UCAPAN PENGGULUNGAN (Part 4)

PENERANGAN
Yang Berhormat Tuan Speaker,

56. Untuk makluman Y.B ADUN Tanjung Bungah, perkara mengenai Freedom of Information Bill, kerajaan dinasihatkan oleh YB Penasihat Undang-Undang Negeri ia adalah di bawah bidang kuasa Persekutuan dan bukan bidang kuasa kerajaan negeri. Walau bagaimanapun kerajaan negeri masih menerokai perihal perundangan dan juga menggariskan garis panduan yang tidak melanggari perlembagaan persekutuan dan kuasa kerajaan pusat. Satu jawatankuasa Kebebasan Maklumat CAT masih menjalankan kerja berkaitan dengan perkara ini yang dipimpin oleh ahli Exco YB Batu Maung.

57. Kerajaan Negeri juga telah mengambil inisiatif dengan menganjurkan Forum Awam Wireless@Penang pada 8 November 2008 di Geodesic Dome KOMTAR dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). Forum ini telah mengetengahkan pembentangan oleh individu-individu bertauliah daripada sektor seperti SKMM, Malaysian Nuclear Agency dan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Universiti Malaya. Objektif forum ini adalah untuk memberi maklumat dan penjelasan kepada orang awam mengenai isu-isu radio frequency radiation serta electromagnetic field (eml) khususnya kenyataan World Health Organisation bahawa liputan WIFI adalah selamat.

58. Menjawab soalan daripada YB Sungai Dua berkenaan dengan isu pelantikan orang luar sebagai Timbalan Pengurus Besar PDC yang dikhuatiri akan menjejaskan peluang kenaikan pangkat pegawai PDC, ingin saya jelaskan di sini bahawa pelantikan Encik Julian Candiah sebagai Timbalan Pengurus Besar 1 PDC diputuskan di dalam Mesyuarat Lembaga PDC pada 23 Mac 2009 di mana pelantikan beliau adalah untuk tempoh kontrak 1 tahun dengan tujuan yang khusus untuk mempertingkatkan pencapaian PDC. Pelantikan beliau juga adalah bertujuan untuk melaksanakan beberapa program khusus untuk PDC. Encik Julian Candiah mempunyai Kepujian Kelas Pertama dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal dari Cambridge University dan juga Sarjana dari Cambridge University, semua menerusi biasiswa. Beliau hanya menerima RM 4,000.00 sebagai elaun untuk berkhidmat kepada Kerajaan Negeri sedangkan beliau boleh berkhidmat dengan pihak swasta dengan pendapatan sehingga 7 angka.

59. Memandangkan tempoh perkhidmatan beliau hanya untuk tempoh 1 tahun sahaja dan dengan tujuan yang khusus, pegawai PDC akan berpeluang mengisi jawatan ini kelak.
60. Berdasarkan garis panduan JPA, individu yang mempunyai kelayakan dan kemahiran tertentu adalah dibenarkan dilantik di dalam perkhidmatan secara kontrak.

61. Saya tidak faham mengapa pembangkang perlu menimbulkan persoalan tentang pelantikan Encik Julian Candiah, seorang yang berkaum India sebagai Timbalan Pengurus Besar 1 PDC, tetapi berdiam diri apabila Kerajaan Negeri melantik Puan Wan Zailena Binti Mohd Noordin, seorang wanita berkaum Melayu sebagai Pengurus Besar InvestPenang. Pembangkang juga tidak mempersoalkan tindakan Kerajaan Negeri apabila kami melantik Dato’ Abd Rahim Bin Uda sebagai Pengerusi Lembaga Rayuan Negeri Pulau Pinang yang mengganti tempat Puan Ho Mei Ching. Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang memilih calon yang paling sesuai dan berkebolehan untuk jawatan tertentu tanpa mengira kaum, jantina, keturunan, fahaman politik dan umur. Kami berharap semua warga Pulau Pinang yang berbakat akan mendapat peluang yang sama rata untuk satu masa depan yang lebih cerah.

Kes Bekalan Air Dingin dan Hawa Dingin di Bandar Perda

62. Kegagalan bayan bil letrik melebihi RM1.1 juta kepada TNB oleh Syarikat District Cooling System(DCS) yang menghadapi kerugian sebanyak RM150,000 sebulan sejak bulan Ogos 2008 telah menjejaskan bekalan air dingin kepada Aeon dan hampir 20 premis perniagaan yang lain termasuk LHDN, Balai Polis dan Ibu Pejabat MPSP.

Dalam mesyuarat pada 13/3/2009, TNB telah memberi amaran kepada DCS untuk memutuskan bekalan elektrik mereka pada 20/3/2009. Ini bermaksud semua pengguna air dingin dalam Bandar Perda termasuk agensi-agensi kerajaan akan menghadapi masalah kekurangan hawa dingin mulai dari 20/3/2009.

63. Dalam kes ini, difahamkan bahawa D Aseana Mall Sdn Bhd adalah Syarikat milikan Aseanea Development Sdn Bhd yang telah menandatangani satu surat perjanjian usahasama (JV Agreement) dengan Perda pada 14.11.1994. Syarikat-syarikat ini mempunyai Ahli Lembaga Pengarah terdiri daripada pemimpin UMNO dan mereka mempunyai tanggungjawab moral dan tugas etika untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Director-director D Aseana Mall Sdn Bhd.

Dato’ Omar bin Hajji Faudzar
Ketua Bahagian Umno Bukit Gelugor

Dato’ Abd Aziz bin Haji Sheikh Fadzir
Ahli Majlis Tertinggi (Lantikan Presiden)

Dato’ Musa bin Haji Sheikh Fadzir
Ketua Bahagian Umno Bukit Mertajam

64. Akhirnya, atas desakan kerajaan negeri, hutang kepada TNB yang tertunggak sehingga RM1.1 juta telahpun dibereskan dan dilangsaikan. TNB telahpun mengucapkan terima kasih atas bantuan kerajaan negeri mengatasi masalah ini dan kerajaan negeri berbangga dapat memujuk UMNO atau syarikat yang berkaitan dengan UMNO membayar hutang bank kepada MPSP dalam bentuk cukai pintu ataupun syarikat swasta. Inilah prinsip yang kita mahu selepas tsunami politik Mac 2008 iaitu mendaulatkan undang-undang yang sama rata baik untuk orang biasa ataupun orang besar macam UMNO.

65. Menurut kenyataan Yang Berhormat Penaga, dulu semasa Pakatan Rakyat menjadi pembangkang selalu mengatakan Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu “kautaw” kepada UMNO dan Dato’ Seri Abdullah Badawi, tetapi dalam isu pemilihan Timbalan Ketua Menteri I pula tunggu Anwar dan adakah ini tindakan yang “kautaw” kepada Anwar?
66. Sekarang saya ingin tanya Y.B. Penaga, adakah tindakan mengoyak gambar pemimpin parti komponen di khalayak umum itu tindakan yang menghormati parti komponen Barisan Nasional? Adakah YB menyokong tindakan koyak gambar tersebut? Kenapa tiada apa-apa tindakan pohon maaf yang disalurkan kepada Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon selepas peristiwa tersebut sehingga sekarang? Ini yang dikatakan hubungan erat antara parti komponen? Inikah cara bekerjasama antara UMNO dengan Parti Gerakan?
67. Selain itu, saya juga berasa kesal terhadap kenyataan YB Penaga yang mengatakan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang bohong kepada rakyat dalam isu membasmi miskin tegar. Sekiranya YB dapat maklumat keluarga miskin tegar tolonglah bantu rakyat miskin dengan memberitahu kepada Jabatan Kebajikan dan bukannya membuat publisiti murah. Kerajaan pernah menjemput pembangkang untuk bekerjasama dalam usaha membasmi miskin tegar, iaitu mencari keluarga miskin tegar di Kawasan masing-masing tetapi niat baik Kerajaan Negeri telah ditolak. Kami tidak kisah malah membantu pihak pembangkang menjalankan tugas mereka di kawasan mereka. Untuk makluman semua, kebanyakan keluarga miskin tegar yang kami hulurkan bantuan adalah dari KADUN pembangkang, iaitu di Seberang Perai Utara dan Seberang Perai tengah.

68. Yang Berhormat Sungai Dua mengatakan bahawa sekiranya Kerajaan Negeri ingin meminta apa-apa peruntukan dari Kerajaan Pusat, haruslah minta secara baik. Namun, semasa kita lihat keadaan di Pulau Pinang, apabila pembangkang hentam Kerajaan dalam pelbagai isu, namun bantuan tetap disalurkan kepada kawasan pembangkang. Bukan sahaja dalam projek RAK (Rakan Anti Kemiskinan), malah semua kejadian dan malapetaka alam semulajadi yang berlaku di kawasan pembangkang juga diberi layanan dan bantuan yang sama. Inilah dikatakan tindakan yang adil.

69. Kerajaan Negeri berharap agar semua usaha dalam membangunkan Negeri Pulau Pinang akan mendapat kerjasama daripada semua Y.B. ADUN tanpa mengira fahaman politik dan agama.

70. Bagi memenuhi impian dan harapan mencapai kecemerlangan, kita mestilah berpegang teguh kepada beberapa prinsip utama iaitu berakhlak, berkebolehan, tekun, berani dan akhir sekali harapan agar tuah menyebelahi kita. Akhlak yang mulia pada hakikatnya adalah peribadi yang tidak boleh dipisahkan dengan kehidupan seharian kita dan jika tidak dijaga akan menyebabkan masyarakat itu lingkup terperosok.

71. Kerajaan negeri berbangga dengan kejayaan yang dicapai dalam setahun yang singkat ini yang saya rasa lebih menonjol dalam pemerintahan 51 tahun BN. Mahu tidak mahu, suka tidak suka, kejayaan mesti diakui. Tidak kira pelaburan pecah rekod sebanyak RM10.2 bilion, kejayaan membasmi miskin tegar negeri pertama di Malaysia, penjimatan RM11.1 juta daripada perbelanjaan berhemah dan kutipan hasil yang tidak pernah dikutip, ketegasan memerangi rasuah, kepimpinan berintegriti, bantuan wang kepada sekolah bantuan kerajaan termasuk sekolah agama rakyat, sekolah Cina, sekolah Tamil, sekolah Mubaligh dan sekolah menengah persendirian Cina, mengiktiraf kejayaan pelajar-pelajar cemerlang dan para huffaz al-hafiz untuk kali pertamanya, tender terbuka dengan e-tender agar kontrak diperolehi bukan menerusi kabel politik tetapi kabel komputer.

72. Kita mahukan kerjasama dengan kerajaan pusat. Keikhlasan kita terbukti dengan sumbangan RM15.62 bilion dalam cukai di antara tahun 2001 hingga tahun 2007. tetapi kita hanya dapat RM9 bilion sahaja. Malah peruntukan kepada Pulau Pinang telah dipotong di bawah RMK9 daripada RM6.152 bilion kepada hanya RM1.5 bilion dalam kajian separuh penggal RMK9. Kita mahu wujudkan satu pemerintahan berjiwa rakyat, berteraskan prinsip 5K, Kebenaran, Kebebabasan, Keadilan, Kebajikan dan Ketakwaan kepada Tuhan. Kita yakin dapat memperkuat dan memperkasakan keutuhan perpaduan rakyat dengan membuktikan bahawa seorang pemimpin Cina boleh menjaga orang Melayu, pemimpin Melayu jaga orang Cina dan pemimpin India jaga semua agar semua dapat berkongsi kekayaan negeri. Inilah impian bangsa Malaysia berdasarkan kebaikan, berdasarkan amar makruf nahi mungkar dan merealisasikan modal insan setiap warga Pulau Pinang.

73. Yang pipih tidak akan datang melayang, yang bulat tidak akan datang bergolek, itulah peribahasa yang menunjukkan bahawa untuk mencapai kejayaan, kebolehan sahaja tidak mencukupi tanpa ketekunan dan kerajinan. Selain daripada itu, kita juga mengharapkan agar tuah sentiasa berpihak kepada kita agar proses untuk menggapai kecemerlangan melalui jalan yang mudah.

74. Masa depan yang cerah adalah milik mereka yang berani untuk melakar impian dan menjadikan impian satu kenyataan. Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin, kita mengimpikan agar Pulau Pinang akan dapat menjadi sebuah pelantar kepada pereka-pereka ini untuk merealisasikan lakaran kecemerlangan mereka di bumi tercinta ini. Bukan sekadar melakar di alam mimpi, bukan sekadar igauan dan racauan di siang hari tetapi adalah supaya mimpi tersebut dapat diterjemahkan dengan perbuatan demi mencapai wawasan menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri bertaraf antarabangsa.

75. Dengan hati nurani yang ikhlas, marilah kita sama-sama menggembleng tenaga berganding bahu, satukan impian demi mencapai wawasan untuk menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri bertaraf antarabangsa.

76. Janganlah sentiasa mencari kesalahan orang sahaja, biarlah kita bekerja dengan mata, telinga dan hati. Pandanglah dengan mata agar nampak kebenaran, dengarlah dengan telinga agar dapat mendengar kesahihan maklumat dan rasalah dengan hati yang penuh keimanan agar fitnah dan tohmahan dapat dijauhkan. Surah Al-Baqarah ayat 191 ada menyebut bahawa “Menfitnah itu lebih dahsyat daripada membunuh”.

Y.B. Tuan Speaker, saya mohon menyokong.

Leave a Comment