Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang menolak kenyataan Setiausaha Agung Cuepacs

Kenyataan akhbar oleh Ketua Menteri Pulau Pinang YAB Lim Guan Eng di George Town pada 24.2.2010

Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang menolak kenyataan Setiausaha Agung Cuepacs, Ahmad Shah Mohd Zin yang meluahkan kebimbangannya berikutan penguasaan penjawat wanita dalam perkhidmatan awam yang semakin meningkat sekarang.

Kenyataan tersebut tidak boleh diterima kerana ia telah menidakkan kebolehan dan keupayaan serta sumbangan wanita dalam perkhidmatan awam.

Adalah menjadi komitmen Pakatan Rakyat selama ini untuk memberi peluang yang sama kepada kaum wanita yang berkebolehan mengembangkan potensi diri mereka serta membuat keputusan.

Kerajaaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang bukan sekadar menanam tebu di bibir tetapi mengotakan setiap tutur bicara.

Negeri Pulau Pinang merupakan negeri pertama di Semenanjung Malaysia yang melantik YDP Pihak Berkuasa Tempatan daripada golongan hawa atas kebolehannya.

Pelantikan Arkitek Patahiyah Ismail sebagai YDP Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP ) adalah bukti komitmen Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang memberikan layanan yang sama kepada semua tanpa kira kaum, agama, jantina dan latar belakang asalkan berkebolehan, cekap dan bersih.

Antara golongan hawa yang turut menjawat jawatan penting di Pulau Pinang termasuk:
* Hajjah Rohani binti Hassan sebagai Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan

* Hajjah Shamiah Haji Bilal, Penasihat Undang-undang, Majlis Perbandaran Pulau Pinang

* Dr. Judy Shoba Naidu a/p Robert Rajah, Pengarah Perkhidmatan Perbandaran, Majlis Perbandaran Pulau Pinang

* Puan Maimunah bt. Mohd. Sharif, Pengurus Besar, Pejabat Warisan Dunia

* Cik Ooi Geok Ling, Pengarah Urusan (Managing Director), Penang Global Tourism

Mereka semuanya adalah dilantik oleh Kerajaan Pakatan Rakyat.

Kalau dilihat daripada segi kemasukan ke universiti, purata pelajar wanita adalah dalam lingkungan 65 peratus, maka tidak hairanlah yang memohon jawatan perkhidmatan awam juga lebih ramai wanita daripada lelaki.

Sekiranya kita hendak menjadikan diskriminasi jantina sebagai alasan untuk tidak memberi peluang kepada penjawat awam wanita, maka ia bukan sahaja membazirkan sumber manusia tetapi juga merugikan negara.

Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang percaya bahawa sesebuah negara hanya dapat diperkayakan dengan mengamalkan prinsip 3P:-

* Perkasakan rakyat dengan ilmu pengetahuan, pendidikan dan kepakaran yang memberikan peluang yang sama untuk mewujudkan kemakmuran;
* Perkuasakan Rakyat dengan hak-hak asasi, kebebasan dan kebertanggungjawaban dan,
* Perkayakan Rakyat dengan berkongsikan hasil ekonomi bagi mencapai keadilan sosio-ekonomi.

Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang menyeru supaya semua wanita diberikan peluang yang sama mengembangkan potensi mereka masing-masing.

Sekiranya mereka tidak diberikan tempat yang selaras dengan kemampuan mereka , maka mereka yang berkebolehan akan dialu-alukan di Pulau Pinang.

Leave a Comment