Kerajaan Malaysia Perlu Desak Amerika Syarikat Hentikan Sokongan Buta Tuli Kepada Israel

Umat Islam sekali lagi menyambut Tahun Baru Hijrah pada tahun ini. Kali pertama adalah pada 10 Januari lalu dan kini pada 29 Disember, umat Islam merayakan sekali lagi Ma’al Hijrah 1430 dengan penuh semangat dan azam baru.

Dengan rasa rendah hati saya mengucapkan salam Ma’al Hijrah buat semua umat Islam di mana sahaja berada, semoga azam untuk sama-sama hidup mesra dan aman dengan rakyat Malaysia berbilang bangsa diteruskan dengan jujur dan ikhlas.

Walaupun suasana aman di negara kita, saya amat sedih dengan keadaan saudara kita di bumi Palestin yang mana lebih 200 orang terbunuh manakala beratus lagi cedera akibat serangan jet pejuang Israel di Gaza dua hari lalu.

Saya bagi pihak DAP mengutuk sekeras-kerasnya serangan Israel terhadap orang awam dan mendesak Israel supaya menghentikan tindakan ganas serta mencari jalan penyelesaian melalui usaha damai.

Bagi DAP, walau apa pun alasannya atas dasar ketenteraan, tindakan ganas yang mengorbankan orang awam tidak akan dapat menyelesaikan masalah politik. Jalan terbaik ialah meneruskan usaha damai melalui rundingan dan tidak perlu ada pertumpahan darah ke arah mencapai kedamaian di Timur Tengah.

Sehubungan itu, saya meminta Kerajaan Malaysia supaya memanggil Duta Amerika Syarikat di Malaysia untuk menyampaikan bantahan rakyat Malaysia terhadap sokongan membuta-tuli Amerika kepada Israel walaupun jelas tindakan pengeboman yang tidak berperi kemanusiaan telah membunuh dan mencederakan orang awam termasuk kanak-kanak yang tak berdosa.

Saya juga meminta Kerajaan Malaysia supaya mendesak kerajaan Amerika Syarikat untuk campur tangan bagi mendapatkan penyelesaian yang adil dan saksama untuk semua pihak yang berbalah di bumi Palestin.

Bagi DAP, ini bukan isu agama atau kaum tetapi usaha semua pihak untuk mendapatkan penyelesaian yang adil tanpa mendiskriminasi sesiapa mengikut agama dan kaum. Ini adalah soal kemanusiaan sejagat yang harus diselesaikan bersama tanpa sentimen tertentu.

Pendirian DAP adalah jelas. kami menolak sebarang tindakan keganasan, sama ada dilakukan oleh kumpulan pengganas atau mana-mana kerajaan. Selagi orang awam menjadi mangsa, selagi itulah kami menganggapnya tindakan keganasan.

Semoga Ma’al Hijrah kali ini membawa azam baru untuk semua dalam usaha mencari perdamaian sejagat serta di bumi tercinta sendiri.

0 Responses to “Kerajaan Malaysia Perlu Desak Amerika Syarikat Hentikan Sokongan Buta Tuli Kepada Israel”


  • No Comments

Leave a Reply

You must login to post a comment.