Teks Ucapan Bajet 2014 (bm/cn)

Mandarin Version

UCAPAN BAJET TAHUN 2014 NEGERI PULAU PINANG oleh Y.A.B. TUAN LIM GUAN ENG KETUA MENTERI PULAU PINANG
KETIKA MEMBENTANGKAN RANG UNDANG-UNDANG PERBEKALAN DAN USUL ANGGARAN PEMBANGUNAN 2014 DI PERSIDANGAN DEWAN UNDANGAN NEGERI PADA 29 NOVEMBER 2013

NEGERI BERTARAF ANTARABANGSA DAN PINTAR
Y.B. Dato’ Speaker,
Saya mohon mencadangkan supaya rang undang-undang yang bertajuk “Suatu enakmen bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2014 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca kali kedua.

PENDAHULUAN
Y.B. Dato’ Speaker,

1. Sempena dengan Persidangan Dewan yang mulia ini dan sebelum saya membentangkan Bajet Negeri Pulau Pinang bagi tahun 2014, marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran kepada Tuhan kerana dapat berkumpul di Dewan yang mulia ini untuk mendengar pembentangan bajet pertama bagi pihak Kerajaan Negeri semenjak diberi mandat untuk meneruskan pentadbiran Kerajaan Negeri dalam Pilihanraya Umum ke-13 yang lalu. Sesungguhnya, pembentangan Bajet 2014 ini merupakan kali keenam yang dibentangkan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat.

2. Bajet 2014 ini adalah sebagai penerus tradisi kepada keupayaan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat dalam memakmurkan Negeri Pulau Pinang dan membawa kesejahteraan kepada semua lapisan rakyat. Ianya adalah juga sebagai tanda terima kasih Kerajaan Negeri kepada semua rakyat Negeri Pulau Pinang kerana memberikan mandat besar dalam Pilihanraya Umum ke-13 yang lalu yang membolehkan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat menambahkan undi popular sebanyak 10% kepada 68% dan menambahkan satu kerusi kepada 30 daripada 40 kerusi DUN. Hal ini mencerminkan kepercayaan dan sokongan padu rakyat negeri ini kepada kepimpinan Kerajaan Negeri sebagai ejen perubahan untuk mentransformasikan Pulau Pinang sebagai negeri bertaraf antarabangsa dan pintar. Oleh itu, Kerajaan Negeri akan sentiasa memberikan yang terbaik kepada seluruh rakyat Negeri Pulau Pinang dengan memantapkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan supaya lebih efisien, efektif dan memenuhi kehendak rakyat keseluruhannya. Amanah dan kepercayaan yang diberikan akan dipikul oleh saya dan semua barisan kepimpinan negeri ini dengan penuh dedikasi dan integriti berlandaskan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat.

3. Saya bagi pihak kepimpinan negeri dan semua penjawat awam Negeri Pulau Pinang ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, di atas segala pandangan dan nasihat yang diberikan kepada kita bagi melaksanakan pembangunan dan pentadbiran di negeri Pulau Pinang yang kita cintai ini. Keprihatinan Tuan Yang Terutama Tun dalam memastikan setiap pembangunan yang dilaksanakan dapat memenuhi keperluan rakyat dan seterusnya dinikmati oleh semua rakyat negeri Pulau Pinang amatlah disanjung tinggi. Kami, kepimpinan negeri dan seluruh rakyat negeri Pulau Pinang mendoakan agar Tuan Yang Terutama Tun dan Yang Amat Berbahagia Toh Puan sentiasa diberi kesejahteraan, dipanjangkan umur dan mendapat keberkatan serta kerahmatan untuk terus memegang tampuk kepimpinan tertinggi Negeri Pulau Pinang.

DASAR DAN STRATEGI PEMBANGUNAN NEGERI

4. Pada penggal Dewan Undangan Negeri ke-12 lalu, pendekatan CAT adalah kepada pentadbiran berteraskan belanjawan (budget-based administration) untuk mengatasi sebarang ketirisan dalam bentuk penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan amalan rasuah. Dalam hal ini beberapa kejayaan telah dicapai oleh Kerajaan Negeri antaranya merekodkan lebihan bajet setiap tahun, menaikkan aset Kumpulan Wang Disatukan sebanyak 50% sejak 2008 kepada RM1,192 juta, pengurangan hutang Kerajaan Negeri sebanyak 95%, merupakan Kerajaan Negeri tunggal di Malaysia yang dipuji oleh Transparency International kerana Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah Kerajaan Negeri yang pertama mengamalkan sistem tender terbuka secara kompetitif dan mengumumkan harta benda peribadi Ketua Menteri, Ahli MMK dan ADUN-ADUN, menaikkan pengiktirafan di peringkat antarabangsa oleh ECA International sebagai Most Liveable City In Malaysia, Negeri keempat terbaik di dunia untuk bersara, destinasi pelancongan dan sebuah bandaraya warisan dan budaya yang terunggul di Malaysia. Kerajaan Negeri meneruskan prestasi cemerlang lebihan bajet tahunan dengan lebihan bajet 2012 sebanyak RM114.47 juta mengikut Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang juga memuji keupayaan Pulau Pinang dalam mengamalkan sistem pengurusan kewangan dengan baik.

5. Bagi tujuan mengekalkan prestasi dan merancakkan pembangunan negeri yang lebih mampan pada tahun 2014, Kerajaan Negeri akan memberi penekanan ke arah pentadbiran berteraskan hasil (outcome-based administration). Hal ini bukan sekadar memenuhi prinsip value for money dan penggunaan sumber secara optimal tetapi juga memastikan setiap projek yang dirancang mampu memberikan impak maksima kepada rakyat. Pencarian sumber-sumber baru dan kreatif serta memaksimakan penggunaan sumber sedia ada menjadi fokus utama bagi mengurangkan perbelanjaan, di samping dalam masa yang sama dapat meningkatkan pendapatan.

6. Sebagai sebuah Kerajaan yang berjiwa rakyat, Kerajaan Negeri akan terus memberi tumpuan kepada tiga (3) teras utama pembangunan negeri iaitu merancakkan pertumbuhan ekonomi (pro-growth), mewujudkan peluang-peluang pekerjaan (pro-jobs) dan menjamin keadilan sosio-ekonomi (pro-poor).

A. MERANCAKKAN PERTUMBUHAN EKONOMI DALAM SEKTOR PEMBUATAN, PERKHIDMATAN DAN PEMBINAAN

7. Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan bahawa prestasi ekonomi bagi Negeri Pulau Pinang mencatatkan peningkatan yang amat memberangsangkan iaitu dari 3.9% pada tahun 2011 kepada 5.0% pada tahun 2012. Adalah dipercayai angka ini kurang tepat kerana Pulau Pinang mencatat pelaburan yang lebih sebanyak RM9.1 bilion pada 2011 berbanding dengan RM 2.5 bilion pada 2012. Oleh itu pertumbuhan ekonomi pada tahun 2011 harus lebih baik daripada tahun 2012. Sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan merupakan penyumbang utama kepada ekonomi Negeri Pulau Pinang. Seharusnya tumpuan perlu dialihkan kepada jurusan industri dalam tiga (3) sektor ini yang menggaji pekerja tempatan dan bukannya pekerja luar negara.

8. Mengikut laporan yang dikemukakan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Pulau Pinang merupakan lokasi pelaburan terbesar di Malaysia dengan RM36.1 billion di antara 2008-2012 berbanding dengan RM18.7 bilion di antara tahun 2003-2007. Kejayaan menarik pelaburan harus dilihat dalam konteks pertumbuhan sektor pembuatan GDP negara sebanyak 0.3% sahaja pada penggal pertama tahun ini berbanding dengan 4.4% pada tahun 2012. Dalam keadaan ini, hanya peneraju pertumbuhan ekonomi yang lebih dinamik, kreatif dan inovatif dapat mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi bagi pekerja tempatan. Ini direalisasikan dengan pelaburan berbilion ringgit oleh syarikat antarabangsa terkemuka seperti Ibiden Corporation, Bose Corporation, Haemonetics Corporation dan Honda.

9. Sektor pembinaan memperlihatkan pertumbuhan yang paling tinggi di seluruh Negara sebanyak 15.4% pada 2012 dan 14.7% pada penggal pertama tahun ini. Di Pulau Pinang, kelulusan Commencement of Works (COW) oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) adalah sebanyak RM 2.5 bilion pada 2012 dan RM1.2 bilion setakat September 2013. Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) pula meluluskan COW sebanyak RM 922 juta pada 2012 dan RM1.9 bilion setakat Oktober 2013.

10. Dalam memperkemaskan lagi kemudahan infrastruktur awam juga memangkin sektor pembinaan, Kerajaan Negeri telah menandatangani perjanjian awal dengan Consortum Zenith BUCG Sdn Bhd dengan disertai oleh China Railway Construction Corporation International (CRCC) dan Beijing Urban Construction Group (BUCG) pada 6 Oktober 2013. Perjanjian awal ini adalah untuk membolehkan pihak syarikat menjalankan Kajian Kebolehlaksanaan dan Rekabentuk Terperinci bagi Jalan Pintasan Air Itam-Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu, Jalan Pintasan Persiaran Gurney-Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu, Jalan Berkembar Tanjung Bungah-Teluk Bahang dan Terowong Link Ketiga yang bernilai RM6.341 bilion.

11. Ini tidak merangkumi projek jalan oleh JKR, khususnya Seberang Perai, sebanyak RM84.87 juta diperuntukkan berbanding dengan RM41.6 juta pada 2013. Manakala MPPP bercadang mengawal selia pembinaan jalan bernilai RM45 juta, termasuk projek menghubungkan jalan berkembar Jalan Paya Terubung yang dikenali sebagai Jalan Bukit Kukus dari Lebuhraya Thean Teik ke Tingkat Paya Terubong 1 (Sun Moon City).

12. Di samping itu, RM18 juta telah diperuntukkan untuk projek tebatan banjir pada tahun depan berbanding dengan RM16 juta tahun ini. MPSP akan memperuntukkan RM9.1 juta untuk projek tebatan banjir pada tahun depan di mana RM3.4 juta adalah di kawasan Bukit Mertajam.

13. Kini, kejayaan ekonomi tidak boleh bergantung semata-mata kepada satu sektor tetapi memerlukan penumpuan (convergence) sektor pembinaan, perkhidmatan dan kerajaan. Sektor perkhidmatan bukan sahaja merangkumi pelancongan, rawatan perubatan dan pendidikan tetapi juga perkhidmatan berkongsi (shared services) seperti kewangan, perakaunan dan pemerosesan data.

14. Kerajaan Negeri boleh memainkan peranan penting sebagai pendaya (enabler) di antara sektor pembuatan dan perkhidmatan. Kerajaan mesti berinovasi dan melabur dalam kemudahan infrastruktur, modal insan, insentif serta bayaran kebajikan dan pembasmian kemiskinan. Dasar merancakkan ekonomi mestilah bertujuan ke arah:

• Liberalisasi peraturan sedia ada untuk mengurangkan karenah birokrasi,

• Penjualan (divestment) perniagaan yang bukan teras fungsi kerajaan seiring dengan saranan, “business of government is to stay out of business”,

• Membenarkan daya saing yang bebas dan adil; dan

• Menggalakkan pembinaan modal insan.

15. Sektor perkhidmatan menunjukkan pertumbuhan yang lebih memberangsangkan di Malaysia dengan 5.7% untuk 2012 berbanding 5.9% untuk penggal pertama tahun ini. Pulau Pinang telah memperlihatkan hasil dalam usaha menjana pertumbuhan ekonomi yang mampan dan menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan dalam ketiga-tiga sektor. Kerajaan Negeri berkeyakinan Pulau Pinang memiliki syarat-syarat perlu untuk mencapai potensi sebagai salah satu daripada 31 bakal “Business Processing Outsourcing(BPOs) hubs of the future” sepertimana yang diramalkan oleh syarikat perakaunan KPMG. Dua (2) tahun lepas, Kerajaan Negeri mengambil tindakan berani menumpukan kepada sektor perkhidmatan kerana ianya berupaya menggaji 100% pekerja tempatan yang berpendapatan tinggi.

16. Respons baik daripada sektor perkhidmatan telah menyebabkan Pulau Pinang hampir kehabisan ruang pejabat Gred A. Malah First Solar Corporation, yang merupakan pemimpin dunia dalam pasaran tenaga solar, telah mendirikan “shared services outsourcing hub” bukan di kilang mereka di Kulim tetapi di Pulau Pinang.

17. Di antara syarikat perkhidmatan terkemuka yang berpindah ke Pulau Pinang adalah Air Asia yang memindahkan bahagian IT, pembelian dan sumber manusia daripada Bangkok, Wilmar yang merupakan syarikat gergasi minyak masak bernilai USD45 bilion daripada Hong Kong dan salah satu bank terbesar di dunia, Citigroup yang mengambil 1,000 pekerja untuk menguruskan pusat pemprosesan perdagangan dan kredit serantau dengan nilai transaksi USD5.8 trilion setahun!.

18. Demi memperkasakan pertumbuhan masa depan, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan 17 ekar tanah di Bayan Baru dan Bayan Lepas untuk dijadikan Hub BPOs Pulau Pinang. Bayan Baru (Fasa 1) dan Bayan Lepas (Fasa 2) akan menawarkan sekurang-kurangnya 1.7 juta kaki persegi ruang pejabat dalam tempoh tiga (3) hingga lima (5) tahun. Ini memang projek terbesar BPO di Pulau Pinang.

19. Kemakmuran Pulau Pinang bergantung kepada keupayaan ketiga-tiga sektor dapat menjanakan perkongsian di antara ketiga-tiga sektor pembuatan, perkhidmatan dan kerajaan. Ataupun perkongsian dengan sumber-sumber dana modal, modal insan, para inovasi dengan kerajaan sebagai kuasa pendaya (enabler).

Batu Kawan – Pelaburan Strategik Berimpak Tinggi

20. Pembukaan Jambatan Kedua Pulau Pinang bernilai RM4.5 bilion pada tahun depan merupakan pemangkin pembangunan Batu Kawan. Pada tahun 2013 juga, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) telah berjaya menjual sebanyak 105.87 ekar tanah perindustrian di Batu Kawan kepada 50 buah syarikat dengan nilai jualan sebanyak RM876 juta yang mana ia turut menjana 3,948 peluang pekerjaan. Sebahagian besar daripada pelaburan ini tertumpu di Taman Perindustrian Batu Kawan, iaitu di SME Village (45.15 ekar), Batu Kawan Industrial Park (38.15 ekar) dan di Penang Science Park (14.07 ekar). Daripada 50 buah syarikat yang melabur tersebut, 46 merupakan syarikat tempatan manakala empat (4) buah syarikat asing.

21. Di antara pelaburan baru yang beralih ke arah aktiviti nilai tambah (value added activities) seperti Haemonetics Malaysia Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat Amerika Syarikat akan melabur sebanyak RM300 juta untuk menubuhkan fasiliti barunya untuk menyediakan bekalan darah dan peralatan untuk pasaran global serta memperkukuhkan kluster peralatan perubatan. Selain itu, PKT Logistics Group Sdn Bhd yang merupakan sebuah syarikat logistik terkemuka di Malaysia dan dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah MIDA, Y. Bhg. Datuk Seri Jelilah Baba, akan melabur lebih kurang RM100 juta. Komponen pembangunan logistik oleh PKT Logistics Group Sdn Bhd adalah unik kerana menyediakan pergudangan yang disokong dengan kemudahan kampus pembelajaran seperti Hull University, eco-tourism, kemudahan penginapan dan juga komersial. Projek ini mampu menjana ekonomi dengan memberi nilai pelaburan domestik sebanyak RM600 juta dalam tempoh empat (4) tahun, RM1.0 bilion dalam tempoh 10 tahun dan KDNK negeri sebanyak RM3.7 bilion pada tahun 2020. Keadaan ini juga akan menawarkan peluang pekerjaan kepada 19,400 orang dengan pendapatan tambahan hasil sebanyak RM2.2 bilion pada tahun 2020 serta kemudahan spin-off’ untuk Pelabuhan Pulau Pinang (penambahan dalam perkapalan).

B. MERANCAKKAN SEKTOR PELANCONGAN DAN WARISAN

22. Sektor pelancongan telah mengalami peningkatan yang amat membanggakan sejak tahun 2008 sehingga sekarang di mana jumlah kedatangan pelancong yang dicatatkan telah meningkat daripada seramai 6,019,954 orang pada tahun 2011 kepada 6,093,189 orang pada tahun 2012 yang kebanyakannya daripada Negara Indonesia, Singapura dan China. Dalam hal ini, Negeri Pulau Pinang berada dalam kedudukan ketiga selepas Kuala Lumpur dan Pahang dengan perbelanjaan pelancong di negeri ini sebanyak RM8.58 billion pada tahun 2012.

23. Kemasukan pelancong ke Pulau Pinang adalah melalui dua entry point iaitu di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di mana pada tahun 2012 mencatatkan seramai 493,347 orang pelancong manakala seramai 124,110 orang pelancong melalui Pelabuhan Pulau Pinang. Selain daripada Star Cruise dan Star Libra, kapal-kapal pelayaran mewah seperti Royal Caribbean dan Carnival Australia turut merancang melabuhkan kapal mereka di Pelabuhan Pulau Pinang pada tahun 2014. Pelayaran domestik seperti dari Pulau Pinang ke Langkawi dan Pulau Payar turut bertambah dari 198,262 orang penumpang pada tahun 2011 kepada 216,783 orang penumpang pada tahun 2012.

24. Malah pertumbuhan sektor pelancongan boleh dilihat dengan kenaikan 14% tahun ini di mana pengguna LTAPP yang mencatat 4.4 juta orang pada akhir bulan Oktober 2013 dan dijangka mencecah di antara 5.2 hingga 5.5 juta pengguna pada keseluruhan 2013. Ini jauh melebihi kapasiti baru LTAPP yang baru siap tahun ini, iaitu sebanyak 5 juta orang. Ada keperluan LTAPP diperbesarkan lagi.

25. Subsektor pelancongan perubatan juga mencatatkan peningkatan sebanyak 12% bagi setengah tahun pertama 2013 berbanding tahun 2012. Sektor perubatan swasta di Pulau Pinang harus memperluaskan harga dan mutu perkhidmatan serta kemudahan sekiranya ingin mengekalkan kedudukan menguasai 60% nilai pasaran Malaysia sebanyak RM630 juta tahun ini.

26. Pengiktirafan Bandar George Town sebagai Bandar Warisan Dunia oleh UNESCO telah membuktikan keupayaan negeri ini untuk mengekalkan nilai sejarah, kebersihan serta kesejahteraan bandar George Town. Perayaan tahunan George Town Heritage Festival yang akan diadakan pada bulan Ogos 2014 dan acara lain telah membantu menjadikan Pulau Pinang pusat budaya, warisan dan seni Malaysia di mana kebebasan dan peluang menjadi pendorong sehingga lukisan mural dinding hanya dibenarkan di Pulau Pinang tanpa menghadapi risiko dipadamkan seperti yang berlaku di negeri tertentu.

27. Satu tarikan pelancongan baru iaitu projek Eco-Tourism Venture yang terdiri daripada Educational Nature Trail dan Titian Silara di atas Bukit Bendera dengan kos projek sebanyak RM6.0 juta akan dimulakan pada 2014. Selain itu, projek-projek yang dalam perancangan dan akan dilaksanakan pada tahun 2014 ialah projek Water Play di The Escape Fasa 2 dengan kos RM50 juta dan projek Intergrated Wellness Resort oleh Syarikat Senja Aman di Teluk Bahang.

28. Untuk menarik pelancong ke Bukit Bendera, Perbadanan Bukit Bendera (PBB) akan membina sebuah Muzium Funikular pertama di Asia Tenggara. Bagi menjayakan hasrat ini, bilik enjin Stesen Tengah yang menjadi stesen perantaraan untuk menukar koc dari Stesen Bawah ke Stesen Atas sebelum ini akan ditukarkan dan diubahsuai menjadi sebuah muzium. Kos mengubahsuai stesen ini untuk dijadikan muzium dianggarkan sebanyak RM4.0 juta. Di samping itu, satu (1) muzium seni juga dirancang. Selain daripada itu, PBB akan membelanjakan RM10 juta untuk membina tapak pemandangan baru serta pusat media elektronik digital.

29. Dalam masa yang sama, teras-teras pelancongan yang lain seperti pelancongan budaya, pelancongan sukan dan pelancongan eco tourism akan terus mendapat perhatian daripada Kerajaan Negeri. Untuk itu, peruntukan berjumlah RM35.48 juta akan disediakan pada tahun 2014 bagi memeriahkan program Tahun Melawat Malaysia 2014 dan Tahun Berpesta 2015 anjuran Kementerian Pelancongan.

30. Kerajaan Negeri bercadang menganjurkan Tahun Melawat Pulau Pinang pada 2015-2017. Ini memerlukan perancangan teratur dan pelaburan besar dalam infrastruktur asas untuk mewujudkan produk baru, acara baru dan pengalaman yang kekal abadi dalam minda pelancong. Demi memastikan bahawa produk dan acara di Pulau Pinang mesti bertaraf antarabangsa, maka Kerajaan Negeri bercadang untuk mengenakan levi RM2.00 bagi setiap malam di bilik penginapan di hotel yang bertaraf satu (1) hingga tiga (3) bintang, manakala levi RM5.00 akan dikenakan bagi bilik penginapan di hotel yang bertaraf empat (4) bintang dan ke atas.

31. Pada tahun lepas, lebih kurang lima (5) juta bilik/malam direkodkan di Pulau Pinang. Kutipan levi ini akan digunakan sebagai tabung dana dalam mempromosikan lagi aktiviti kebudayaan dan pelancongan Negeri Pulau Pinang. Satu jawatankuasa khas yang terdiri daripada sektor hotel dan penginapan bersama dengan Kerajaan Negeri akan mendapat input untuk berbincang tentang jenis perbelanjaan ke atas kutipan levi ini. Levi ini dicadang dikenakan mulai bulan Mac 2014.

C. MEMPERKEMASKAN KEMUDAHAN DAN INFRASTRUKTUR AWAM KE ARAH BERTARAF ANTARABANGSA

Y.B. Dato’ Speaker,

32. Untuk memperkemaskan dan memantapkan lagi kemudahan infrastruktur awam di Negeri Pulau Pinang, sebanyak RM19.45 juta diperuntukkan bagi tahun 2014 untuk membiayai penyelenggaraan dan penaiktarafan jalan raya. Selain itu, pada tahun 2014 Kerajaan Negeri bakal menyiapkan Projek Pelebaran Jalan dan Menaiktaraf Jambatan di Jalan Song Ban Kheng, SPT yang bernilai RM20.42 juta serta memulakan lapan (8) projek baru yang bernilai RM169.5 juta. Di antara lapan (8) projek baru terlibat ialah Cadangan Pelebaran Jalan Bukit Minyak-Alma, SPT, Menaiktaraf Jalan dan Saliran Serta Kerja-kerja Berkaitan di Jalan Siram, Butterworth, Cadangan PembinaanJambatan Baru Merentasi Sungai Di Atas Laluan P169, Kg. Tanjung Berembang, SPS serta lima (5) projek lagi di mana peruntukan berjumlah RM49 juta daripada keseluruhan kos RM169.5 juta akan disediakan untuk tujuan pembiayaan tahun depan.

33. MPPP akan melaksanakan enam (6) projek pasar awam, tiga (3) kompleks makanan dan empat (4) tapak penjaja dan melalui MPSP pula akan melaksanakan dua (2) projek pasar awam dan sebuah kompleks makanan yang bakal dinaik taraf sebagai satu usaha penjenamaan semula aktiviti perniagaan kecil. Selaras dengan itu, sebanyak RM25.08 juta telah diperuntukkan oleh MPPP untuk tujuan tersebut bagi tahun 2014 dan Kerajaan Negeri pula memperuntukkan sejumlah RM2.7 juta kepada MPSP untuk tujuan penyediaan kemudahan awam terlibat. Harapan Kerajaan Negeri dengan pelaksanaan projek-projek tersebut, peniaga-peniaga kecil dapat menikmati peluang ekonomi hasil daripada pembangunan negeri.

34. Seterusnya, bagi menggalakkan rakyat Negeri Pulau Pinang untuk mengamalkan cara hidup yang lebih sihat dengan aktiviti riadah dan rekreasi, Taman Metropolitan di Daerah Barat Daya telah diberikan nafas baru supaya lebih menarik untuk dikunjungi di mana pihak MPPP telah membina sebuah kolam rekreasi untuk orang ramai pada tahun 2013. Pembinaan kolam rekreasi ini mendapat reaksi yang positif daripada pengunjung dan bagi menampung kapasiti pengunjung yang semakin meningkat, peruntukan sebanyak RM1.0 juta pada tahun 2014 akan disediakan bagi membina tambahan kolam rekreasi serta tandas awam dan tempat persalinan untuk keselesaan pengunjung di Taman Metropolitan.

35. Di Seberang Perai, projek pembangunan semula di atas tapak milik PDC dan sebahagian tanah kompleks kolam renang MPSP sedang berjalan lancar. Projek ini melibatkan pembinaan sebuah Dewan Bankuet serbaguna dengan kapasiti 1,000 orang dan dijangka siap sepenuhnya pada suku ketiga 2014 untuk kemudahan masyarakat Negeri Pulau Pinang.

36. Bencana banjir yang berlaku di Pulau Pinang diberikan perhatian oleh Kerajaan Negeri dengan peruntukan pada tahun 2014 sejumlah RM5 juta untuk projek khas tebatan banjir iaitu untuk membina ban, sungai serta kerja-kerja kecemasan dan RM13.06 juta untuk kerja-kerja mendalam dan memulihkan sungai, parit, muara sungai, tali air, membaiki flood gate, memasang pam air dan kerja-kerja berkaitan. Peruntukan RM18.06 juta ini adalah 11% lebih tinggi daripada peruntukan tebatan banjir sebanyak RM16 juta tahun ini. Di samping itu MPSP juga menyediakan RM9.2 juta untuk projek tebatan banjir. MPPP dan khasnya MPSP juga diarahkan mengambil tindakan tegas ke atas pemaju yang tidak bertanggungjawab yang menyebabkan banjir dengan mewajibkan satu bayaran khas dibuat sebelum arahan henti kerja ditarik balik.

D. MENAMBAHBAIK PENGURUSAN LALU LINTAS

37. Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Negeri Pulau Pinang telah dilancarkan secara rasminya pada 25 Mac 2013. Pada tahun 2014, penekanan akan diberikan kepada dua (2) aspek iaitu meningkatkan sistem pengangkutan awam di Pulau Pinang dan kebolehsampaian semua pengguna jalan raya seperti menyediakan perhentian bas yang sesuai dan selamat, menambah laluan bas yang baru, mengamalkan konsep Hub N Spoke dengan pengguna yang perlu menukar bas untuk sampai ke destinasi, menambah bilangan bas terutama pada waktu puncak dan memperkenalkan laluan khas bas di jalan-jalan yang sesuai. Dengan penambahbaikan ini, adalah diharapkan peratusan pengguna perkhidmatan awam akan bertambah daripada 4% masa kini kepada 40% selaras dengan Pelan Transformasi Kerajaan Persekutuan dan pengangkutan awam akan menjadi pilihan utama penduduk di negeri ini yang sekaligus dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas. Selain itu, cadangan perkhidmatan bas percuma di seluruh Pulau Pinang pada waktu puncak juga akan diteliti pelaksanaannya agar dapat membantu semua golongan masyarakat.

38. Kerajaan Negeri juga akan mengkaji melaksanakan satu sistem jaringan TRAM dan sistem jaringan Light Rail Transit (LRT) atau Transit Aliran Ringan sepertimana yang telah dicadangkan dalam PIP. Kerajaan Negeri telah menulis surat kepada Kerajaan Persekutuan meminta janji mantan Perdana Menteri dan YAB Perdana Menteri sejak 2007 untuk membina dan membiayai sistem monorel ditunaikan. Sekiranya janji ini adalah janji kosong maka Kerajaan Negeri meminta Kerajaan Persekutuan menyerahkan kuasa pengendalian demi membolehkan Kerajaan Negeri menjalankan operasi dengan kuasa sepenuhnya kepada sistem pengangkutan “tram” bersama dengan pihak swasta.

39. Kerajaan Negeri telah memulakan langkah awal dengan menawarkan Request For Proposal (RFP) secara tender terbuka untuk menjemput mana-mana pihak yang berminat untuk menyertai tender terbuka ini tidak kira dari dalam dan luar Negara berkaitan pengangkutan awam “tram” untuk menjalankan kajian kemungkinan (feasibility study).

E. MENYUBURKAN SEKTOR PERTANIAN

40. Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Juru di SPT seluas 115.2 hektar dan Zon Industri Akuakultur (ZIA) Penaga, SPU seluas 277.6 hektar akan dibangunkan sepenuhnya dalam usaha Kerajaan Negeri untuk menjadi jaguh dalam pengeluar agromakanan Negara. Untuk itu, pengeluaran akuakultur disasarkan sebanyak 50,000 tan dengan nilai berjumlah RM642 juta. Pemajuan Projek ZIA bukan sahaja memberi faedah kepada peningkatan pengeluaran akuakultur tetapi juga turut berpeluang menjadi kawasan tarikan agropelancongan.

41. Memandangkan terdapat peningkatan dalam jumlah pendaratan ikan laut melalui kapal-kapal yang berdaftar sebanyak 52,483 tan metrik dengan nilai keseluruhan RM408.48 juta pada tahun 2012 kepada 51,000 tan metrik dengan nilai RM410.46 juta sehingga September 2013, Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan pemberian tukun tiruan sebanyak 180 unit di perairan Pulau Aman, Sg. Udang dan Penaga sebagai inisiatif menjana pendapatan nelayan Pulau Pinang. Pemberian tukun tiruan ini dijangka dapat memberi manfaat kepada 2,586 orang nelayan pantai di daerah Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.

42. Selain daripada itu, Kerajaan Negeri juga telah meluluskan cadangan pemberian bantuan pukat pantai kepada 2,981 orang nelayan yang berdaftar dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di seluruh Negeri Pulau Pinang dan akan melibatkan peruntukan sejumlah RM1.6 juta bagi tahun 2014. Pembiayaan ini membuktikan komitmen Kerajaan Negeri untuk mendorong nelayan pantai meningkatkan pendapatan masing-masing.

43. Bagi memastikan Pulau Pinang sentiasa menjadi destinasi persinggahan penyu, Kerajaan Negeri saban tahun menyokong usaha-usaha konservasi penyu yang dilakukan melalui Pusat Konservasi Penyu di Pantai Kerachut, Teluk Bahang. Jumlah penyu yang mendarat di Pulau Pinang telah bertambah kepada 171 ekor dan Kerajaan Negeri berhasrat akan terus membiayai program-program konservasi penyu yang dirancang pada tahun 2014 dan tahun-tahun akan datang. Sehingga kini, Pusat Konservasi Penyu Pantai Kerachut telah menerima kunjungan seramai 37,000 orang pelancong dari dalam dan luar negara melalui penambahbaikan yang dibuat secara berterusan dan dijangka sasaran kunjungan pelancong seramai 40,000 orang pada tahun 2014 akan dapat dicapai. Pendaratan penyu juga didapati di lokasi-lokasi lain seperti di Pantai Kerachut, Teluk Kampi, Teluk Ketapang dan Moon Light Bay.

44. Kerajaan Negeri merancang pemberian dana Tabung Usahawan Tani Muda berjumlah RM5,000 seorang mulai tahun 2014 kepada bakal usahawan-usahawan tani muda dari seluruh negeri dalam bentuk mikrokredit. Ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang berhasrat untuk meningkatkan sumber tanah dan pertanian yang sedikit ini dengan cara yang paling optima.

F. MENSEJAHTERAKAN HIDUP DAN MENJAMIN KESELAMATAN RAKYAT DENGAN MEMANTAPKAN AGENDA EKONOMI SAKSAMA (AES)

45. Kerajaan Negeri beriltizam memantapkan Agenda Ekonomi Saksama (AES) agar memberikan peluang sama rata kepada semua yang mampu, yang berkebolehan, tanpa mengira kaum agama, bangsa dan latar belakang. Sebuah negeri bertaraf antarabangsa dan pintar tidak boleh membenarkan mereka ini ketinggalan. Oleh itu sebuah negeri yang maju mesti memastikan masalah kemiskinan dibanteras, yang pintar mesti memberikan peluang pembelajaran kepada yang lemah dan yang bertaraf antarabangsa mesti cuba menaik taraf mereka yang daif. Itulah objektif AES yang mencipta sejarah menghapuskan kemiskinan di Malaysia.

46. Pada Julai 2013, pemberian insentif sebanyak RM300 kepada pemandu teksi, teksi lapangan terbang dan kereta sewa di seluruh Negeri Pulau Pinang telahpun dilaksanakan. Sumbangan ini adalah bagi menghargai perkhidmatan pemandu-pemandu teksi selain mengiktiraf peranan pemandu teksi sebagai duta kecil bagi Kerajaan Negeri. Untuk itu, bermula pada tahun 2014, pemberian ini akan ditambah kepada RM600 dan dibayar dua (2) kali setahun dan melibatkan peruntukan sebanyak RM1.3 juta untuk tahun 2014. Hanya dua (2) pemandu untuk setiap sebuah teksi layak menerimanya.

47. Dalam usaha menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri bertaraf antarabangsa dan pintar yang dapat dinikmati oleh semua, khususnya orang muda, Penang Free WiFi telahpun berjaya disiapkan pada bulan Ogos 2012 dengan 1,550 hotspots wifi percuma. Jumlah ini akan meningkat sekali ganda iaitu tambahan 1,550 kepada 3,100 free WiFi hotspot mulai tahun depan dalam tempoh tiga (3) tahun.

48. Peruntukan berjumlah RM75.0 juta pada tahun 2014 bagi meneruskan program-program kebajikan yang telah dilaksanakan sebelum ini iaitu RM200 untuk Program Anak Emas, Program RM100 untuk Penghargaan Warga Emas, Program Bantuan Ibu Tunggal, Program Bantuan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan Program Pelajar Emas. Kerajaan Negeri juga akan memanjangkan pemberian Sumbangan Pengurusan Jenazah sebanyak RM1,000 kepada waris warga emas, ibu tunggal dan OKU yang meninggal dunia dan juga kepada semua mahasiswa-mahasiswi.

49. Para pujangga bermadah, kasihnya ibu membawa ke syurga, kasihnya bapa berkorban raga. Bagi menghargai jasa dan pengorbanan suri rumah yang menjaga rumah tangga, Kerajaan Negeri akan memberikan wang tunai sebanyak RM100 setahun mulai 2014. Kerajaan Negeri akan membuat pelancaran rasmi Program Ibu Emas.

50. Kerajaan Negeri juga telah menaikkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) bagi setiap isi rumah di Pulau Pinang daripada RM600 kepada RM770 sebulan mulai Januari 2013 sekaligus menjadikan Pulau Pinang negeri pertama yang berjaya membasmi kemiskinan. Dalam tahun semasa 2013 setakat ini selaras dengan kenaikkan PGK kepada RM770 sebulan, lebih kurang 33,887 penerima bantuan telah mendapat faedah dengan perbelanjaan sebanyak RM5,590,500.

51. Walau bagaimanapun, bagi tahun 2014, Kerajaan Negeri akan menaikkan PGK bagi setiap isi rumah di Pulau Pinang daripada RM770 kepada RM790 sebulan. Kerajaan Negeri akan meneruskan bantuan top-up kepada RM790 sebulan mulai tahun 2014 bagi mengekalkan status Pulau Pinang sebagai satu-satunya negeri di Malaysia yang bebas daripada kemiskinan.

52. Bagi memastikan wang basmi kemiskinan ini tidak disia-siakan untuk tujuan kurang sihat, bentuk “unconditional cash transfers” ini akan diubah kepada “conditional cash transfers” dengan mewajibkan syarat-syarat yang mesti dipatuhi sebelum layak menerimanya, khususnya seperti memastikan anak-anak terus pergi sekolah atau makanan yang mencukupi untuk ahli keluarga. Usaha ini akan dibantu oleh Penang Institute (PI).

53. Dalam usaha menjadikan Pulau Pinang negeri paling selamat, Kerajaan Negeri melalui kedua-dua pihak berkuasa tempatan akan membelanjakan RM3.2 juta untuk memasang tambahan 180 CCTV dalam tahun ini dan tahun hadapan. Ini adalah tambahan daripada 104 CCTV sedia ada dan menjadi keseluruhan CCTV sebanyak 284 unit. Pemasangan CCTV, kerjasama polis dan penubuhan Pasukan Peronda Sukarela (PPS) diharap dapat berjaya melihat penurunan kadar jenayah di Pulau Pinang yang lebih ketara pada tahun ini. PPS akan dibekalkan dengan uniform, seluar, vest, topi dan kasut selain daripada kelengkapan rondaan.
G. MEMPERLUAS AKSES KEPADA SAINS, TEKNOLOGI DAN PENDIDIKAN BERKUALITI

54. Bagi melestarikan hasrat ke arah sistem pendidikan yang cemerlang, Kerajaan Negeri akan memulakan langkah pertamanya dengan menjadikan Pulau Pinang sebagai pusat kecemerlangan sains dan teknologi melalui Penang Science Cluster dan Inisiatif Tech-Dome bernilai RM25 juta.

55. Pulau Pinang berhasrat menjadi hub pendidikan serantau dengan pembinaan Penang Learning Centers di semua daerah termasuk institusi pendidikan bertaraf dunia seperti Universiti Kepimpinan Wanita Asia (Asian Women’s Leadership University (AWLU)). Di samping itu, Universiti Hull yang terkemuka daripada United Kingdom dan Kolej Universiti KDU akan membuka kampus cawangannya di Batu Kawan.

56. PI di bawah pimpinan Professor Datuk Dr Woo Wing Tye telah mendapat pengiktirafan di kalangan cendekiawan dan pemikir dalam dan luar negeri dengan mutu kajiannya. Demi memantapkan pembangunan idea-idea baru selaras dengan visinya “Making Ideas Work”, satu bangunan baru akan ditambah dengan kos RM4 juta.

57. Peruntukan sebanyak RM12 juta tetap akan diberikan kepada semua sekolah bantuan modal. Hasil kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan, sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil di kawasan Air Putih akan dibina di atas tanah seluas 3 – 5 ekar. Kerajaan Negeri boleh menyumbangkan tanah secara percuma di kawasan Bagan untuk Sekolah Menengah Tamil yang pertama di Malaysia sekiranya dipersetujui untuk dibina dan dibiayai oleh Kementerian Pelajaran.

H. PEMULIHARAAN ALAM SEKITAR

58. Menerusi Penang Green Council banyak program-program alam sekitar seperti Anugerah Sekolah Hijau, Anugerah Kewartawanan Hijau Negeri Pulau Pinang, Pertandingan Video Hijau Negeri Pulau Pinang, Green Building Intiative dan Program Pembersihan Pantai dianjurkan untuk menjadikan Pulau Pinang negeri hijau yang pertama di Malaysia. Bagi memastikan kualiti alam sekitar terus dipelihara, Kerajaan Negeri akan memperuntukkan sejumlah RM5.08 juta untuk membersihkan beberapa sungai dan pencemaran minyak di sekitar kawasan Seberang Perai dan di Jambatan Pertama Pulau Pinang.

59. Program membangunkan bandar rendah karbon terjalin dengan kerjasama United Nation Environment Programme (UNEP), Global Environment Centre (GEC) di Jepun dan Bank Dunia. Satu memorandum persefahaman mengenai Project for Developing a Low Carbon Society Through “Waste to Energy Technology” telah ditandatangani oleh Kerajaan Negeri dengan Bandar Kawasaki, Jepun.

I. MENINGKATKAN TARAF KESIHATAN

60. Bagi tahun 2014, fokus Kerajaan Negeri adalah mempromosikan gaya hidup sihat antaranya melalui Pulau Pinang Bebas Asap Rokok atau PENBAR dengan meningkatkan penguatkuasaan larangan merokok di kawasan-kawasan tarikan pelancongan. Inisiatif lain yang diperkenalkan adalah seperti COMBI – Cara Hidup Sihat di Komuniti, Program PROSIS – Siswa Sihat di Institusi Pengajian Tinggi dan Minda Sihat di Sekolah.

61. Kerajaan Negeri mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kesihatan atas penyediaan infastruktur di bawah Rolling Plan Ketiga RMKe10 iaitu pembinaan Blok Wanita dan Kanak-kanak untuk Hospital Besar Pulau Pinang berjumlah RM250 juta dan menaiktaraf Jabatan Kecemasan dan Forensik Hospital Balik Pulau berjumlah RM20 juta. Pelaksanaan projek-projek ini pasti akan meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat Pulau Pinang.

62. Selain itu, Kerajaan Negeri juga mengambil langkah yang proaktif dengan menubuhkan 2 buah Pusat Dialisis CAT Negeri Pulau Pinang sebagai usaha membantu rakyat miskin yang mengidap penyakit buah pinggang di kawasan luar bandar. Pusat Dialisis CAT di Balik Pulau telahpun mula beroperasi pada 10 Jun 2013 dengan kapasiti lima (5) buah katil atas sumbangan syarikat Jerman B. Braun. Kerajaan Negeri masih dalam persediaan untuk menubuhkan satu lagi Pusat Dialisis CAT di Seberang Jaya. Untuk itu, Kerajaan Negeri bekerjasama dengan pihak MAA bagi penubuhan Pusat Dialisis CAT yang dicadangkan di Taman Bunga Raya dan proses permohonan lesen serta pelantikan Perunding Nefrologi sedang diuruskan oleh pihak MAA. Pusat Dialisis ini akan menggunakan mekanisme pemilihan pesakit seperti yang digunakan di Pusat Dialisis CAT, Balik Pulau dan akan dibuka secara rasminya pada tahun 2014. Setiap rawatan akan dikenakan bayaran RM30 sahaja.

63. Golongan wanita memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan ekonomi negeri. Bagi menghargai jasa dan sumbangan wanita, Kerajaan Negeri akan melancarkan satu program pemeriksaan mammogram percuma kepada 867,000 orang wanita di Pulau Pinang yang berusia 35 tahun ke atas. Sebagai permulaan, Kerajaan Negeri mensasarkan pemeriksaan terhadap 52,000 orang wanita pada tahun 2014 dengan anggaran seramai 40 orang wanita sehari sebagai langkah pencegahan penyakit merbahaya seperti Kanser Payudara. Penyediaan perkhidmatan ini akan melibatkan peruntukan sejumlah RM3.5 juta.

J. MENINGKATKAN PEMILIKAN RUMAH

64. Demokrasi perumahan memenuhi keperluan setiap rakyat negeri ini untuk memiliki rumah yang selesa, terutamanya bagi golongan yang miskin dan berpendapatan rendah. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri akan membina sebanyak 386 unit Rumah Kos Rendah iaitu di Mak Mandin dan Ladang Kaledonia. Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri juga akan membina sebanyak 7,579 unit Rumah Kos Sederhana Rendah iaitu 770 unit di S.P Chelliah, 346 unit di Teluk Kumbar, 556 unit di Jelutong, 298 unit di Pintasan Cecil, 3,372 unit di Bandar Cassia Batu Kawan, 353 unit di Kampung Jawa, 600 unit di Ampang Jajar, 484 unit di Bukit Mertajam dan 800 unit di Juru.

65. Dalam merealisasikan hasrat rakyat negeri ini untuk memiliki sebuah rumah, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM500 juta bagi membiayai pembinaan 20,000 unit perumahan mampu milik di seluruh negeri Pulau Pinang. Untuk itu, sejumlah 3,150 unit telah dikenalpasti untuk dibina di bahagian Pulau manakala bakinya 16,275 unit akan dibina di Seberang Perai. Dalam pada itu, projek perumahan di Bandar Cassia yang mengandungi 11,800 unit akan dibina mengikut fasa dan dijangka mengambil masa 10 hingga 15 tahun untuk disiapkan. Walau bagaimanapun, kerja-kerja pembinaan Fasa 1 yang mengandungi 520 unit dijangka dapat dimulakan pada akhir tahun 2013.

Projek Perumahan Mampu Milik di Teluk Kumbar yang mengandungi 694 unit dijangka dilancarkan pada Februari 2014 manakala projek di Kampung Jawa, Butterworth yang mengandungi 707 unit rumah dijangka akan dilancarkan pada Mei 2014. Seterusnya, Kerajaan Negeri juga akan turut melaksanakan projek perumahan di Jalan SP Chelliah yang mengandungi 1,900 unit rumah dijangka dilancarkan pada akhir tahun 2014. Lain-lain kawasan yang telah dikenalpasti untuk pembangunan perumahan mampu milik ialah di Jelutong yang mengandungi 556 unit, Ampang Jajar 1,200 unit, Bukit Mertajam 968 unit dan Juru sebanyak 1,600 unit.

K. POLISI BARU BERKENAAN PERUMAHAN KOS RENDAH, KOS SEDERHANA RENDAH DAN MAMPU MILIK

66. Untuk memantapkan pengurusan sistem pengagihan dan penawaran Rumah Kos Rendah/Kos Sederhana Rendah di Pulau Pinang, Jawatankuasa Pembersihan dan Peningkatan Mutu Pemilihan Perumahan (Selection Process Enhances Committees (SPECS)) telah ditubuhkan pada Jun 2013 dengan tujuan memastikan pemberian dan pengagihan rumah dibuat secara adil dan telus serta kepada golongan tidak berada yang perlukannya dengan diaudit bersama oleh sebuah syarikat perakaunan. Ini adalah kali pertama dalam sejarah Malaysia sebuah syarikat perakaunan akan dilantik untuk tujuan sedemikian.

67. Kerajaan Negeri bercadang meminda Dasar Penjualan Rumah Kos Rendah/Kos Sederhana Rendah di Negeri Pulau Pinang bagi permohonan penjualan dan pindah milik. Dasar rumah kerajaan tidak boleh dijual dalam tempoh 10 tahun daripada tarikh surat perjanjian jual beli akan dikekalkan tetapi bagi rumah yang dibina oleh pihak swasta tempoh had larangan dijual akan dilanjutkan daripada 5 tahun sekarang kepada tempoh 10 tahun, sama seperti rumah kerajaan.

68. Demi memastikan penjualan dalam tempoh 10 tahun adalah kepada golongan yang perlukannya maka ia hanya boleh dijual kepada pembeli tersenarai (‘listed buyer’). Pembeli yang tersenarai adalah senarai pembeli yang dikumpulkan oleh Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri sebagai layak memiliki Rumah Kos Sederhana Rendah atau Rumah Kos Rendah. Dengan kata lain penjualan tidak boleh dijalankan dalam pasaran terbuka tetapi hanya dengan pembeli tersenarai. Harga jualan semula tidak akan ditetapkan oleh Kerajaan Negeri tetapi adalah berasaskan prinsip ‘willing buyer – willing seller’ dan boleh melebihi harga jualan asal di antara kedua-dua penjual dan pembeli tersenarai.

69. Seterusnya, berkenaan perumahan kategori rumah mampu-milik, Kerajaan Negeri memutuskan bahawa harga maksima perumahan mampu milik di kawasan Pulau ditetapkan pada RM400,000 manakala di kawasan Seberang Perai harga maksima perumahan mampu milik ialah RM250,000. Seseorang pembeli rumah mampu milik tidak dibenarkan memiliki rumah sebelum ini. Unit mampu-milik boleh dibeli oleh pemilik kos rendah dan kos sederhana rendah sebagai penaiktarafan dengan syarat menjual rumah asalnya. Dengan kata lain, hanya satu unit perumahan mampu milik dibenarkan dimiliki oleh seseorang pada bila-bila masa.

70. Tempoh kawalan jualan rumah mampu milik adalah lima (5) tahun dan penjualan pula hanya boleh dijalankan tertakluk kepada pembeli tersenarai rumah mampu milik yang didaftarkan dengan Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri. Harga jualan semula dibenarkan melebihi harga jualan asal berasaskan prinsip ‘willing buyer – willing seller’ di antara penjual dan pembeli tersenarai. Langkah sedemikian diharapkan dapat mengawal dan menghalang elemen spekulatif oleh pihak tertentu yang menyebabkan harga rumah mampu milik melambung tinggi.

71. Dasar baru ini akan dilaksanakan pada 1 Februari 2014. Harga rumah yang melebihi RM400,000 di kawasan Pulau dan RM250,000 di Seberang Perai tidak terikat dengan peraturan baru ini. Syarikat tidak dibenarkan membeli rumah mampu milik kecuali mendapat kebenaran khas daripada Kerajaan Negeri.

L. LEVI 3% HARGA PENJUALAN KE ATAS SEMUA TRANSAKSI HARTANAH OLEH WARGANEGARA ASING

72. Kerajaan Negeri akan mengenakan levi 3% harga penjualan ke atas semua transaksi hartanah oleh warganegara atau syarikat asing mulai 1 Februari 2014. Urusan tanah perindustrian yang dibeli daripada PDC atau atas urusan industri yang diterima sah oleh Kerajaan Negeri adalah dikecualikan. Rayuan boleh dibuat kepada Kerajaan Negeri untuk urusan tanah yang boleh membangunkan ekonomi negeri atau peluang pekerjaan.

M. BERBINCANG DENGAN INDUSTRI PERUMAHAN CADANGAN LEVI 2% TERHADAP PENJUAL RUMAH YANG MENJUAL DALAM TEMPOH TIGA (3) TAHUN DARI PEMBELIAN.

73. Kerajaan Negeri selain daripada pengumuman yang telah dibuat iaitu akan mengenakan levi 3% terhadap pembelian rumah oleh warganegara atau syarikat asing, juga sedang mengkaji pelaksanaan levi 2% terhadap penjual rumah yang menjual rumah dalam tempoh 3 tahun dari tarikh pembeliannya. Levi yang dicadangkan ke atas semua penjual warganegara asing dan tempatan adalah untuk mengawal transaksi spekulatif agar harga hartanah dan perumahan dapat dikawal.

74. Walaubagaimanapun, levi 2% ini tidak akan terpakai kepada penjualan oleh pemaju atau ke atas rumah mampu milik yang dijual kembali kepada pembeli tersenarai ataupun harga rumah di bawah RM400,000 dalam kawasan Pulau dan bawah RM250,000 di kawasan Seberang Perai. Cadangan ini harus memerlukan perbincangan lanjut dengan semua pihak terbabit (stakeholders) khususnya industri perumahan sebelum dilaksanakan pada tarikh yang akan ditetapkan kelak.

N. SKIM PEMILIKAN BERSAMA (SHARED OWNERSHIP SCHEME) PULAU PINANG

75. Ramai pembeli Rumah Kos Rendah tidak dapat kelulusan pinjaman bank 90% atau 100% harga pembelian atas alasan tidak berupaya membuat bayaran. Adalah dikesali Skim Jaminan Kredit Perumahan di bawah Kementerian Kewangan gagal menjalankan tugas dan tanggungjawab membiayai pembelian dan menjamin pinjaman bank komersial untuk membolehkan mereka yang miskin membeli Rumah Kos Rendah. Sebagai usaha Kerajaan Negeri untuk membantu golongan berpendapatan rendah memiliki Rumah Kos Rendah, Kerajaan Negeri berhasrat meminjam 30% harga rumah tanpa riba (faedah) menerusi Skim Pemilikan Bersama Pulau Pinang.

76. Kerajaan Negeri akan membeli sejumlah 104 unit Rumah Murah Kos Rendah jenis town house di Taman Sungai Duri Permai, Sungai Duri, SPS. Kesemua 104 unit ini kemudiannya akan dijual kepada mereka yang berdaftar dengan Bahagian Perumahan serta memenuhi kriteria untuk melayakkan mereka membeli rumah kos rendah.

77. Harga jualan pasaran adalah RM38,000. Walaubagaimanapun, pemohon cuma perlu mendapat pinjaman bank 70% harga tersebut manakala baki pinjaman 30% akan ditanggung oleh Kerajaan Negeri dan bayaran semula baki 30% pinjaman tersebut kepada Kerajaan Negeri adalah tanpa faedah.

78. Kerajaan Negeri tidak perlu pembeli membuat sebarang gadaian kepada Kerajaan Negeri dan Skim Pemilikan Bersama berfungsi seperti skim mikro-kredit. Kaedah pinjaman tanpa riba oleh Kerajaan Negeri ini dapat membantu pembeli Rumah Kos Rendah yang benar-benar memenuhi kelayakan untuk membeli Rumah Kos Rendah, memiliki rumah tersebut dengan bantuan kerajaan. Skim Pemilikan Bersama adalah yang pertama dilaksanakan di Malaysia oleh kerajaan negeri untuk membolehkan yang miskin dapat memiliki rumah sendiri.

O. PENYEDIAAN UNIT RUMAH KOS RENDAH DI BAWAH SKIM SEWA BELI

79. Kerajaan Negeri juga meneruskan Skim Sewa Beli dengan membeli 51 unit rumah pangsa kos rendah di Taman Seruling Emas, SPS di mana unit-unit tersebut akan dijual kepada pemohon-pemohon yang layak dan tersenarai dalam senarai Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri secara sewa beli. Kadar sewa adalah sebanyak RM100 sebulan dengan kos penyelenggaraan RM20 sebulan.

P. LEMBAGA PERUMAHAN NEGERI PULAU PINANG

80. Bagi rancangan perumahan, Kerajaan Negeri Pulau Pinang memperuntukkan sebanyak RM12.5 juta pada tahun 2013 untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan seperti menaiktaraf lif, pendawaian semula, membaiki kerosakan bumbung, mengatasi keretakan dan lain-lain. Peruntukan ini akan dinaikkan kepada RM15.8 juta pada tahun 2014 demi menjaga keselamatan dan meningkatkan kualiti hidup penghuni di tujuh (7) buah Kompleks Rancangan Perumahan Awam di Negeri Pulau Pinang.

81. Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri telah mengorak langkah apabila menubuhkan Lembaga Perumahan Negeri yang telahpun diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada 2010 tetapi belum dapat dilaksanakan kerana isu-isu perjawatan. Dalam hal ini, Kerajaan Negeri merayu agar Kerajaan Persekutuan memberi keutamaan bagi merealisasikan penubuhan lembaga ini dengan segera supaya dapat melaksanakan perumahan demokrasi dan memastikan pembangunan sektor pembinaan yang mampan.

Q. MEMPERKASAKAN PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN KOMUNITI

82. Di bawah Program Pemerkasaan dan Kepimpinan Wanita, Kerajaan Negeri telah melaksanakan sepenuhnya Dasar dan Pelan Tindakan Jagaan Kanak-kanak Kerajaan Negeri pada tahun 2014 dan menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri pertama di Malaysia yang mengambil pendekatan sedemikian.

83. Objektif utama dasar ini adalah untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja dan mempromosikan akses kepada jagaan kanak-kanak pada harga yang berpatutan, selamat dan berkualiti. Sebagai permulaan, sebuah taska akan dibina bagi kemudahan kakitangan awam di KOMTAR dengan nama Taska D’Komtar yang dijangka beroperasi pada 2014 dan sebuah lagi di Daerah Seberang Perai Selatan. Untuk itu, Kerajaan Negeri bercadang menubuhkan Unit Pembangunan Kanak-kanak di bawah pengurusan Penang Women Development Corporation (PWDC).

84. Kerajaan Negeri melalui PWDC telah menubuhkan Briged Wanita Pulau Pinang iaitu satu Badan Sukarela yang bermatlamat untuk memelihara kebajikan wanita di seluruh Pulau Pinang. Sejak Jun 2013, PWDC telah melaksanakan Kursus Induksi Briged Wanita Pulau Pinang di semua lima (5) daerah dengan anggaran ahli yang berdaftar seramai 1,500 orang. Briged Wanita telah menjalankan usaha kerajaan menyayangi wanita di Pulau Pinang dengan memberikan pemeriksaan payudara secara percuma untuk semua wanita yang berumur lebih 35 tahun mulai 2014. Kerajaan Negeri juga akan mengaturkan bas untuk kaum wanita pergi balik daripada taman perumahan ataupun kampung halaman mereka dengan penyediaan makanan dan minuman. Briged Wanita juga akan membantu pendaftaran Program Ibu Emas dengan memberikan RM100 setiap tahun kepada semua ibu yang tidak bekerja tetapi tinggal balik untuk jaga anak, keluarga dan suami pada tahun hadapan.

R. MENGGALAKKAN PEMBANGUNAN BELIA DAN SUKAN AGAR PULAU PINANG DIKENALI SEBAGAI BANDARAYA SUKAN

85. Sebagai persediaan melangkah ke Sukan Malaysia ke-17 di Negeri Perlis pada tahun 2014, Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang atau MSNPP telah menyusun dan merangka program pengukuhan sains sukan yang meliputi latihan pengukuhan fizikal, psikologi dan mental bagi menaikkan semangat juang atlet-atlet negeri.

86. Selain itu, bagi menyemarakkan serta menaikkan semangat juang atlet-atlet negeri di Kejohanan Sukan Malaysia, Kerajaan Negeri pada tahun 2013 telah menaikkan kadar bayaran insentif sebanyak 50% tambahan untuk pemenang.

87. Pada tahun 2014 juga, Kerajaan Negeri akan mengembangkan kegiatan sukan di kelima-lima daerah di Negeri Pulau Pinang ke arah gaya hidup sihat dan cergas dengan peruntukan sebanyak RM250,000 untuk tujuan ini.

88. Manakala bagi kakitangan awam di KOMTAR, Kerajaan Negeri akan menyediakan satu ruang ‘fitness centre’ yang dilengkapi dengan peralatan gym yang sewajarnya di Tingkat 47 yang boleh dimanfaatkan di waktu rehat atau selepas waktu pejabat.

89. Selaras dengan usaha Negeri Pulau Pinang di dalam meningkatkan taraf pelancongan dan imej antarabangsa, Kerajaan Negeri ingin memperkenalkan negeri Pulau Pinang sebagai sebuah Bandaraya Sukan atau “Sports City”.

90. Kemasyuran Negeri Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang mampu melahirkan jaguh sukan antarabangsa seperti Dato’ Lee Chong Wei dalam sukan badminton dan Dato’ Nicol Ann David melalui sukan skuasy ternyata telah meletakkan Negeri Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang menjadi tumpuan dunia sebagai medan kelahiran atlet sukan bertaraf antarabangsa.

91. Untuk merealisasikan matlamat ini, Kerajaan Negeri akan berusaha untuk memperbaiki, menaiktaraf serta memperbanyakkan kemudahan-kemudahan sukan yang ada di Negeri Pulau Pinang. Sungguhpun usaha ini terjejas oleh kekangan sumber kewangan, levi yang dicadangkan ke atas hotel dan rumah penginapan mulai 2014 boleh membantu menaja kejohanan sedunia. Kita boleh lihat betapa besar impak positifnya penganjuran sesuatu aktiviti sukan bertaraf antarabangsa seperti Penang International Bridge Marathon, marathon terbesar di Malaysia, dengan lebih 47,000 peserta sehingga semua hotel di Pulau Pinang penuh dan tidak ada bilik kosong.

92. Sehingga kini, Pulau Pinang belum menjadi tuan rumah untuk satu kejohanan dunia dalam apa pun aktiviti sukan. Kerajaan Negeri bercadang agar Negeri Pulau Pinang membida hos penganjuran untuk temasya Kejohanan Sedunia seperti Skuasy Wanita Dunia ataupun Kejohanan Angkat Berat Dunia dalam masa 3-4 tahun ini.

93. Menyedari bahawa sukan menjadi pemangkin kepada perpaduan, Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan kepada antara lain pembinaan gelanggang futsal, kolam renang, velodrome, gelanggang tenis dan gelanggang bola keranjang.

94. Kerajaan Negeri sekali lagi mengorak langkah yang proaktif dengan menubuhkan Penang Youth Learning Centre yang bernilai RM4.0 juta hasil usahasama dan sumbangan Yayasan ECM Libra. Pusat tersebut yang dibangunkan di Kampung Buah Pala menyediakan sudut untuk membaca, dewan serbaguna, bilik untuk pembelajaran serta enam (6) gelanggang badminton untuk generasi muda mengisi masa dengan aktiviti-aktiviti yang sihat dan aktif. Pusat tersebut dijangka beroperasi sepenuhnya pada tahun 2014.

S. MEMPERKASAKAN AGAMA ISLAM SEBAGAI AGAMA SYUMUL

95. Sesungguhnya kepentingan rakyat beragama Islam akan terus diperkasakan di bawah kepimpinan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat dengan meneruskan dasar dan program sedia ada. Untuk maksud ini, sebanyak RM11.17 juta akan diperuntukkan pada tahun 2014 di bawah peruntukan pembangunan agar institusi masjid dan surau serta institusi pendidikan Islam seperti Sekolah Agama Rakyat di seluruh Negeri Pulau Pinang terus kekal membangun dan berdaya saing. Ini akan melibatkan peningkatan peruntukan sebanyak 9.3% berbanding tahun 2013 iaitu RM10.22 juta. Salah satu projek yang bakal dilaksanakan ialah pembinaan dua (2) buah blok tambahan Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang (KITAB) yang dianggarkan bernilai RM6 juta.

96. Selain itu, dalam nafas yang sama Kerajaan Negeri juga akan memainkan peranan penting dalam pengurusan aset wakaf dalam usaha membangunkan rakyat khususnya yang beragama Islam. Justeru, antara langkah yang sedang dikenalpasti adalah cadangan untuk menubuhkan Lembaga Wakaf sebagai anak syarikat kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAIPP) untuk menjalankan tugas-tugas pengurusan dan pembangunan aset wakaf secara korporat dengan lebih efektif.

T. MEMPERKUKUH PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN

97. Penjawat awam selaku pelaksana dasar adalah komponen utama di dalam usaha Kerajaan Negeri merealisasikan impian ke arah negeri maju, pintar dan bertaraf antarabangsa menjelang tahun 2015. Berdasarkan kepada penilaian prestasi pengurusan kewangan di bawah Indeks Akauntabiliti telah menunjukkan bahawa bilangan jabatan dan agensi negeri yang mencapai penarafan empat (4) bintang iaitu tahap Sangat Baik dalam mengamalkan sistem pengurusan kewangan yang baik dan teratur telah meningkat dua (2) kali ganda untuk penilaian tahun 2012. Jabatan/agensi terlibat adalah Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Jabatan Kewangan Negeri, MAIPP, Pejabat Tanah dan Daerah Barat Daya, Pejabat Tanah dan Galian Negeri (PTG), PDC dan Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang. Jabatan tersebut akan dianugerahkan sebanyak RM15,000.

98. Dalam masa yang sama, saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada PTG kerana menjadi satu-satunya Pejabat Tanah dan Galian yang berjaya mendapat pengiktirafan “Sangat Baik” daripada lima (5) Pejabat Tanah dan Galian yang diaudit pada tahun 2012 oleh Jabatan Audit Negara.

99. Seiring dengan pengiktirafan kepada sumbangan perkhidmatan awam, Kerajaan Negeri menjelang Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang lepas telahpun memberi bonus atau duit raya setengah bulan gaji dengan minima RM600 kepada seramai 3,910 penjawat awam. Di samping penjawat awam, bonus raya Kerajaan Negeri juga telah dipanjangkan kepada guru-guru dan penyelia KAFA sebanyak RM300 seorang. Kesemuanya menelan perbelanjaan sebanyak RM4.4 juta. Seperti mana sedia maklum, Kerajaan Persekutuan telahpun mengumumkan pemberian bonus setengah bulan gaji bagi tahun 2013 dengan bayaran minimum RM500 yang akan dibayar pada awal Januari 2014.

100. Sehubungan dengan ini, Kerajaan Negeri juga ingin mengumumkan pemberian bonus setengah bulan gaji lagi untuk tahun 2013 dengan minimum RM700 yang akan dibayar bukan pada Januari 2014 tetapi pada Disember tahun semasa 2013. Keseluruhannya, pemberian bonus Kerajaan Negeri kepada perkhidmatan awam dalam tahun 2013 ialah satu (1) bulan gaji. Guru-guru dan penyelia KAFA juga akan diberikan sebanyak RM400 seorang. Diharap dengan pengumuman ini akan dapat menyuntik semangat anggota perkhidmatan awam untuk terus memberikan perkhidmatan yang lebih baik dan bersikap amanah dan setia kepada Kerajaan Negeri dan rakyat.

101. Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti atau JKKK di Pulau Pinang mewakili suara kerajaan di peringkat akar umbi. Pada Januari 2011 lalu, Kerajaan Negeri telah menaikkan kadar bulanan elaun Pengerusi dan Setiausaha JKKK kepada RM450 dan RM350 sebulan masing-masing. Dalam mengiktiraf sumbangan diperingkat pengurusan JKKK, Kerajaan Negeri bersetuju untuk menaikkan kadar elaun Pengerusi dan Setiausaha JKKK sebanyak RM200 lagi kepada RM650 dan RM550 sebulan masing-masing bermula pada Januari 2014. Keseluruhannya untuk pembiayaan pengurusan 287 JKKK bagi tahun 2013, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM5.73 juta iaitu tambahan RM1.38 juta daripada peruntukan tahun 2013.

Kerajaan Negeri sedar bahawa elaun Ahli Dewan Undangan Negeri sebanyak RM4,112.79 sebulan tidak berubah sejak Januari 2004 dan jumlah ini tidak setimpal dengan beban tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri. Oleh yang demikian Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk meminda Enakmen Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2005 supaya kadar elaun bulanan ditambah kepada RM 6,000 yang akan dibayar pada 1 Januari 2014. Elaun YB Ketua Pembangkang juga dinaikkan daripada RM 1,000 kepada RM 2,000 sebulan.

PERUNTUKAN BAJET 2014

Y. B. Dato’ Speaker,

102. Bajet 2014 Negeri Pulau Pinang distrukturkan dengan realistik dan penuh tanggungjawab. Intipati bajet dirangka sempurna kerana memiliki keseimbangan antara elemen sosial dan ekonomi dan kemampuan kewangan Negeri yang amat terhad. Bagi tahun 2014, Kerajaan Negeri mencadangkan sejumlah RM843,195,379 (Ringgit Malaysia: Lapan Ratus Empat Puluh Tiga Juta, Seratus Sembilan Puluh Lima Ribu, Tiga Ratus Tujuh Puluh Sembilan) untuk bajet Mengurus, manakala bagi peruntukan Pembangunan diperuntukkan sejumlah RM 238,995,320 (Ringgit Malaysia: Dua Ratus Tiga Puluh Lapan Juta, Sembilan Ratus Sembilan Puluh Lima Ribu, Tiga Ratus Dua Puluh).

103. Sebagai gambaran menyeluruh, sejumlah RM962,190,699 (Ringggit Malaysia: Sembilan Ratus Enam Puluh Dua Juta, Seratus Sembilan Puluh Ribu, Enam Ratus Sembilan Puluh Sembilan) merangkumi peruntukan Mengurus dan peruntukan Pembangunan dicadangkan untuk perbelanjaan dalam tahun 2014. Jumlah keseluruhan ini telah pun mengambilkira RM120.0 juta untuk caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan Negeri. Bajet keseluruhan yang dicadangkan bagi tahun 2014 sebanyak RM962.19 juta merupakan pengurangan sebanyak RM171.76 juta atau 15.15% berbanding dengan bajet keseluruhan tahun 2013 sebanyak RM1.13 bilion. Selaras dengan itu, ucapan saya akan merujuk kepada dua (2) risalah yang berkaitan, iaitu Risalah Bil. No 1 Tahun 2013 bagi Bajet Mengurus Tahun 2014 dan Risalah Bil. No. 2 Tahun 2013 bagi Bajet Pembangunan Tahun 2014 bersekali.

Y.B. Dato’ Speaker,

104. Bagi tahun 2014, Kerajaan Negeri menganggarkan hasil yang dikutip berjumlah RM 587,753,720 (Ringgit Malaysia: Lima Ratus Lapan Puluh Tujuh Juta, Tujuh Ratus Lima Puluh Tiga Ribu, Tujuh Ratus Dua Puluh) iaitu pengurangan RM120,769,940 atau pengurangan 17.05% berbanding anggaran hasil tahun semasa 2013 sebanyak RM708.52 juta. Komposisi hasil tahun 2014 terdiri daripada hasil cukai RM134.21 juta atau 22.83%, hasil bukan cukai RM 367.50 juta atau 62.53% dan terimaan bukan hasil sebanyak RM 86.04 juta atau 14.64%. Perbezaan pengurangan hasil sebanyak RM120.77 juta yang dijangkakan pada tahun 2014 berbanding anggaran hasil tahun 2013 adalah kerana sumber hasil yang diperolehi daripada bayaran premium tanah bagi pemberian hak milik dan tukar syarat tanah tidak dapat dipastikan dan banyak bergantung kepada permintaan pasaran (market forces).

105. Mengambil kira jangkaan hasil tahun 2014 sejumlah RM587.75 juta berbanding perbelanjaan Mengurus sebanyak RM843.20 juta akan menjadikan Bajet 2014 mengalami defisit sebanyak RM255.44 juta. Defisit RM255.44 juta ini adalah RM6.60 juta kurang daripada anggaran defisit tahun 2013 iaitu RM262.04 juta. Anggaran defisit atau kekurangan RM255.44 juta yang dijangka dalam Bajet 2014 dapat dibiayai daripada Simpanan Terkumpul Negeri yang berbaki sebanyak RM825.28 juta pada akhir tahun 2012. Seperti mana dalam Laporan Ketua Audit Negara untuk Penyata Kewangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang tahun 2012, Kerajaan Negeri telah mengakhiri tahun kewangan 2012 dengan lebihan sejumlah RM114.47 juta dan dengan lebihan ini, baki terkumpul Akaun Hasil Negeri Disatukan telah meningkat menjadi RM825.28 juta pada 31 Disember 2012.

106. Seperti mana termaklum, asas ekonomi Negeri Pulau Pinang terus bertambah kukuh. Analisis perbandingan hasil dan perbelanjaan bagi tahun 2008 hingga 2012 telah menunjukkan Kerajaan Negeri berjaya memperolehi lebihan pada setiap tahun dan dalam masa yang sama masih berupaya untuk meneruskan dengan pelaksanaan projek-projek pembangunan yang dirancang serta melipat gandakan program-program kesejahteraan rakyat. Analisis Audit terhadap kedudukan perbelanjaan Mengurus Kerajaan Negeri bagi tahun 2008 hingga 2012 mendapati perbelanjaan Mengurus menunjukkan peningkatan pada setiap tahun dalam tempoh 5 tahun dan dalam yang sama kutipan hasil juga meningkat dan dapat menampung perbelanjaan Mengurus dan seterusnya mengekalkan lebihan hasil. Semua pencapaian ini memerlukan bukan sahaja political will tetapi kecekapan dalam menguruskan kewangan Negeri.

107. Kerajaan Negeri sememangnya telah membentangkan bajet defisit untuk tahun 2013. Namun demikian, mengambil kira dasar dan polisi yang diterapkan selama 5 tahun pentadbiran Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat adalah dalam landasan yang betul, maka Kerajaan Negeri akan meneruskan dan menambahbaik strategi-strategi pembangunan dan perancangan kewangan yang teratur bagi memastikan kekayaan Negeri dapat terus berkembang. Secara konservatifnya, adalah dijangka Kerajaan Negeri masih dapat mencapai lebihan (surplus) pada akhir tahun kewangan 2013 nanti.

108. Seperti mana Y.B. Ahli-ahli Dewan sedia maklum, Kerajaan Negeri akan mencadangkan bajet defisit pada tahun 2014, sama seperti tahun ini. Walau bagaimanapun, bagi tahun 2014 telah mengurangkan defisitnya kepada RM255.44 juta berbanding anggaran defisit tahun 2013 sebanyak RM262.04 juta. Ini adalah kerana anggaran perbelanjaan Mengurus tahun 2014 sebanyak RM843.20 juta adalah berkurangan daripada perbelanjaan Mengurus tahun 2013 yang dianggarkan sebanyak RM970.56 juta. Pengurangan perbelanjaan Mengurus ini disebabkan pengurangan pindahan kepada Kumpulan Wang Pembangunan Negeri iaitu sebanyak RM120 juta berbanding RM200 juta bagi tahun 2013 dan pembiayaan sebanyak RM188.9 juta berbanding RM306 juta yang perlu diperuntukkan kepada PDC untuk skim perumahan mampu milik dalam tahun 2013. Akan tetapi peruntukan yang disediakan untuk program-program bantuan sosial dan kesejahteraan rakyat (warga emas, OKU, anak emas, pelajar emas, pelajar cemerlang, ibu tunggal, elaun guru KAFA, suri rumah, penyelenggaraan rumah kos rendah, elaun pegawai masjid, bantuan pendidikan, bantuan kebajikan, IPTA, bayaran perubatan, bas percuma, pemandu teksi, nelayan dan bantuan sosial lain) terus meningkat daripada sebanyak RM75.0 juta pada tahun 2013 kepada sejumlah RM111.47 juta yang diperuntukkan dalam tahun 2014. Sesungguhnya, rakyat boleh menilai keutamaan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat, yakni menggunakan hasil negeri untuk rakyat.

Y.B. Dato’ Speaker,

109. Perbelanjaan Mengurus sebanyak RM843.20 juta terdiri daripada perbelanjaan Tanggungan sejumlah RM29,941,390 dan perbelanjaan Bekalan sebanyak RM813,253,989. Tujuan Rang Undang-undang Perbekalan 2013 adalah untuk mendapat kuasa berkanun bagi membolehkan Kerajaan Negeri membuat perbelanjaan Bekalan bagi tahun 2014. Terdapat 19 jabatan yang dimohon kelulusan peruntukan Bekalan dibawah Maksud Bekalan B01, B02, B03, B04, B05, B06, B07, B08, B09, B10, B12, B13, B14, B15, B16, B17, B18, B19 dan B20 seperti mana perincian di Risalah Bil. No. 1 Tahun 2013.

110. Di bawah peruntukan Mengurus 2014, sejumlah RM152.29 juta adalah bagi Emolumen, RM123.55 juta bagi Perkhidmatan dan Bekalan, RM7.57 juta untuk perolehan Aset serta RM553.74 juta bagi Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap, manakala sejumlah RM6.05 juta disediakan untuk perbelanjaan-perbelanjaan lain. Perbelanjaan Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap kekal sebagai komponen terbesar mencakupi 65.67% daripada perbelanjaan Mengurus. Jumlah ini termasuk caruman sejumlah RM120 juta kepada Kumpulan Wang Pembangunan Negeri, sumbangan sebanyak RM188.91 juta untuk Skim Perumahan Mampu Milik dan pemberian dan bantuan-bantuan sosial rakyat yang komited yang telah saya huraikan sebelum ini. Pertambahan peruntukan bagi objek-objek am selainnya adalah bagi menampung keperluan perbelanjaan mengurus yang kian meningkat pada setiap tahun iaitu antara lain kenaikan gaji dan pelarasan emolumen, kenaikan kos bekalan dan utiliti dan keperluan menggantikan kenderaan dan aset yang telah dilupuskan. Namun demikian, peningkatan terlibat adalah pada tahap terkawal selaras dengan langkah pentadbiran untuk mengawal dan menerapkan disiplin dalam perbelanjaan iaitu memaksimumkan penggunaan kemudahan kerajaan untuk program, seminar, bengkel dan latihan, mengurangkan pengubahsuaian pejabat, penggunaan elektrik yang efisien dan pengurangan kos overhead yang lain.

111. Bajet Pembangunan untuk tahun 2014 adalah sebanyak RM 239 juta yang melibatkan punca negeri sebanyak RM229 juta dan RM10 juta pinjaman Persekutuan khusus untuk pembiayaan pengurusan NRW. Anggaran Bajet Pembangunan Tahun 2014 yang dimohon kelulusan mengikut Maksud Pembangunan P01, P08, P09, P10, P12, P13, P16, P17 dan P18 bagi sembilan (9) jabatan negeri adalah seperti tersenarai dalam Risalah Bil No. 2 Tahun 2013.

112. Perbelanjaan Pembangunan tahun 2014 adalah rendah jika dibandingkan dengan tahun 2013 sebanyak RM363.39 juta, iaitu pengurangan sebanyak RM124.39 juta. Ini adalah kerana kurangnya keperluan untuk pengambilan tanah di mana peruntukan yang disediakan untuk tahun 2014 adalah sebanyak RM2.65 juta berbanding RM57.99 juta pada tahun semasa 2013. Di samping itu, tumpuan kepada perancangan projek Pembangunan adalah juga mengutamakan projek-projek people centric dan peningkatan kemudahan-kemudahan awam, serta kemampuan dan keupayaan jabatan pelaksana/teknikal untuk melaksanakan projek-projek pembangunan mengikut jadual bagi mengelakkan shortfall. Mengambil kira pendekatan ini, maka lapan (8) daripada sembilan (9) jabatan telah disediakan peruntukan Pembangunan yang kurang berbanding tahun 2013 lalu. Hanya untuk Jabatan Hal Ehwal Agama disediakan pertambahan peruntukan sebanyak RM953,030 iaitu berjumlah RM11.17 juta berbanding jumlah peruntukan pembangunan sebanyak RM10.22 juta yang diluluskan untuk tahun 2013. Pembiayaan tambahan ini adalah untuk membiayai pelaksanaan projek-projek pembinaan masjid yang dibiayai secara bersama dengan Kerajaan Persekutuan di bawah dasar 70% Persekutuan dan 30% Negeri.

113. Terdapat pengurangan yang ketara kepada peruntukan Pembangunan Jabatan Kerja Raya (JKR) di bawah Maksud P12 iaitu peruntukan yang disediakan untuk tahun 2014 ialah sebanyak RM28.23 juta berbanding RM41.6 juta yang diluluskan untuk tahun 2013. Pengurangan ini ialah kerana keperluan peruntukan untuk projek-projek infrastruktur baru sejumlah RM49 juta diletakkan di bawah vot Pembangunan P16 Jabatan Kewangan Negeri (JKN). Dalam hal ini, Kerajaan Negeri mencadangkan supaya projek-projek infrastruktur baru dilaksanakan oleh PDC supaya memberi ruang kepada JKR untuk memberi tumpuan khusus kepada projek-projek penyelenggaraan. Ini juga selaras dengan usaha Kerajaan Negeri dalam memberi penekanan kepada budaya penyelenggaraan supaya masyarakat dapat mengoptimumkan penggunaan kemudahan awam yang disediakan oleh kerajaan.

114. Di bawah Maksud Pembangunan P16 JKN juga, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM12 juta untuk pembiayaan projek-projek kecil infrastruktur dan projek-projek khas serta bekalan untuk manfaat masyarakat setempat yang boleh diluluskan mengikut KADUN. Dalam tahun 2014, bagi 10 kawasan yang diwakili oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM40,000 setiap KADUN untuk pembiayaan projek-projek kecil yang boleh dicadang oleh Y.B. ADUN Barisan Nasional. Peruntukan ini merupakan tambahan kepada 10 KADUN terlibat memandangkan Kerajaan Negeri juga menyediakan peruntukan untuk pembiayaan projek-projek kecil infrastruktur dan projek-projek khas serta bekalan untuk manfaat masyarakat setempat di 10 KADUN terlibat melalui Penyelaras-penyelaras KADUN yang dilantik. Nyata sekali, Kerajaan Negeri tidak mensisihkan mana-mana kawasan dalam Negeri ini tetapi sebaliknya mengimbangkan keperluan yang saksama untuk kesejahteraan rakyat Negeri Pulau Pinang amnya.

PENUTUP

Y.B. Dato’ Speaker,

115. Kesimpulannya, apa yang telah dirangka dan akan dilaksanakan pada tahun hadapan merupakan visi bagi memenuhi aspirasi dan kehendak rakyat. Rakyat telah memberi mandat kepada Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat untuk terus memimpin dan kita mahu pastikan agenda pembangunan dapat terus diperkasakan dan sekaligus meningkatkan lagi taraf dan kualiti kehidupan rakyat Negeri Pulau Pinang. Kejayaan yang kita telah capai setakat ini bukanlah mudah. Banyak bebanan daripada Kerajaan Barisan Nasional yang perlu kita tanggung tetapi jelas dengan perencanaan yang strategik, komitmen, ketegasan pelaksanaan serta political will kita mampu membuktikan bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat adalah kerajaan yang jauh lebih baik dalam 25 tahun ini di Pulau Pinang membawa arus pembangunan kepada rakyat seperti yang dijanjikan dan sebagaimana yang dirancang.

116. Akhirnya saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan saya kepada semua rakyat Negeri Pulau Pinang atas kepercayaan dan sokongan serta sumbangan yang diberikan kepada Kerajaan Negeri PR untuk terus mentadbir Negeri Pulau Pinang. Saya juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua anggota perkhidmatan awam dan anggota-anggota keselamatan yang telah berkhidmat dengan gigih dan penuh bertanggungjawab untuk menjamin kestabilan, keamanan, kemajuan dan kemakmuran negeri yang berterusan. Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua Y.B. ADUN yang sama-sama berkhidmat dengan jujur memerangi rasuah untuk mencapai kesejahteraan rakyat jelata dan kemajuan serta kemakmuran Negeri kita yang tercinta ini.

117. Saya sudahi ucapan saya dengan serangkap pantun

Pulau Mutiara digelar nama
Pulau Pinang sudah ternama
Rakyat majmuk hidup saksama
Segala rahmat nikmat bersama

Sekian, Y.B. Dato’ Speaker, saya mohon mencadangkan.

LIM GUAN ENG
KETUA MENTERI