasa Akta tersebut di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia selepas berbincang dengan Pihak Berkuasa Negeri.

Status terkini pelaksanaan Akta tersebut ialah Kerajaan Negeri telah dimaklumkan oleh pihak Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (melalui mesyuarat di Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian pada 22 April 2014) bahawa pihak Kementerian masih lagi berbincang dengan Jabatan Peguam Negara mengenai deraf kaedah-kaedah yang perlu digazetkan bagi menguatkuasa Akta ini termasuklah Kaedah-kaedah Tribunal Pengurusan Strata.

YB Dato’ Yang di-Pertua Dewan,

ISU PENUBUHAN PUSAT SEHENTI UNTUK INDUSTRI PERFILEMAN

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada YB ADUN Paya Terubong dan YB ADUN Kebun Bunga yang memberikan cadangan supaya menubuhkan sebuah Pusat Sehenti (One Stop Centre) dan Jawatankuasa yang bertanggungjawab sebagai penyelaras yang membantu pembuat filem di Pulau Pinang seperti yang terdapat di Negeri Perak, Sarawak dan Johor. Pusat Sehenti yang dicadangkan diuruskan oleh golongan teknokrat yang mahir dalam industri perfileman.

Kerajaan Negeri menyambut baik cadangan yang diberikan mengenai perkara ini. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa Negeri Pulau Pinang sejak kebelakangan ini sering menjadi destinasi tumpuan oleh syarikat-syarikat perfileman untuk mengadakan aktiviti penggambaran filem. Pada bulan Mei 2014, terdapat lima (5) buah syarikat penerbitan filem dan drama TV yang telah memohon bantuan daripada Kerajaan Negeri bagi menyediakan kemudahan seperti sewaan lokasi penggambaran filem, tempat penginapan, bantuan untuk menutup sebahagian jalan ketika penggambaran dan sebagainya.

Bagi memastikan urusan penyelarasan dan aktiviti penggambaran filem dan drama dapat dijalankan dengan lebih efisyen dan efektif, Kerajaan Negeri berhasrat untuk melantik Penang Global Tourism (PGT) Sdn. Bhd. sebagai agensi penyelaras penggambaran filem di Pulau Pinang.

Berkenaan cadangan yang dibangkitkan oleh YB ADUN Tanjung Bungah supaya banglo-banglo Kerajaan Negeri di Bukit Bendera diduduki oleh YAB Ketua Menteri dan YB EXCO bagi memastikan banglo-banglo ini sentiasa terpelihara.

Untuk makluman YB, cadangan supaya YB Ahli EXCO atau Ketua Menteri untuk menduduki banglo kerajaan di atas Bukit Bendera bukanlah satu jalan penyelesaian yang konkrit untuk memastikan banglo-banglo tersebut terpelihara. Ini adalah kerana Kerajaan Negeri telah mengutamakan polisi untuk memaksimumkan (unlocking of assets) nilai strategik bagi aset negeri dalam menjana hasil melalui Perkongsian Awam Swasta (PPP) untuk meningkatkan hasil Kerajaan Negeri. Sehingga kini, terdapat lima (5) buah banglo Kerajaan Negeri di Bukit Bendera yang telah diberi milik kepada Unit Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (SSI) iaitu Banglo Strawberry Hill (Tea Kiosk), Woodside, Convalescent, Fernhill dan Hillside. Perjanjian telah ditandatangani di antara Kerajaan Negeri dan Penang Hill Company Hotels and Restaurants Sdn. Bhd. (PHCSB) pada 1 Jun 2004 untuk tempoh 30 tahun iaitu sehingga 2034 untuk tujuan restoran dan hotel.

Malangnya sehingga kini hanya Banglo Strawberry Hill (Tea Kiosk) yang telah diubahsuai dan beroperasi sebagai restoran dan kini kawasan sewaan telah diperluaskan dan terdapat juga David Brown’s Sky Terrace yang telah dibuka untuk orang ramai. Rentetan itu, Kerajaan Negeri telah menamatkan perjanjian Banglo Woodside, Convalescent, Fernhill dan Hillside dengan PHCSB pada 24 Mac 2014 kerana banglo-banglo tersebut tidak dibangunkan dan tidak diselenggara dengan baik. Ini menunjukkan Kerajaan Negeri amat mengambil berat dan prihatin terhadap aset-aset Kerajaan Negeri yang tidak diuruskan supaya terus terpelihara.

Oleh yang demikian, bagi memastikan Banglo Woodside, Convalescent, Fernhill dan Hillside terus terpelihara, maka Kerajaan Negeri bercadang untuk memaksimakan pembangunan dan pengurusan tersebut melalui PPP. Sekiranya cadangan ini boleh dilaksanakan melalui konsep PPP maka Request for Proposal (RFP) akan disediakan selaras dengan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) yang diamalkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi memastikan syarikat-syarikat berpengalaman dan berkebolehan dipilih untuk menguruskan banglo-banglo tersebut. Sekiranya banglo-banglo tersebut dapat diuruskan dengan baik maka secara tidak langsung akan menambahkan produk pelancongan yang baharu dan meningkatkan pendapatan kepada Negeri Pulau Pinang.

PERUNTUKAN BAGI SETIAP PEJABAT DAERAH

Menjawab kepada soalan YB ADUN Penanti berkenaan jumlah peruntukan yang diluluskan untuk setiap Pejabat Daerah di Pulau Pinang bagi kerja-kerja kemudahan infrastruktur asas.

Di bawah peruntukan P.01 Butiran 64, iaitu Projek Khas Ekonomi Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM5,712,510.00 bagi daerah-daerah di Pulau Pinang. Peruntukan ini merangkumi program-program pembaikan rumah rakyat termiskin, menaiktaraf tandas di kompleks gerai, pemberian bantuan peralatan, menyelenggara dan menaiktaraf dewan orang ramai serta jalan kampung. Manakala di bawah peruntukan P.12 (JKR) Pulau Pinang telah diperuntukkan sebanyak RM10,545,160.00 yang merangkumi jalan negeri, jambatan serta keselamatan jalan raya (lampu isyarat, kemudahan OKU, papan tanda dan mengecat jalan). Peruntukan ini disalurkan melalui JKR daerah mengikut kelulusan di bawah program-program pembangunan akan sentiasa mengambilkira keperluan rakyat Pulau Pinang.

ISU PEMBANGUNAN SRI TANJUNG PINANG 2
Seperti mana yang terkandung dalam Perjanjian Konsesi yang ditandatangani pada tahun 1990, seluas 60 ekar tanah dalam pulau STP2 akan dituntut semula dan diserahkan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan ini menjadikan simpanan tanah Kerajaan Negeri akan bertambah. Di samping itu, pihak pemaju juga akan menebus guna tanah seluas 131 ekar di sepanjang jajaran Gurney Drive yang juga akan dikembalikan dan diserahkan kepada Kerajaan Negeri. Di dalam keluasan 131 ekar tersebut pihak pemaju akan membina taman awam untuk penduduk Negeri Pulau Pinang.

YB ADUN Pulau Tikus juga membangkitkan mengenai isu kos penggalian di sekeliling STP 2 yang dilakukan setiap 5 tahun dan syarat yang ditetapkan supaya projek tersebut tidak akan mengakibatkan banjir di Tanjung Pinang. YB juga membangkitkan bahawa projek STP 2 dilihat sangat berisiko kepada rakyat dan menyoal berkenaan kesan yang perlu ditanggung oleh Kerajaan Negeri sekiranya menghentikan projek ini separuh jalan dan berkenaan jabatan yang bertanggungjawab menilai laporan penebusan tanah yang dihantar setiap enam (6) bulan.

Kos pengorekan tanah ini bergantung kepada kemajuan kerja-kerja penambakan yang dijalankan dan dianggarkan kira-kira RM1.0 hingga RM2.0 juta akan dihabiskan untuk setiap kali kerja-kerja tersebut dilaksanakan dan ia bergantung kepada kadar pasaran semasa. Pembangunan STP2 telah mendapat kelulusan Details Environment Impact Assessment (DEIA) di mana pihak pemaju perlu mematuhi sepenuhnya syarat-syarat yang telah ditetapkan. Antaranya pemaju hanya boleh membuat penambakan 760 ekar pulau-pulau buatan manusia dan 131 ekar di tepi pantai Gurney Drive serta aktiviti pengorekan di “flushing channel” sahaja. Selain itu, peruntukan dalam Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 juga perlu sentiasa dipatuhi seperti:-

Pembangunan STP2 yang dicadangkan mestilah selaras dengan konsep projek yang dinyatakan dalam DEIA serta tertakluk kepada kelulusan penilaian kesan alam sekitar yang berasingan oleh Jabatan Alam Sekitar untuk aktiviti yang ditetapkan di bawah Perintah Kualiti Alam Sekitar (Aktiviti yang ditetapkan) (Penilaian Kesan Alam Sekitar) 1987;

Pihak pemaju perlu mendapatkan kelulusan yang diperlukan daripada Kerajaan Negeri dan Jabatan teknikal berkenaan sebelum STP2 yang dicadangkan tersebut dilaksanakan;

Syarat-syarat dan syor daripada Perunding DEIA perlu dimasukkan sebagai syarat dokumen tender dan perjanjian kontrak yang akan dipenuhi oleh mana-mana kontraktor/subkontraktor yang terlibat dalam pelaksanaan STP2 yang dicadangkan;

Kelulusan bersyarat DEIA adalah sah untuk tempoh 2 tahun dari tarikh pengeluaran; dan

Semua kerja-kerja yang akan dijalankan dalam STP2 yang dicadangkan mesti mematuhi keperluan berkaitan dengan kerja khusus dan spesifikasi yang dinyatakan termasuklah kewajipan pelaporan di bawah undang-undang dan peraturan yang berkaitan.

Dari sudut undang-undang, sekiranya mana-mana pembatalan STP2 akan memerlukan pembayaran pampasan oleh Kerajaan Negeri seperti yang tertakluk dalam Perjanjian Konsesi, tahun 1990, (Perkara 9.2) : Kerajaan hendaklah menanggung rugi syarikat bagi apa-apa kerugian, kerosakan, kos dan perbelanjaan yang dialami akibat daripada penamatan tersebut.

Menjawab kepada soalan mengenai jabatan yang bertanggungjawab dalam menilai laporan penebusan tanah, Laporan pemantauan berkala ini akan dikemukakan dan dinilai oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang dengan bantuan Jabatan Alam Sekitar Ibu Pejabat / Persekutuan.

PENUTUP

Sebelum saya mengakhiri ucapan saya pada ini, masih belum terlewat rasanya untuk saya mengucapkan Selamat Hari Pekerja, Selamat Hari Ibu, Selamat Hari Jururawat, dan Selamat Hari Guru kepada semua yang menyambutnya pada bulan ini. Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada YB Dato’ Yang di-Pertua Dewan kerana berjaya mengendalikan perjalanan dewan dengan sebaiknya.

Saya juga bersyukur kerana setelah hampir dua (2) penggal Kerajaan Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk kepimpinan negeri, telah banyak perancangan dan pembangunan yang telah dilaksanakan. Semoga kejayaan-kejayaan dalam memastikan agenda pembangunan negeri ini akan berterusan demi memastikan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat akan terus terpelihara.

Beranikah UMNO Pecat Samseng-Samseng Yang Mencemarkan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang?

Bagi pihak kerajaan negeri, kami ingin mengutuk ahli-ahli UMNO yang bertingkah laku macam samseng mahu merusuh di luar perkarangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang(DUN). Kami menghargai kehadiran polis untuk menjaga ketenteraman tetapi meminta tindakan undang-undang yang lebih tegas terhadap mereka.

Ini kerana 12 samseng ini yang ditahan polis kerana mencerobohi dan mencemarkan kemuliaan DUN telahpun dibebaskan selepas diikat jamin oleh seorang VIP. Selepas dibebaskan , 12 orang samseng ini masih rasa tidak bersalah tetapi ingin mengulangi apa yang mereka lakukan dengan berkumpul di luar DUN semalam.

Semalam YB Ketua Pembangkang akhirnya bersetuju apa pemimpin dan ahli UMNO Pulau Pinang buat pada 21hb Mei 2014 adalah salah dan telahpun meminta maaf bagi pihak mereka. Memandangkan ahli-ahli UMNO masih berdegil lagi, adakah tindakan pemecatan dari UMNO akan dilakukan memandangkan mereka ini tidak hormati undang-undang negara tetapi memilih cara keganasan? Beranikah UMNO memecat mereka untuk membuktikan kepada rakyat Pulau Pinang bahawa UMNO menjauhi dan tidak mendokong keganasan?

Kebangkitan Semula Pulau Pinang

Kita harus ingat sebab utama kebangkitan semula Pulau Pinang sejak 2008 adalah bergantung kepada daya usahawanan, daya tenaga dan daya kepakaran rakyat(entrepreneurship, energy and expertise) Pulau Pinang yang dicantumkan dengan sistem tadbir urus yang baik dan bersih serta kedaulatan undang-undang(rule of law).

Oleh itu kita mesti berusaha dengan sekeras-kerasnya untuk membina dan mengekalkan modal insan, memastikan sasaran “rasuah sifar’ dan kepimpinan integriti serta mempertahankan sistem demokrasi berparlimen dan raja perlembagaan dapat dicapai. Ini dilihat dari aspek hasil kejayaan dalam pelaburan luar asing dalam bidang pembuatan dan perkhidmatan yang canggih serta pertumbuhan meningkat dalam pelancongan tanpa dijejaskan oleh pembatalan pelancong daripada negeri Cina sebanyak 50% ekoran peristiwa tragedi MH370.

Pulau Pinang merupakan jaguh pelaburan luar negeri(FDI) untuk tempoh masa 2010 hingga Ogos 2013 diumumkan oleh YAB Perdana Menteri sendiri. Kemasukan kualiti pelaburan dalam bidang elektronik dan perkhidmatan amat ketara dan boleh dirasai di semua tapak perindustrian di bahagian pulau dan Seberang. Lebih banyak syarikat berjenama akan memasuki Pulau Pinang dengan penekanan kepada pekerjaan berpendapatan tinggi, bernilai tinggi, bertekonologi tinggi dan berpengetahuan intensif.

Kita juga bangga bahawa menerusi urustadbir bersih dan baik, kerajaan negeri tetap dapat merekodkan lebihan sungguhpun ratusan juta dibelanjakan bukan sahaja untuk pembangunan infrastruktur tetapi untuk bantuan kewangan kepada warga emas dan warisnya, anak emas, pelajar emas, mahasiswa emas, OKU, ibu tunggal dan yang tidak bekerja, free wifi, pemandu teksi, nelayan pantai, penarik beca, menghapuskan kemiskinan dengan jaminan RM790 sebulan setiap isi rumah dan menubuhkan pusat dialisis.

Kita juga bangga bahawa Pulau Pinang kian bersih, hijau, sihat dan selamat. Keselamatan adalah ditekankan oleh pihak kerajaan negeri dengan menambahkan pemasangan CCTV dan penubuhan Pasukan Peronda Sukarela(PPS). Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada PDRM dan PPS kerana berjaya memastikan Pulau Pinang adalah di antara yang paling selamat di Malaysia.

Ada dua cabaran secara jangka masa panjang dan cabaran jangka masa pendek. Dua cabaran jangka masa pendek adalah krisis kekurangan air dan masalah “Barang Naik” atau BN. Krisis kekurangan air telahpun ditangani oleh kerajaan negeri dengan komitmen tidak akan benarkan catuan air. Masalah BN lebih rumit ekoran kenaikan harga petrol, gula, letrik dan insurans motor dan akan meruncing apabila GST dilaksanakan pada tahun depan.

Cabaran jangka masa panjang yang harus ditangani adalah untuk memperbanyakkan modal insan serta mempertahankan sistem demokrasi yang sedia ada. Kerajaan negeri telah mengambil pelbagai usaha termasuk pendidikan vokasional dengan industri serta menarik sebuah universiti “Top 100” yang pertama di Malaysia.
Samada jayanya atau tidak untuk mempertahankan sistem demokrasi bergantung kepada syarat semada ia masih relevan untuk rakyat dan mampu memperkuasakan orang muda dan wanita. Itulah sebabnya kebangkitan Dyana Sofya telah menawan hati seluruh rakyat Malaysia bukan sahaja di PRK Teluk Intan. Beliau adalah nafas baru daripada golongan muda, wanita dan terpelajar. Golongan inilah yang harus diberikan peluang dan akan menentukan survival sistem demokrasi kita yang teguh dan berdaya tahan.

Bila kedua-dua cabaran jangka masa pendek dan dua jangka masa panjang diatasi, barulah kemakmuran Pulau Pinang terjamin.

Sekian, terima kasih dan saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan kepada semua Ahli-ahli Yang Berhormat dan semua yang beragama Islam yang akan menyambutnya pada 29 Jun 2014 akan datang. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada YB Dato’ Yang di-Pertua Dewan atas peluang yang telah diberikan kepada saya untuk membentangkan ucapan penggulungan saya pada hari ini.

Sekian, YB Dato’ Yang di-Pertua Dewan, saya mohon menyokong.

Terima kasih.
LIM GUAN ENG

0 Responses to “Ucapan Penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri”


Comments are currently closed.