Kerajaan Berjiwa Rakyat Yang Memartabatkan Rakyat

Ucapan Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi Pakatan Rakyat Pulau Pinang Lim Guan Eng Dalam Konvensyen Pakatan Rakyat Pertama Di Komtar, George Town Pada 21.11.2010.

Setiap hari Pakatan Rakyat memerintah di Pulau Pinang, setiap hari bertambah eratnya hubungan di kalangan pemimpin dan ahli PAS, PKR, DAP dan semakin kukuhnya kerajaan negeri PR dalam hati rakyat. Hari ini ada dua insiden yang menonjolkan hakikat ini.

Satu adalah pada waktu pagi bila Penang International Bridge Marathon dengan rasminya menjadi acara marathon yang paling besar di Malaysia seramai 24,000 peserta dari dalam dan luar negeri, yang jauh melebihi rekod sebelum ini yang dipegang oleh Kuala Lumpur Marathon sebanyak 21,000 peserta. Insiden kedua adalah kacau ganggu dan huru-hara oleh Pemuda UMNO Pulau Pinang dan konco-konconya ke atas suatu forum anti-ISA anjuran NGO di Komtar pada tengahari.

Ketika kerajaan Pakatan Rakyat menjalankan urustadbir CAT(Cekap Akauntabel dan Telus) yang baik sehingga melebihi apa yang dicapai oleh BN sebelum ini, BN dan UMNO cuba mengalihkan perhatian daripada kepincangan mereka dengan kekerasan, huru-hara malah ancaman melakukan keganasan. Tindak-tanduk melampau terbaru BN hari ini menyusuli rusuhan mereka pada 2 November 2010 di luar pintu besar Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang mencemarkan maruah dan status terunggul institusi demokrasi berpelembagaan kita.

Kita bertegas, tidak akan tunduk dengan perbuatan liar dan ganas pemimpin dan penyokong BN daripada meneruskan perjuangan membela dan memartabatkan rakyat. Kita tidak gentar kerana sedar ini adalah tindakan desperado daripada pengecut-pengecut yang hendak lari daripada hakikat bahawa mereka telah hilang sokongan dan bengkerap modal politik. Rakyat akan teringat tindakan biadab inilah yang menyebabkan BN ditolak dan kalah teruk dalam pilihanraya besar 2008.

Rakyat tidak akan lupa bahawa PR adalah kerajaan bersih dan berintegeriti sehingga buat kali pertamanya Pulau Pinang dipuji oleh Transparency International, suatu pencapaian penuh bermakna dalam tempoh masa singkat dua tahun yang tidak pernah dilakukan oleh BN semasa memerintah 51 tahun.

Rakyat akan teringat juga urustadbir baik kewangan negeri sehingga Pulau Pinang dipuji 2 tahun berturut-turut oleh Laporan Ketua Audit Negara dengan lebihan Belanjawan dan asset yang paling tinggi dalam sejarah sebanyak RM 1.1 bilion. Lebihan kewangan inilah yang membolehkan kerajaan negeri menjalankan program rakyat seperti berikut:-

1) meneruskan program penghargaan warga emas sebanyak RM100 setahun dan RM1,000 sekali sahaja kepada warisnya dan memperluaskannya pemberian RM100 setahun kepada ibu tunggal dan OKU yang akan makan perbelanjaan RM20 juta;

2) memastikan pencapaian bersejarah miskin tegar sifar dikekalkan dengan menjaminkan sekurang-kurangnya RM500 sebulan kepada setiap keluarga yang makan perbelanjaan lebih RM 3 juta setahun dan menghapuskan deposit meter air RM70 bagi keluarga termiskin ;

3) memelihara alam sekitar dan mengurangkan “carbon footprint” dengan inisiatif “Tak Ada Beg Plastik Percuma” sepanjang tahun mulai 1 Januari 2011 demi mengurangkan penggunaan beg plastik;

4) memperluaskan pemberian bantuan pembangunan kepada sekolah bantuan Cina, Tamil, mubaligh, sekolah menengah bebas Cina dan sekolah agama rakyat sebanyak RM RM12 juta;

5) menambahkan bantuan untuk hal ehwal agama Islam baik dalam bentuk ex-gratia keapda guru KAFA dan huffaz mahupun projek-projek pembangunan berlandaskan “amar maaruf nahi mungkar” sebanyak RM 63 juta;

6) membina dan mengekalkan modal insan dengan menubuhkan Majlis Sains Negeri Pulau Pinang dan Penang Tech Center melebihi RM 100 juta demi menjadikan Pulau Pinang sebagai pusat kecemerlangan sains dan teknologi;

7) mendirikan Pusat Kecemerlangan Pendidikan di Balik Pulau sebanyak RM165 juta;

8) melindungi dan memelihara warisan dengan RM3 juta;

9) Membantu meleraikan kesesakan trafik dengan menaik taraf sistem jalan dengan peruntukan RM63.75 juta berbanding RM 42.73 juta tahun ini untuk JKR dan RM 27 juta oleh MPPP untuk kesesakan daripada Udini ke Jalan Masjid Negeri;

10)Menangani bilangan kenderaan meningkat sebanyak 1,867,542 kenderaan berbanding dengan 1.5 juta orang atau 1.25 kenderaan untuk setiap orang Pulau Pinang dengan memperkenalkan sistem “Park & Ride”. Projek perintis daripada Seberang Jaya ke Bayan Lepas sebanyak RM 600,000 untuk setengah tahun;

11)peruntukan RM 5 juta untuk pembangunan pelancongan;

12)mengurangkan ancaman banjir dengan RM39.42 juta untuk JPS berbanding RM33.13 juta tahun ini;

13)meningkatkan kebersihan Pulau Pinang dengan kempen “Cleaner Greener Penang” dan memperkenalkan satu bekas sampah setiap 100 langkah atau “100 Steps for Cleanliness”. Projek perintis akan dimulakan di tapak UNESCO George Town, Seberang Jaya dan Bukit Mertajam;

14)menaikkan kadar elaun Pengerusi dan Setiausaha JKKK sebanyak RM100 lagi bermula pada Januari 2011 kepada RM450.00 dan RM350.00 sebulan;

15)menaikkan kadar biasiswa sekali ganda daripada RM240 kepada RM 480 setahun bagi pelajar Tingkatan 1 hingga 3 dan daripada RM360 kepada RM720 bagi pelajar Tingkatan 4 dan 5 yang akan makan perbelanjaan RM2 juta.

16)Memperuntukkan RM 7.5 juta untuk tujuan perpustakaan dan menjalinkan hubungan dengan negara asing demi mewujudkan masyarakat berpengetahuan dan berilmu;

17)Mengurangkan lessen penjaja dan nelayan sebanyak 50%;

18)Membiayai kerja-kerja menaik taraf rumah awam kerajaan sebanyak RM 13.5 juta;

19)Memperuntukkan RM60 juta bersama dengan PDC untuk membina sekurang-kurangnya 400 yunit rumah mampu milik di kawasan kepulauan; dan

20)Menaikkan peruntukan kepada RM5 juta untuk sukan, belia, wanita dan komuniti;

PR akan tumpukan fokus kepada usaha gigih membangunkan kerajaan berjiwa rakyat yang memartabatkan rakyat dengan menyediakan dan menikmati kemudahan bertaraf antarabangsa. Konsep kerajaan berjiwa rakyat dilaksanakan menerusi misi 3P:-

· Perkasakan rakyat dengan kepakaran, ilmu pengetahuan dan pendidikan serta menyediakan peluang yang saksama kepada semua lapisan masyarakat bagi menjana kemakmuran rakyat;

· Perkuasakan rakyat dengan hak-hak asasi, kebebasan asas dan kebertanggungjawaban serta menghormati kedaulatan undang-undang; dan

· Perkayakan rakyat dengan berkongsikan kekayaan dan hasil ekonomi demi mencapai keadilan sosio-ekonomi.

Misi 3P ini dicerminkan dalam dasar ekonomi menerusi merancakkan pertumbuhan ekonomi(pro-poor), mewujudkan peluang pekerjaan(pro-poor) dan mengatasi masalah kemiskinan(pro-poor). Adalah penting jaminan dan peluang saksama diberikan dalam sektor ekonomi, pendidikan, pekerjaan, sosial, nilai-nilai murni dan alam sekitar demi memastikan rakyat Pulau Pinang dapat hidup dengan penuh bermaruah.

Oleh kerana kita adalah kerajaan berjiwa rakyat, maka kita jaga kepentingan rakyat dan bukan kroni-kroni. Itulah sebabnya kerajaan negeri berani keluarkan arahan henti kerja ke atas kontraktor projek landasan keretapi berkembar sebanyak RM 13 bilion demi menghindari banjir besar yang berlaku di Kedah berulang di Pulau Pinang.

Itu juga sebabnya kerajaan negeri berani memartabatkan usahawan Bumiputera adalah tender terbuka melalui e-perolehan di mana kabel politik tidak diperlukan lagi sebaliknya hanya perlu kabel computer. Kontraktor Kelas F tidak perlu hanya datangnya daripada UMNO. Malah, kesungguhan kontraktor Melayu memenangi sebahagian besar kontrak kerajaan negeri(leboh 70%) sungguhpun melalui tender terbuka membuktikan bukan kontraktor Melayu yang tak mampu bersaing, hanya kontraktor UMNO yang lembik dan dayus.

Di samping itu pelaksanaan Program Titian Saksama Rakyat (PTSR) sebanyak RM3 juta membiayai program perniagaan ekonomi kecil yang melibatkan kumpulan sasar golongan ibu tunggal, orang kurang upaya, miskin tegar dan pengusaha Industri Kecil Sederhana (IKS). Program pinjaman mikrokredit tanpa faedah ini telah memberi manfaat kepada 356 peminjam dan 81% daripada jumlah tersebut atau 287 orang adalah Bumiputera dengan purata pinjaman sebanyak RM3,683.00 seorang.

Saya juga ingin kirim salam daripada Ketua Umum PKR Dato Seri Anwar Ibrahim dan sampaikan peringatan beliau. Kita akan mengharungi lebih banyak cabaran. Taktik kotor akan digunakan oleh BN yang cuba memperalatkan dan memperlaga-lagakan kita. Tetapi selagi kita berdiri teguh dan tabah hati, kejayaan pasti milikan kita. Tidak ada jalan pendek, hanya kerja keras baru boleh menyelamatkan Malaysia dan memberikan nafas baru kepada demokrasi dan perkongsian kekayaan negara.

Kerajaan berjiwa rakyat yang memartabatkan rakyat akan memberikan peluang kepada semua warga Pulau Pinang dan meraikan prestasi bakat-bakat yang cemerlang. Saya yakin Pulau Pinang mempunyai warga pintar yang paling cemerlang di Malaysia seperti artis lagenda yang tidak lain dan tidak asing lagi Tan Sri P. Ramlee, jurutera terkemuka Tan Sri Dato Professor Dr. Chin Fung Kee yang membina Komtar dan Jambatan Pulau Pinang dengan inovasi ciptaannya serta jaguh dunia squash wanita Dato Nicole David.

Pencapaian mereka bukan sahaja mengharumkan nama negeri Malaysia tetapi memberikan inspirasi kepada warga Pulau Pinang untuk merealisasikan impian kita.

“They are truly Pennag’s heroes and heroines who can unite us in times of divisiveness with their quiet excellence. An international icon in their respective fields, they mirror the champion within every Penangite, whether here or abroad.”

Itulah hasrat kita supaya kita bukan sahaja dapat mencungkil bakat tetapi dapat mengeluarkan sifat wira dan jaguh dalam setiap rakyat Pulau Pinang.

Marilah kita memberikan makna kepada motto Pulau Pinang Memimpin dan seterusnya memberikan harapan baru kepada rakyat.

Marilah kita juga memartabatkan rakyat Pulau Pinang dengan mendokong prinsip Kebenaran, Kebebasan, Keadilan, Kebajikan kepada Rakyat dan Ketakwaan kepada Tuhan.

Leave a Comment