Setiap Hari Tanpa Beg Plastik Percuma

Saya berasa amat gembira kerana dapat berhimpun bersama semua hadirin pada tahun baru ini pada pagi yang bersejarah ini bagi merasmikan Majlis Pelancaran Setiap Hari Tanpa Beg Plastik dan Upacara Sambutan 100 Tan Bahan Kitar Semula Terkumpul.

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas kepada Sunway Carnival Mall, Pusat Kitar Semula ESH, TYEYO Enterprise Sdn Bhd dan semua pihak yang turut serta dalam menjayakan Majlis hari ini.

Selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri Pulau Pinang menuju ke arah sebuah Negeri Hijau, maka pelbagai inisiatif telah dan sedang diambil oleh Kerajaan Negeri dalam usaha meningkatkan kualiti hidup rakyat jelata. Kerajaan Negeri sentiasa menyumbang dalam mengurangkan kesan tapak kaki karbon (Carbon Footprint) dalam menangani perubahan iklim (climate change) melalui pelbagai program pemuliharaan alam sekitar.

Hari ini Pulau Pinang telah mencatatkan sejarah apabila menjadi negeri pertama di Malaysia melancarkan kempen “Setiap Hari Tanpa Beg Plastik Percuma” (No Free Plastic Bags Day). Inisiatif kerajaan negeri Pulau Pinang telahpun diikuti oleh Kerajaan Persekutuan yang telahpun mulai kempen “Tanpa Beg Plastik Setiap Sabtu” hari ini juga. Sebenarnya Pulau Pinang telah mulakan inisiatif dengan Tanpa Beg Plastik percuma sehari seminggu pada 1 Julai 2009, dan kempen ini dilanjutkan kepada 3 hari dalam seminggu mulai 1 Januari 2010.

Hari ini bersama dengan 1.6 juta rakyat Pulau Pinang, kita mengorak langkah berani dengan menjalankan usaha menjaga alam sekitar sepanjang masa sepanjang tahun. Kita harap usaha mengurangkan penggunaan beg plastik ini akan membolehkan kita mencapai wawasan menjadi negeri hijau pertama di Malaysia. Kami bersedia bekerjasama dengan semua pihak termasuk Kerajaan Persekutuan untuk menjayakan inisiatif ini.

Akan tetapi, kami kesal bahawa BN dan Gerakan Pulau Pinang telah memilih untuk berdiri bersama Persatuan Pekilang Plastik Malaysia atau Malaysian Plastic Manufacturers Association(MPMA) menentang inisiatif hijau kerajaan negeri Pulau Pinang. Kami kurang faham macam mana mereka ini boleh galakkan pengurangan beg plastik dengan megedarkan 180,000 helai beg plastik percuma mulai bulan Januari tahun 2011.

Sekiranya pihak pro-beg plastik ini begitu yakin bahawa beg plastik 100% boleh dikitar semula, mengapa mereka tak pergi kutip semua beg plastik terpakai yang berselerak di tapak pelupusan Pulau Burung, di tepi jalan, tersumbat di dalam sungai, di dalam longkang? Tak kan MPMA, BN dan Gerakan Pulau Pinang tidak tahu bahawa rakyat Malaysia membuang sumber kitar semula bernilai RM 163 juta dalam 2 tahuni ini. Setiap individu gunakan lapan helai plastik seminggu yang mengambil masa 500 tahun untuk diuraikan(decompose).

Pengurangan penggunaan beg plastik ini adalah terpakai kepada semua hypermarket, supermarket, departmental stores, farmasi, restoran makanan segera, rangkaian nasi kandar, kedai serbaneka (termasuk kiosk stesen minyak). Manakala pasar mini dan premis perniagaan tunggal juga perlu mematuhi syarat baru semasa pembaharuan lesen iaitu melaksanakan Hari Tanpa Beg Plastik 3 hari seminggu iaitu setiap hari Isnin, Selasa dan Rabu. Penjaja dan pasar adalah dikecualikan daripada peraturan baru tersebut.

Sesiapa yang masih ingin menggunakan beg plastik boleh memperolehinya dengan bayaran sebanyak 20 sen sekeping, di mana wang tersebut akan disalurkan kepada akaun Rakan Anti- Kemiskinan Negeri Pulau Pinang (RAK). Bawalah beg membeli-belah jika anda ingin menjimatkan 20sen tersebut.

Di samping itu, Kerajaan Negeri telah mengambil beberapa langkah bagi memastikan konsep 3R(Reduce, Reuse and Recycle) betul-betul dipraktiskan dalam kempen ini oleh rakyat Pulau Pinang. Antaranya ialah dengan mengedar beg membeli-belah percuma yang diperbuat daripada kain rentang terpakai. Tahun ini, Kerajaan negeri akan memperkenalkan satu bekas sampah dikitar semula setiap 100 langkah atau ‘100 Steps for Cleanliness’ di George Town dan dua tempat di MPSP.

Tuan-tuan dan puan-puan, kami ingin ucapkan tahniah kepada Sunway Carnival Mall atas penubuhan “Recycling Buy Back Centre” atau Pusat Kitar Semula ESH yang menggalakkan 3Rs dengan mengumpul lebih 100 tan bahan kitar semula dalam satu tahun untuk dijual dengan untungnya diberi kepada pengguna, bukannya untuk Sunway Carnival Mall.

Saya difahamkan kos pelupusan sampah bagi MPSP adalah 1 tan RM50, jadi, sekiranya 100 tan bahan kitar semula dikutip, maksudnya MPSP telah berjimat RM5000, inilah kebaikan kitar semula, rakyat boleh untung, kerajaan boleh jimat kos pelupusan sampah dan bumi boleh diselamatkan. Saya berharap Recycling Buy Back Centre ini boleh diteladani oleh lebih banyak pusat membeli-belah di Pulau Pinang supaya kadar kitar semula boleh ditingkatkan lagi.

Kita haruslah sentiasa mengingati bahawa kita bukan mewarisi ibu bumi ini tetapi kita pinjam daripada anak dan cucu-cicit, bumi ini mesti dikembalikannya kepada mereka dalam keadaan yang hijau dan sihat. Jadilah pengguna bijak yang tidak menggunakan beg plastik agar kita dapat menjadikan Pulau Pinang negeri hijau pertama di Malaysia dan juga menyeleamatkan bumi.

Sekian, terima kasih.

Ucapan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di Majlis Pelancaran “Setiap Hari Tanpa Beg Plastik Percuma” dan Upacara Sambutan 100 Tan Bahan Kitar Semula Terkumpul pada 1.1.2011, di Sunway Carnival Mall, Seberang Jaya.

Leave a Comment