UCAPAN PENGGULUNGAN (Part 2)

PELABURAN

Yang Berhormat Tuan Speaker,

15. Y.B. ADUN Kawasan Penaga telah bertanya mengenai perkembangan cadangan pelaburan daripada syarikat Korea berjumlah RM300 juta. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat syarikat pelabur tersebut pada masa kini sedang menjalankan kajian kemungkinan (feasibility study) dan laporan kajian dijangka siap dalam masa terdekat.

16. Seterusnya YB ADUN Teluk Bahang pula telah membangkitkan isu pengangguran di Pulau Pinang dan meminta penjelasan mengenai kaitannya dengan kemasukan pelaburan sebanyak RM10.2 bilion tahun lepas. Daripada jumlah tersebut, pelaburan dari bulan Januari hingga Februari 2008, pelaburan domestik adalah sebanyak RM3.1 bilion manakala pelaburan asing adalah sebanyak RM0.4 bilion. Manakala dari bulan Mac hingga Disember 2008, pelaburan domestik adalah sebanyak RM2 bilion dan pelaburan asing menjangkau ke angka RM4.7 bilion.

lge21

17. Mengikut statistik daripada Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA), pada tahun 2008 sebanyak 155 projek telahpun diluluskan dengan jumlah pelaburan sebanyak RM10.2 bilion. Projek-projek ini dijangka akan menjana sebanyak 22,215 peluang pekerjaan. Bagi menjawab kepada persoalan Adun Teluk Bahang, ingin dimaklumkan di dewan yang mulia ini, Kerajaan Negeri amatlah perihatin terhadap isu pengangguran yang berlaku di negeri ini.

18. Sepertimana yang kita sedia maklum, krisis kemelesetan ekonomi global telah memberi kesan kepada tahap pengangguran di Negeri Pulau Pinang. Ini disebabkan kilang-kilang multinasional yang beroperasi di negeri ini juga turut mengalami kesan kegawatan ekonomi global dan terpaksa mengambil tindakan memberhentikan pekerja melalui Voluntary Separation Scheme (VSS). Oleh itu, walaupun wujudnya peluang pekerjaan, terdapat kilang-kilang yang terpaksa melakukan pemberhentian pekerja. Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri telah berusaha sedaya upaya untuk mengurangkan tahap pengangguran yang berlaku di negeri ini dan di antara usaha terkini yang telah dilaksanakan ialah penubuhan Pusat Kerjaya dan Latihan Negeri Pulau Pinang (Penang Career Assistance and Training Centre (CAT).

19. 22,215 peluang pekerjaan ini tidak kesemuanya diwujudkan tahun ini kerana perlu mengambil kira masa pembinaan kilang. Yang menggalakkan ialah tidak ada seorang pelabur pun yang menarik diri daripada Pulau Pinang.

20. Saya juga ingin memaklumkan Dewan yang mulia ini bahawa, maklumat yang diperolehi adalah berdasarkan kepada jumlah pelaburan yang telah diluluskan oleh MIDA untuk tahun 2008 dan bukannya jumlah pelaburan yang telah terlaksana. Bagi pelaksanaan sesuatu projek itu, ianya akan mengambil tempoh masa tertentu bergantung kepada saiz projek. Oleh itu tempoh masa tersebut boleh mengambil masa beberapa tahun. Oleh yang demikian, peluang pekerjaan yang akan ditawarkan bagi sesuatu projek yang telah diluluskan akan berlaku sepenuhnya setelah keseluruhan projek tersebut terlaksana (disiapkan sepenuhnya). Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan investPenang dan MIDA untuk memantau projek tersebut supaya kesemua projek yang telah diluluskan bagi Negeri akan dapat direalisasikan sepenuhnya.

Yang Berhormat Tuan Speaker,

21. Y.B. ADUN Teluk Bahang ada membangkitkan isu percanggahan data pemberhentian pekerja di antara saya dan YB (TKMII) dan perangkaan mengenai pemberhentian pekerja sebenar dimaklumkan.

22. Data yang saya berikan bagi jawapan saya adalah berkenaan dengan pemberhentian pekerja kilang dalam jangkamasa Januari hingga Mac 2009 iaitu seramai 1,547 orang. Manakala statistik yang dimaklumkan oleh YB TKM II adalah untuk menjawab soalan berkenaan pemberhentian pekerja bagi seluruh Negeri Pulau Pinang untuk tahun 2008 dan 2009 (Jan-Mac) yang merangkumi pemberhentian di sektor pembuatan, perniagaan, perkhidmatan, pembinaan dan pengangkutan iaitu seramai 5,826 orang.

Data Pemberhentian Pekerja Mengikut Pecahan
Sektor Industri Bagi Tahun 2008 Tahun 2009
lge31
Sumber: Jabatan Tenaga Kerja Negeri Pulau Pinang

23. YB ADUN Kawasan Penaga telah membangkitkan mengenai perancangan jangka masa pendek dan jangka masa panjang Kerajaan Negeri untuk membantu rakyat Negeri Pulau Pinang yang telah diberhentikan kerja dengan menubuhkan pusat CAT (Career Assisted Training Centre) atau Pusat Kerjaya dan Latihan Negeri Pulau Pinang, program bimbingan untuk pengusaha dan seminar.

PELABURAN

24. Berhubung persoalan daripada YB Telok Air Tawar berkenaan peruntukkan 31 ekar tanah di Bukit Minyak untuk tapak perindustrian halal hub yang setakat ini terdapat 2 buah syarikat yang akan beroperasi di situ. Antaranya adalah Halagel.

25. Insentif pelaburan dan peluang perniagaan juga ditawarkan kepada semua pengusaha khususnya golongan Melayu dengan menggalakkan penglibatan dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan akan diteruskan. Ini boleh dilihat dengan meneroka pasaran baru di Timur Tengah dan Indonesia serta mempergiatkan penglibatan dalam industri pelancongan seperti program homestay dan kelompok ICT serta penubuhan Taman Industri Halal di Bukit Minyak.

Pulau Pinang bergerak menuju ke arah sebuah masyarakat antarabangsa yang dinamik yang perlu dikongsi dan dinikmati oleh semua warga Pulau Pinang. Itulah hasrat di sebalik inisiatif Penang@Wireless yang ingin memberikan liputan WIFI ke seluruh pelusuk Pulau Pinang dalam masa 2 tahun. Untuk memastikan semua berupaya untuk menikmati dan berkongsi perkhidmatan ini, ia akan diberikan secara percuma. Ini akan merapatkan lagi jurang digital di antara golongan berada dan tidak berada, kaya dengan miskin, kawasan bandar dengan kampung.

Saya percaya pelajar-pelajar kita akan menggunakan kesempatan yang diberikan oleh kerajaan negeri untuk menguasai ilmu pengetahuan dan pendidikan komputer serta internet, agar pelajar paling cemerlang India, Melayu dan Cina dan yang paling celik komputer adalah berasal dari Pulau Pinang.

26. Pihak PDC juga sedang merancang pembangunan projek IKS yang menyediakan ruang-ruang untuk semua pekilang IKS tempatan termasuklah industri tempatan asas tani yang mana dapat menarik pelabur-pelabur Bumiputera. Walau bagaimanapun, ianya masih di peringkat perancangan dan akan dilaksanakan tidak lama lagi. Premis tersebut akan disewakan pada kadar berpatutan dan memenuhi keperluan-keperluan lain untuk menarik pekilang-pekilang IKS.

PELANCONGAN

27. Statistik telah menunjukkan bahawa pelancongan di negeri kita telah menunjukkan pertambahan bilangan pelancong daripada 5.1 juta pada tahun 2007 kepada 6.3 juta pada tahun 2008. Oleh yang demikian, Kerajaan negeri tidak akan memandang sepi pertambahan ini dan akan berusaha untuk meneruskan momentum kejayaan ini hingga ke tahap yang lebih memberangsangkan walaupun dalam masa keadaan krisis ekonomi dunia yang telah memberi impak negatif kepada ekonomi Negara kita.

Dasar pelancongan adalah berteraskan produk, events atau persembahan dan pengalaman. Kerajaan negeri perlu memperbaiki produk dan persembahan yang sedia ada serta memperbaikinya dengan nilai tambah yang unik, semulajadi dan menyegarkan. Produk dan persembahan ini akan bercantum untuk memberikan suatu pengalaman yang paling istimewa baik dalam aspek makanan, peninggalan warisan dan budaya ataupun keindahan alam sekitar.

28. Sebagai sebuah Bandar Warisan Dunia, pelbagai factor akan diberi perhatian yang merangkumi aspek produk, program dan pengalaman akan diberi perhatian bagi menjamin perkhidmatan yang ditawarkan adalah juga bertaraf dunia. Selain daripada memperkasakan produk-produk yang sedia ada, kita juga akan menghasilkan lebih banyak produk-produk baru yang lebih menarik. Kita juga akan mempromosikan 12 jenis produk yang mesti dimiliki oleh setiap pelancong yang berkunjung ke Pulau Pinang iaitu tau sar pneah, buah pala, belacan, jeruk, sangkar burung, bahulu, rojak, minyak lenga, capal, batik, songkok dan terompah. Di sini saya amat berharap agar kita semua dapat mengenepikan fahaman politik kita yang berbeza dalam memulihara tapak warisan kita agar dapat menjadi lambang kemegahan kita hingga ke anak cucu.

29. Masyarakat kita kaya dengan pelbagai jenis perayaan dan persembahan kebudayaan yang unik, antaranya adalah persembahan chingay, perayaan thaipusam dan persembahan silat. Usaha akan dijalankan dalam memberi nafas baru kepada program-program ini di samping menjana kelainan dengan memperbanyakkan lagi program baru yang lebih menarik sepanjang tahun.

30. Sebut sahaja Pulau Pinang, semua orang akan terbayangkan makanannya yang lazat dan enak. Oleh itu, promosi makanan akan dibuat bagi memberi pengenalan tentang kehebatan makanan kita kepada pelancong luar agar mereka akan sentiasa teringatkan Pulau Pinang dan menjadikan ianya sebagai salah satu sebab kenapa mereka perlu kembali mengunjungi Pulau Pinang.

TAMAN HARIMAU

31. Kita juga berharap agar dapat menggunakan tanah semulajadi untuk pelancongan eco yang mampan dan bukan untuk projek-projek perumahan sahaja. Apabila saya melihat dua ekor harimau dikurung di dalam sangkar walaupun ia mempunyai lesen daripada pihak berkuasa, saya berasa amat susah hati dan berharap agar kita dapat memberi ruang yang lebih besar kepada binatang-binatang tersebut. Itulah yang menyebabkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang bercadang untuk mewujudkan sebuah Taman Harimau. Harimau adalah binatang yang berani dan tidak sepatutnya dikurung di dalam sangkar.

32. Cadangan untuk mewujudkan Taman Harimau masih di peringkat perbincangan berasas kepada 3 pra-syarat yang sedang dikaji keberkesanannya, iaitu:

i) PPP (public private partnership), contohnya Kerajaan Negeri hanya membekalkan tanah kepada pelabur swasta untuk menjalankan operasi dan beban kos ditanggung oleh mereka. Kerajaan Negeri tidak akan memperuntukkan sebarang bantuan kewangan tetapi dijangka akan menerima pendapatan dan juga mendorong kegunaan yang produktif terhadap tanah rekreasi simpanan untuk mengelakkan kegunaan tanah dan pertanian secara haram.

ii) Lesen untuk memelihara harimau-harimau mestilah diperolehi daripada jabatan pihak berkuasa di Malaysia dan memastikan ianya adalah setaraf dengan tahap benchmark perlindungan binatang liar.

iii) Pelabur Swasta yang bertanggungjawab ke atas projek ini mestilah memastikan keselamatan haiwan dan orang ramai bagi mengelakkan harimau ini melepaskan diri dan mencederakan penduduk-penduduk sekeliling.

Leave a Comment