Pengalaman Pulau Pinang: Perpaduan Kaum

Ucapan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng Di Konvensyen Pakatan Rakyat Di Syuen Hotel, Ipoh:

Perpaduan Rakyat Malaysia Berasaskan Kerajaan Berjiwa Rakyat Dan Kemakmuran Ekonomi Yang Berteraskan Prinsip Keadilan, Kebebasan, Kebenaran, Kebajikan Dan Ketakwaan Kepada Tuhan.

Seringkali disebutkan bahawa perpaduan kaum adalah asas pembangunan negara dan ekonomi, kemakmuran dan kemajuan, demokrasi dan keadilan sosio-ekonomi. Saya lebih suka gunakan istilah perpaduan rakyat Malaysia daripada perpaduan kaum kerana secara halusnya ini memperlihatkan perbezaan kaum lebih pentingnya daripada sifat kemalaysiaan kita.

Itulah sebabnya Kerajaan PR selalu tekankan ketuanan rakyat dan menganggap semua warga sebagai insan bermaruah bukannya warna kulit. Dengarlah komitmen kami – Bahawa kerajaan PR akan memberikan bantuan sama kepada semua rakyat tanpa kira kaum, agama, jantina dan latarbelakang.

Komitmen perpaduan rakyat inilah yang melahirkan kerajaan berjiwa rakyat berteraskan prinsip 5K – keadilan, kebebasan, kebenaran, kebajikan dan ketakwaan kepada Tuhan. Prinsip kerajaan berjiwa rakyat adalah 3P –

* Perkasakan (Enables) rakyat dengan kepakaran, ilmu dan pendidikan serta menyediakan peluang yang saksama kepada semua lapisan masyarakat demi mewujudkan kemakmuran. Contohonya adalah inisiatif wifi yang diberikan percuma kepada semua rakyat dengan tujuan menguasai aplikasi computer yang merupakan bidang paling penting dalam pendidikan masakini. Dan pemberian bantuan wang kepada sekolah Cina, Tamil dan Sekolah Agama Rakyat ataupun menubuhkan satu Hab Pendidikan agar mempertingkatkan mutu pendidikan. Di sini perlu diingatkan bahawa kita bukan mahu melihat Pulau Pinang mempunyai pakar profesional paling baik tetapi jga para ustaz dan ustazah serta huffaz. Malah buat kali pertama Pulau Pinang telah memberi penghormatan dengan memberikan pengiktirafan kepada 100 penghafal Quran atas pencapaian cemerlang mereka.

* Perkuasakan (Empowers) rakyat dengan hak-hak asasi, kebebasan dan kebertanggungjawaban supaya semua dapat peluang yang saksama dan berjaya atas usaha sendiri dan bukannya hubungan iaitu technical know-how dan bukannya technical know-who. Contohnya pinjaman mikrokredit kepada ibu tunggal dan peniaga kecil dan projek pusat CAT sebanyak RM 10 juta untuk membantu pekerja kehilangan kerja mencari kerja;

* Perkayakan (Enrich) rakyat dengan perkongsian kekayaan dan hasil ekonomi bagi mencapai keadilan sosio-ekonomi seperti menjadi negeri pertama di Malaysia basmi miskin tegar, memastikan setiap keluarga mendapat sekurang-kurangnya RM 500 sebulan, wang penghargaan RM 100 setahun kepada warga emas dan RM 1,000 kepada ahli keluarga bila meninggal.

Perpaduan rakyat dan kerajaan berjiwa rakyat tidak akan berjaya sekiranya tidak dapat menjanakan kemajuan dan gagal memastikan kemakmuran dinikmati semua. Oleh itu sungguhpun Pulau Pinang menetapkan wawasan menjanakan transformasi ekonomi kepada sebuah negeri bertaraf antarabangsa dan ekonomi berpendapatan tinggi, ia mesti memastikan pengagihan saksama.

Demi menjanakan kemajuan, 10 asas kejayaan penting telahpun dikenalpasti:-

i) Perkhidmatan awam yang berkebolehan, bersih dan cekap

ii) Komitmen ke atas pertumbuhan ekonomi; dan

iii) Kerjasama rapat di antara sektor awam dan swasta

iv) Menubuhkan kerajaan berjiwa rakyat

v) Pembentukan modal insan yang cemerlang, berdaya kreatif dan inovatif. Seperti yang kerap kali disebut, minda yang kecil membincangkan insan, minda yang sederhana membincangkan peristiwa dan minda yang unggul membincangkan idea. Kita hendaklah melahirkan minda yang unggul agar dapat menjadikan mimpi anda satu realiti

vi) Menegakkan keluhuran undang-undang dan menjamin keadilan dan keamanan rakyat

vii) Mengamalkan prinsip urus tadbir CAT (cekap, akauntable dan telus) berteraskan pemimpin berintegriti. Dalam konteks ini, kita bangga bahawa Pulau Pinang adalah negeri pertama di dalam sejarah Malaysia yang mendapat pengiktirafan Transparency International, sebuah badan unggul di dunia yang membanteras rasuah.

vii) Penjenamaan Pulau Pinang yang dikenali melalui kualiti, reliabiliti, kemapanan dan integriti. Pengiktirafan Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO adalah pencetus ke atas penjenamaan atau branding yang menarik pelancong di luar negara untuk berkunjung ke Pulau Pinang

viii) Pembangunan yang seimbang dan mapan dapat membantu mencapai status negeri hijau. Pendekatan Pulau Pinang yang memberi fokus kepada “Green Building Index”, kempen mengurangkan penggunaan beg plastik telah meletakkan pembangunan Pulau Pinang di tahap yang selesa sebagai sebuah negeri yang mesra alam

x) Perpaduan yang merangkumi masyarakat kongsi-sama (shared society) yang memberi ruang kepada penglibatan demokrasi dalam membuat keputusan, menghormati kepelbagaian budaya dan hak-hak individu, menjaminkan peluang yang saksama dan menegah diskriminasi

Dengan kata lain, amalan pentadbiran amar maaruf nahi mungkar boleh menyatupadukan rakyat kerana semua sokongkan kebaikan dan bencikan kejahatan seperti amalan rasuah.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah Kerajaan C.A.T yang mempraktikkan prinsip urus tadbir C.A.T iaitu Cekap, Akauntabiliti dan Telus berteraskan integriti dalam setiap asas pengurusan. Terima kasih saya ucapkan kepada pihak Transparency International Malaysia kerana telah memberi satu pengiktirafan kepada inisiatif Kerajaan Negeri Pulau Pinang terhadap pengamalan prinsip C.A.T sebagai satu sistem pengurusan yang baik dalam pencegahan rasuah dan penyelewengan. Ini ditambah pula Laporan Ketua Audit Negara 2008 yang juga memuji perbelanjaan berhemah Kerajaan Negeri dan konsep kerajaan berjiwa rakyat yang telah menjimatkan perbelanjaan sebanyak 12% belanjawan atau RM36 juta, dan kedudukan aset yang naik 21.1% atau RM178 juta, daripada RM847 juta ke RM1,025 juta.

Penjimatan ini berpunca daripada usaha Kerajaan Negeri mengurangkan perbelanjaan mengikut kepimpinan melalui teladan seperti menempah tambang kapal terbang kelas ekonomi, membatalkan pembelian kereta baru dan projek mewah. Di antara pembaharuan yang telah dijalankan termasuk e-tender yang memberikan penekanan bukan kepada kabel politik tetapi kabel komputer.

Demi menggalakkan anggota kerajaan mendedahkan amalan rasuah, Hadiah Integriti sebanyak RM 10,000 bersama diberikan gelaran ‘Dato” mengikut serius atau tidak kes rasuah yang dibongkarkan. Pemenang pertama adalah Yang Amat Arif Ketua Hakim Syarie Pulau Pinang, Dato Haji Yusuf bin Musa kerana beliau telah membongkar dan hentikan penyelewengan melebihi RM500 Ribu di Mahkamah Syarie, yang melibatkan bayaran balik Bon Jamin yang dilesapkan.

Anggaran oleh Transparency International menyatakan bahawa kerugian sehingga USD 40 bilion setahun disebabkan rasuah pemimpin kerajaan dan penjawat kerajaan dan oleh itu pengguna terpaksa membayar kos lebihan USD 300 bilion setiap tahun. Di Malaysia, Pemudah menganggarkan dua tahun lepas rasuah menyebabkan RM10 bilion kehilangan setiap tahun.

Keadaan sekarang bertambah buruk apabila The Star melapurkan Menteri Kewangan II beberapa hari yang lepas dan menganggarkan kehilangan RM28 bilion setiap tahun ataupun leibh RM 1,000 untuk setiap orang 27 juta rakyat Malaysia kerana tidak ada tender terbuka yang seterusnya mengakibatkan amalan rasuah bayaran lebihan dibuat. Sekiranya kita berdasarkan anggaran setiap RM1 yang dilaporkan, RM10 rasuah tidak didedahkan, maka jumlah kehilangan adalah lebih menggerunkan. Sebuah syarikat dana antarabangsa, Morgan Stanley pun menganggarkan bahawa rasuah telah mengakibatkan kerugian USD 100 bilion ataupun RM350 bilion dalam tempoh 20 tahun sejak tahun 80an, ataupun hampir RM 20,000 setiap orang untuk tempoh 20 tahun itu.

Selain daripada itu, teguran Ketua Audit Negara telah menggariskan beberapa penyelewengan yang mengejutkan, termasuk:

• Kerugian RM 1.14 bilion atas kegagalan menyiapkan projek Landasan Berkembar Elektrik Rawang Ipoh.

• Pembelian sebuah laptop dengan harga RM 42,320 dan sebuah monitor komputer 19 inci berharga RM 8,500.

• kerugian RM 7.1 bilion kerana kemungkinan Syarikat Prasarana Negara Bhd gagal memenuhi komitmen bond berkaitan dengan urusan pengangkutan dan monorel KL.

Di samping kehilangan kewangan, rasuah juga menyebabkan bangunan yang runtuh seperti stadium dan masjid di Terengganu, yang lebih menyakitkan hati ialah rasuah yang mengakibatkan kehilangan nyawa di mana tiga budak sekolah di Kuala Dipang, Perak terkorban baru-baru ini, sungguhpun titi yang dibina baru siap dibina 2 minggu yang lepas telah runtuh ke dalam sungai.

Kita harus mencipta sejarah mencari titik perpaduan dengan menubuhkan sebuah negeri bersih pertama di Malaysia dan buktikan prestasi yang jauh lebih cemerlang daripada sebuah negeri berasuah! Di mana sebuah negeri yang bersih membolehkan wang yang dijimatkan dikongsi bersama rakyat dan tidak ada lagi masjid atau stadium yang runtuh atau kehilangan nyawa.

Perpaduan juga bukan slogan kosong. Perpaduan bukanlah sebuah bangunan. Bagi saya perpaduan bererti kita ketepikan sentimen kaum dan agama untuk membolehkan kita menumpukan kepada usaha berkhidmat demi rakyat.

Izinkan saya membawakan sebuah kisah di mana Khalifah Syaidina Umar Abdul Aziz menjawab sepucuk surat yang diterima daripada salah seorang pembesarnya :

Suatu hari salah seorang pembesar menulis surat kepadanya:

“ Sesungguhnya kota kami telah roboh, jika Tuan perkenankan hendaknya mengirimkan sejumlah wang untuk mengubahsuai dan membaikinya untuk membina semula..”

Khalifah Umar menjawab surat tersebut dengan berkata :

“Saya telah memahami isi kandungan surat tuan, dan tuan mengatakan bahawa kota tuan telah roboh, jika tuan membaca suratku ini, maka bentengilah atau jagalah kota kalian dengan keadilan, dan bersihkan jalannya daripada kezaliman, itulah sebaik-baik tembok yang selamat bagi kota tuan dan rakyat negeri tuan.”

Maksud yang tersirat yang ingin disampaikan oleh Khalifah Umar adalah bahawa jadikan prinsip 5K keadilan, kebebasan, kebenaran, kebajikan dan ketakwaan kepada Tuhan sebagai benteng dan tembok kami dan pasti kota perpaduan rakyat akan berjaya dibangunkan.

Jadi apakah yang boleh kita berkongsi dengan pengalaman perpaduan kaum di Pulau Pinang? Sebagaimana yang diketahui umum, Pulau Pinang adalah sebuah negeri yang bermasyarakat majmuk. Ia juga satu-satunya negeri di Semenanjung di mana kaum Bumiputera dan Melayu tidak menjadi majoriti. Sejak lebih 50 tahun negeri ini diperintah oleh Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional, masalah perpaduan kaum belum selesai.

Mengapa terjadi begitu? Saya rasa ramai yang tahu jawapannya. Sistem politik dan amalan sosial BN melalui UMNO dan parti-parti komponennya bergerak atas landasan kaum. Ini telah mewujudkan segregasi kaum di mana ia telah mencetuskan perasaan syak-wasangka antara kaum. Ini adalah kerana hanya dengan mengamalkan dasar pecah dan perintah barulah UMNO dan BN boleh terus berkuasa.

Itulah sebabnya selama 51 tahun memerintah orang Melayu masih miskin dan 90% miskin tegar adalah orang Melayu. Konsep kerajaan berjiwa rakyat dan perpaduan rakyat PR membolehkan PR membasmi miskin tegar hanya dalam setahun apa yang gagal dilaksanakan oleh UMNO dan PR dalam 51 tahun. Kami laksanakan usaha ini tanpa mengira kaum. Namun, apabila dilihat dari perangkaannya, kebanyakan mereka yang miskin adalah dari kaum Bumiputera. Jadi secara tidak langsung bantuan banyak diberikan kepada mereka. Inilah asas keadilan. Inilah juga keadilan yang dituntut oleh semua ajaran agama.

Dalam kes Kampung Buah Pala yang diduduki lebih 150 tahun, kerajaan BN anggap penduduk sebagai setinggan yang dihalau dengan sebuah rumah pangsa RM 75,000. Sebaliknya kerajaan PR memberikan mereka hak milik geran rumah dua tingkat bernilai RM 600,000. Itulah perbezaan BN dan PR di mana satu gunakan politik perkauman manakala kita gunakan politik keadilan.

Saya yakin usaha sebegini dapat merapatkan hubungan antara kaum dan akan membolehkan rakyat kita yang selama ini terpisah oleh politik kaum dan agama boleh kembali bersatu.

Apabila rakyat melihat dan mula yakin bahawa kaum dan agama bukan faktor pemisah, mereka akan mendapat keyakinan baru untuk membuat perubahan. Bagi saya, jika Pakatan Rakyat mahu mendapat mandat yang lebih besar dalam PRU akan datang, semua usaha yang berteraskan keadilan dan hak saksama perlu diperluaskan lagi tanpa mengira kaum dan agama.

Hanya dengan bersatu-padu sebagai bangsa Malaysia dan warga Pulau Pinang tanpa mengira warna kulit dan agama barulah kita dapat mencapai kejayaan. Itulah cabaran kita untuk membuktikan seorang pemimpin Cina boleh jaga kepentingan orang Melayu, seorang pemimpin Melayu boleh jaga kepentingan orang Cina dan seorang pemimpin India boleh jaga kepentingan Cina dan Melayu. Pendek kata, walau apa pun warna kulit atau kepecayaan agama seorang pemimpin, tugas dan tanggungjawabnya adalah untuk menjaga kepentingan semua rakyat.

Kita tidak mahu dengar lagi pemimpin yang berkata kononnya dia adalah pemimpin untuk semua tetapi amalannya jelas berpihak kepada satu kaum. Malah apabila parti-parti politik BN yang jelas berjuang hanya untuk suatu kaum, itulah yang menjadi duri dalam daging kepada usaha perpaduan kaum. Bukan sahaja parti-parti ini tak mahu bantu kaum lain, malah kaum lain pun tidak dibenarkan menjadi ahli parti seperti itu.

Sekali lagi saya tegaskan, tidak timbul soal sama ada kerajaan negeri Pulau Pinang memberi keistimewaan kepada kaum Cina atau Melayu atau India sahaja kerana kami hanya berkhidmat untuk semata-mata rakyat, terutamanya mereka yang benar-benar perlu dibantu, tanpa mengira kaum dan agama.

Marilah kita membentuk perpaduan rakyat Malaysia berasaskan kerajaan berjiwa rakyat dan kemakmuran ekonomi yang berteraskan prinsip keadilan, kebebasan, kebenaran, kebajikan dan ketakwaan kepada Tuhan

Sebagai penutup, terimalah serangkap pantun daripada saya :

Negara Malaysia, anak berharga

Adil ditegak rakyat dijaga,

Integriti Bernyala Harapan Bersinar

Amar Maaruf Nahi Mungkar

Leave a Comment