Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan memohon status bandaraya bagi MPPP dalam tahun ini

Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan memohon status bandaraya bagi Majlis Perbandaran Pulau Pinang dalam tahun ini

1. Bersyukur kita kepada Tuhan dengan keredhaannya kita dapat berkumpul menyaksikan upacara angkat sumpah oleh Ahli-ahli Majlis MPPP. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat dan ahli-ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang, tuan-tuan dan puan-puan sekalian kerana sudi meluangkan masa untuk menghadiri upacara pada pagi ini.

2. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada semua Ahli Majlis di atas pelantikan mereka oleh Pihak Berkuasa Negeri dan kepada mereka yang tidak dilantik bagi tahun ini diucapkan terima kasih di atas sumbangan perkhidmatan mereka. Yang baru disambut, yang tinggal disanjung.

3. Majlis Perbandaran Pulau Pinang harus berdepan dengan hasrat orang awam untuk melihat perkhidmatan yang berkualiti dan “value for money”. Majlis Perbandaran Pulau Pinang bukan sahaja sekadar memberikan perkhidmatan kerajaan tempatan yang asas, tetapi juga memainkan peranan utama dalam melaksanakan program Kerajaan Negeri yang boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri serta membangunkan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri bertaraf antarabangsa. Majlis Perbandaran Pulau Pinang harus meneruskan perjuangan ini dengan tiga teras pembangunan ekonomi yang digariskan oleh Kerajaan Negeri iaitu merancakkan pertumbuhan ekonomi (pro-growth), mewujudkan peluang pekerjaan (pro-jobs) dan menjamin keadilan sosio-ekonomi (pro-poor).

4. Sebagaimana tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum taraf Bandaraya yang telah dianugerahkan kepada Perbandaran George Town melalui ”Royal Charter’ oleh Ratu Elizabeth II pada 1hb Januari 1957 di mana ‘Royal Charter’ ini telah mengisytihar dan melantik Perbandaran George Town sebagai Bandaraya atau digelar ‘City of George Town’ dan untuk makluman semua, lantikan dan gelaran tersebut masih wujud sehingga sekarang.

5. Sungguhpun menerusi kuasa-kuasa yang diperuntukkan oleh Akta Kerajaan Tempatan (Peruntukan-Peruntukan Sementara) 1973, Pihak Berkuasa Negeri Pulau Pinang telah menerusi satu perintah yang dipanggil ‘Kerajaan Tempatan (Penyatuan Majlis Bandaraya George Town dan Majlis Daerah Luar Bandar, Pulau Pinang) 1974′ mengisytiharkan percantuman Majlis Bandaraya George Town dan Majlis Daerah Luar Bandar Pulau Pinang pada 01.7.1974 dan menjadi satu Pihak Berkuasa Tempatan yang dikenali sebagai Lembaga Pengurus Kerajaan Tempatan Pulau Pinang yang kemudiannya digantikan dengan Majlis Perbandaran Pulau Pinang apabila Akta Kerajaan Tempatan 1976 dikuatkuasakan.

6. Saya telah mengadakan perbincangan dengan YB Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan semasa bertemu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tentang hasrat Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk memohon status bandaraya bagi Majlis Perbandaran Pulau Pinang dalam tahun ini. YB Menteri bertanya kepada saya kenapa dulu tak mahu tetapi sekarang mahu pula? Satu kertas kerja akan dikemukakan kepada pihak kerajaan pusat. Pada masa yang sama, saya berpendapat sudah sememangnya MPPP layak menjadi Bandaraya. Oleh itu, berdasarkan kepada kedudukan George Town sebagai Tapak Warisan Dunia, Kerajaan Negeri berhasrat untuk mengekalkan George Town City Council dan berharap ianya akan dipersetujui oleh pihak kementerian.

7. Menyedari bahawa sumber-sumber kewangan MPPP adalah terhad berbanding dengan perbelanjaan yang kian meningkat setiap tahun, maka untuk memastikan kutipan hasil dapat dipertingkatkan saya menghargai langkah-langkah peningkatan hasil yang diambil oleh MPPP.

8. Selain itu, saya juga amat menghargai pelbagai langkah penjimatan kos yang diambil oleh warga MPPP untuk mengurangkan kekangan kewangan seperti berikut :-

(a) Pembayaran kerja lebih masa dikawal dan dihadkan mengikut Pekeliling kecuali kes-kes yang mendapat kelulusan khas.

(b) Pembayaran tuntutan hitungan kilometer dikawal dan dihadkan mengikut pekeliling kecuali kes-kes yang mendapat kelulusan khas.

(c) Kontrak pembersihan jalan-jalan utama protocol, parit-parit besar, pasar, kompleks makanan/penjaja dan sungai dibuat sendiri oleh kakitangan Majlis dan tidak diberikan kepada kontraktor.

(d) Menukar berat kertas A4 daripada 80gm kepada 70gm dan menyeragamkan pembelian kertas di jabatan-jabatan Majlis.

(e) Menggalakkan kakitangan MPPP berjimat cermat dalam menggunakan kemudahan yang disediakan oleh MPPP

(f) Mengelakkan pembaziran penggunaan elektrik dengan menutup suis-suis lampu pada waktu rehat.

(g) Mengkaji semula kadar sewa mesin fofotstat dan mendapatkan kadar sewaan yang rendah dan diseragamkan di seluruh Majlis.

(h) Alat-alat perabot yang masih boleh diperbaiki akan diperbaiki tanpa membuat pembelian yang baru.

(i) Mengkaji semula keberkesanan penggunaan Pengawal Keselamatan di tempat-tempat yang perlu dengan mengurangkan bilangan pengawal dan bilangan jam tanpa menjejaskan tahap keselamatan di tempat tersebut.

(j) Mengurangkan bilangan suratkhabar yang dibeli untuk pejabat.

Pembelian komputer dan pencetak dipusatkan dan diseragamkan di seluruh Majlis.

Ini adalah antara langkah-langkah yang diambil untuk menjimatkan kos dengan tidak mengkompromikan mutu dan tidak menjejaskan mutu.

9. Usaha-usaha tersebut telah berjaya dilaksanakan untuk meningkatkan hasil dan mengurangkan perbelanjaan dan sukacitanya saya ingin memaklumkan bahawa :-

(a) Peningkatan kutipan kadar taksiran pada tahun 2009 berbanding dengan tahun 2008 sebanyak RM16.9 juta iaitu termasuk kutipan tunggakan kadar taksiran.

(b) Kutipan sewaan juga meningkat sebanyak RM0.7 juta pada tahun 2009 berbanding dengan kutipan sewaan dalam tahun 2008.

(c) Pengurangan kos pembersihan jalan dan parit sebanyak RM0.7 juta dalam tahun 2009 disebabkan kerja-kerja pembersihan diambil alih oleh MPPP.

(d) Pengurangan kos pembersihan pasar/kompleks sebanyak RM1.1 juta dalam tahun 2009 disebabkan kerja-kerja pembersihan diambil alih oleh MPPP.

(e) Pengurangan kos bayaran pelupusan sisa pepejal di Pulau Burong sebanyak RM1.6 juta dan dari Batu Maung ke Pulau Burong sebanyak RM1.8 juta pada tahun 2009 disebabkan kadar baru yang lebih rendah dikenakan ekoran kejayaan usaha Kerajaan Negeri mengkaji semula tawaran kontrak dengan kontraktor dengan jumlah penjimatan sebanyak RM3.4 juta.

10. Kedudukan Kewangan MPPP sehingga 31 Disember 2009 pula adalah seperti berikut :-

Pendapatan RM217.10 juta

Perbelanjaan RM169.20 juta

Lebihan *RM 47.90 juta

*Nota

Perbelanjaan tahun 2009 – Akaun Kena Bayar masih berjalan sehingga 31 Januari 2009.

11. Kerajaan Negeri mencatat lebihan sebanyak RM88 juta dan usaha ini telah dicontohi oleh MPPP sebagai teladan yang baik. Saya ingin mengucapkan syabas kepada MPPP yang telah dapat mencatatkan lebihan RM48 juta pada 2009 berbanding dengan unjuran anggaran Belanjawan Berimbang sahaja. Lebihan itu adalah satu prestasi yang baik dan berjaya mencatat rekod.

12. Ingin ditegaskan lagi bahawa untuk mencapai status sebuah bandaraya bertaraf antarabangsa, kita harus amalkan konsep 3A, 3B and 3C. Kita perlukan pegawai 3B (officers who are 3B) – yang Berani (Brave), Benar (True) and Bijak (Wise) demi memberikan perkhidmatan 3A – Available, Accessible and Affordable agar mengatasi masalah 3C di Pulau Pinang iaitu Cleanliness, Crime and Congestion. Kebersihan hanya boleh dicapai menerusi kempen pendidikan dan kesedaran, memupuk perasaan kebertanggungjawaban awam dan penguatkuasaan oleh kerajaan tempatan. Tidak lama lagi, kita akan mengumumkan Master Plan (Pelan Induk) tentang kebersihan.

13. Majlis Perbandaran Pulau Pinang ingin mengurangkan jenayah dengan program Bandar Selamat. Dalam usaha untuk menyatukan teknologi dengan sumber manusia, MPPP bercadang untuk memasang CCTV. Sebagai permulaan, Kementerian Kerajaan Tempatan merancangkan untuk memasang sebanyak 48 buah CCTV di Pulau Pinang, iaitu 24 di Pulau dan 24 lagi di Seberang Perai hampir 3 tahun yang lalu. YB Menteri telah memberitahu saya bahawa tender telah dikeluarkan kepada sebuah syarikat minggu lepas. Diharapkan pemasangan CCTV boleh dilaksana dan disempurnakan dalam suku pertama tahun ini.

14. Seterusnya untuk CCTV lain, PBT dipertanggungjawabkan untuk memasang dan menyelenggara sistem CCTV tersebut yang hendaklah disambung ke Ibu Pejabat Polis Daerah yang berkenaan manakala PDRM akan bertanggungjawab terhadap operasi dan pemantauan sistem CCTV tersebut. Untuk makluman semua, setiap tahun MPPP membelanjakan lebih kurang RM1.16 juta untuk penyediaan sistem CCTV dengan 31 buah kamera yang kini dikendalikan oleh Polis.

15. MPPP sedang merangka satu Pelan Induk Pengangkutan bagi menangani masalah kesesakan trafik. Ini adalah selaras dengan kehidupan mapan ke arah sebuah negeri hijau pertama di Malaysia di mana membolehkan rakyat menikmati suatu mutu kehidupan tinggi dalam aspek kesihatan, keselamatan dan kebersihan.

16. Sebagai negeri pertama di Malaysia yang menjalankan kempen mengurangkan penggunaan beg plastik ini, Pulau Pinang telah berjaya menjimatkan 1 juta helai beg plastik selepas dilancarkan pada 1 Julai 2009 secara sukarela sehingga 31 Disember 2008. Itulah di antara sebabnya Kerajaan Negeri telah melancarkan kempen mensyaratkan semua hypermarket dan supermarket mencatatkan klausa yang menyatakan bahawa mereka perlu manjalankan kempen tanpa beg plastik selama 3 hari seminggu dan untuk kedai tunggal sehari seminggu.

17. Kita harap dapat menjimatkan lebih banyak beg plastik kerana sememang ia dapat memerangi perubahan cuaca di mana Achim Steiner, Pengarah Eksekutif Program Alam Sekitar Bangsa-bangsa Bersatu menyatakan tahun lepas bahawa sisa plastik adalah dua kali ganda lebih besar daripada Amerika Syarikat di kesan di utara Lautan Pasifik. Pulau Pinang seharusnya berasa bangga kerana memimpin semula pengurangan penggunaan Beg plastik yang memerlukan 1,000 tahun untuk mudah terbiodegradasikan (bio-degradable) dan juga membunuh 1 juta makhluk laut sehingga menyebabkan penyu pupus. Ini adalah disebabkan penyu menggangap beg plastik sebagai obor-obor (jelly fish) dan mati kerana termakan beg plastik. Beg plastik didapati di dalam perut satu per tiga daripada mayat penyu yang dijumpai. Untuk perhatian semua, YB Phee telah melancarkan kempen kesedaran. Tindakan penguatkuasaan tidak perlu dilaksanakan buat masa ini. Di sini saya mencadangkan agar MPPP membeli satu lagi video kamera untuk pasukan penguatkuasa supaya mereka dapat merakamkan apa yang sebenarnya berlaku semasa menjalankan tindakan penguatkuasaan. Ini disebabkan tindakan penguatkuasa sering dikaitkan dengan isu perkauman. Apabila penguatkuasa mengambil tindakan terhadap penjaja Cina, mereka akan mengadu kenapa tiada tindakan diambil terhadap kaum Melayu. Bila kita ambil tindakan terhadap penjaja Melayu pula mereka bercakap tiada tindakan terhadap penjaja Cina dan India. Oleh yang demikian, adalah lebih baik jika kita dapat menunjukkan rakaman video kepada orang ramai. Yang penting di sini bukan bangsa atau keturunan seseorang, tetapi mereka yang melanggar peraturan. Asalkan dapat disabitkan kesalahan, kita akan ambil tindakan tanpa mengira bangsa. Ini merupakan syarat utama untuk menjadikan Pulau Pinang sebuah Bandaraya yang bersih, selamat dan tiada kesesakan trafik.

18. Di samping itu, MPPP akan terus berusaha untuk mengekal dan menambah kawasan hijau untuk rekreasi dan kemudahan orang awam, termasuk penyediaan tempat berjoging dan berbasikal. Bagi menyediakan infrastruktur bertaraf antarabangsa, sebuah Pusat Pameran MICE dirancang dan adalah diharapkan dapat menarik minat dan peluang perniagaan kepada rakyat Pulau Pinang. Kita sedang dalam usaha untuk mendapatkan pandangan orang ramai dan bersedia untuk mempertimbangkan pandangan yang diberikan.

19. MPPP adalah bukti komitmen Kerajaan Negeri memberi layanan yang sama rata kepada semua tanpa mengira kaum, agama, jantina dan latar belakang asalkan berkebolehan cekap dan bersih. Negeri Pulau Pinang merupakan negeri pertama di Malaysia yang melantik Setiausaha Perbandaran dan penyandang tugas YDP kerajaan tempatan daripada golongan hawa atas kebolehannya. MPPP harus mencungkil bakat supaya memilih yang paling cemerlang selaras dengan motto, ”only when you are the best then can you be on top of the rest!”.

20. Untuk tahun 2008, MPPP mempunyai 2,435 pekerja dengan gaji purata sebanyak RM 34,788 seorang. Jumlah serupa dibelanjakan untuk 2009, dan adalah perlu MPPP buktikan bahawa memang berbaloi untuk membelanjakan hampir RM 3,000 setiap orang sebulan. Itu memang berbaloi jika semua menjalankan tugas dengan sempurna. Kayu pengukur prestasi adalah berdasarkan program penyelenggaraan kemudahan-kemudahan awam seperti jalan awam, parit, lampu jalan, pasar, kompleks penjaja, padang permainan, landskap serta bangunan-bangunan milikan Majlis. MPPP hendaklah menyemai budaya penyelenggaraan di kalangan rakyat dan pegawai-pegawai Majlis. Tetapi yang lebih penting ialah sifat integriti dan saya telah mengarahkan agar kedua-dua PBT iaitu MPPP dan MPSP mestilah menyediakan Hadiah Integriti RM10,000 kepada sesiapa yang membongkarkan skandal penyelewengan dan rasuah dalam kedua-dua PBT tersebut.

21. Mengikut statistik daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan, pada suku pertama 2009, Pulau Pinang berada di tempat kedua terakhir dalam nilai projek yang diluluskan di Malaysia (iaitu projek yang diluluskan dan berjalan, COW). Pada suku kedua 2009, Pulau Pinang telah memperbaiki kedudukan ke tempat keempat dan pada suku ketiga berada di tempat ketiga di antara negeri di Malaysia. Ini menunjukkan bahawa MPPP telah memperbaiki urusan, kelulusan dan pemerosesan pelan-pelan agar lebih banyak projek pembangunan swasta dapat dijalankan. Ini bermakna lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan untuk Pulau Pinang. Pada tahun 2008 Commencement of Works(COW) yang dikeluarkan adalah RM1.13 bilion dengan 216 kelulusan. Sehingga akhir September 2009, ada 151 kelulusan dengan COW bernilai RM 934.6 juta yang sangat penting untuk peluang perniagaan dan pekerjaan. Saya mengucapkan syabas kepada MPPP dan berharap ia boleh dipertingkatkan dan dipercepatkan supaya pihak swasta tidak menghadapi masalah dan pelan diluluskan dalam masa yang singkat dengan peraturan tetap dipatuhi. Untuk bulan November sahaja telah melebihi kelulusan seluruh 2008. Projek swasta berjalan dengan lebih lancar lagi.

22. Untuk kelulusan pelan dan bangunan selalunya menjadi cabaran kepada Kerajaan Negeri dan PBT. Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa Kerajaan Negeri tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang tidak berintegriti dalam barisan kerajaan. Saya bukan main-main tetapi adalah sangat serius dalam hal ini.

23. Satu lagi perkara yang saya ingin bangkitkan di sini adalah bahawa kerja seorang Ahli Majlis bukannya sebagai ”postman” yang berperanan sebagai ”penghantar mesej” sahaja. Apabila terdapat aduan daripada orang awam, Ahli Majlis perlu turun padang dengan sendiri untuk menyelesaikan masalah dan bukannya ”tendang” masalah tersebut dari satu Jabatan ke Jabatan yang lain atau seolah-olah menganggap bahawa selepas menghantar mesej maka selesailah tanggungjawab mereka. Kalau begitu suka menjadi ”postman” bolehlah memohon untuk bekerja di Pejabat Pos dan bukan di MPPP. 3 KPI yang saya tetapkan untuk semua Ahli Majlis termasuk:

1. Jangan anggap diri sebagai ”postman” dan penyampai maklumat sahaja
2. Semua Ahli Majlis adalah diwajibkan untuk menjawab panggilan telefon daripada orang ramai dan diwajibkan untuk menjawab balik panggilan selepas mesyuarat jika tidak dapat jawap panggilan dengan serta merta. Saya telah menurunkan arahan bahawa semua nombor telefon Ketua Jabatan perlu diumumkan melalui media dan apatah lagi Ahli Majlis. Ini merupakan komitmen yang perlu dan juga expektasi orang ramai.
3. Semua Ahli Majlis diwajibkan turun padang termasuk Ahli Majlis yang mewakili NGO. Ahli Majlis tiada alternatif yang lebih baik untuk menyelesaikan dan memahami masalah tetapi dengan turun padang dan melihat dengan mata sendiri.

Ketiga-tiga KPI ini perlu dicapai demi menjadikan Negeri Pulau Pinang sebuah negeri bertaraf antarabangsa. Mereka yang tidak dapat memenuhi kehendak ini akan ditukar walaupun belum genap tempoh perkhidmatan.

Dengan pengiktirafan Bandaraya George Town sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 7 Julai 20008 yang lalu, kini Pulau Pinang telah menjadi salah satu destinasi tarikan pelancongan utama di rantau ini. Namun kita harus berusaha untuk memelihara, melindungi dan mempromosi bangunan warisan di George Town. Demi membantu MPPP, Kerajaan Negeri telah membelanjakan wang mendirikan World Heritage Office(WHO) di bawah pimpinan Puan Maimunah. MPPP dan WHO harus bekerjasama agar dapat menyempurnakan ciri-ciri warisan.

24. Semua agenda dan perancangan ini akan hanya dapat dilaksanakan dengan jayanya sekiranya Ahli Majlis, Ketua Jabatan, Pegawai dan kakitangan Majlis Perbandaran Pulau Pinang daripada semua peringkat dapat memberikan kerjasama sebagai satu pasukan. Kesungguhan dan komitmen tuan-tuan dan puan-puan akan menghasilkan kecemerlangan ke arah mewujudkan sebuah bandaraya yang bersih, ceria dan indah demi kesejahteraan dan keselesaan semua penduduk di kawasan pentadbiran MPPP. Marilah kita menjadikan MPPP satu organisasi yang cekal dan celik dan dapat mendirikan sebuah bandaraya bertaraf antarabangsa dan hijau yang dipenuhi oleh orang berbakat.

0 Responses to “Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan memohon status bandaraya bagi MPPP dalam tahun ini”


  • No Comments

Leave a Reply

You must login to post a comment.