UCAPAN SEMPENA PERARAKAN CHINGAY, TARIAN SINGA DAN NAGA PESTA PULAU PINANG 2008

(pic from KwongWahYitPoh)

Bersyukur kita kerana dapat bersama-sama berkumpul di majlis yang penuh warna-warni dan meriah ini bagi menyaksikan Perarakan Chingay, Tarian Singa dan Naga 2008. Ia merupakan acara utama yang mengisi kalendar Pesta Pulau Pinang sejak beberapa tahun lepas. Bagi pihak Kerajaaan Negeri Pulau Pinang suka untuk saya merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tuan Yang Terutama Tun kerana sudi melapangkan masa bagi bersama-sama dengan kita menyaksikan kemeriahan program malam ini.

Untuk makluman Tuan Yang Terutama Tun dan tuan-tuan serta puan-puan sekalian, buat julung kalinya program ini diadakan pada hari ini tidak seperti pada tahun-tahun yang lepas di mana perarakan ini diadakan pada 25 haribulan Disember iaitu bersamaan dengan Hari Krismas atau Hari Natal. Kerajaan Negeri memutuskan untuk tidak mengadakan program ini pada Hari Krismas berikutan terdapat banyak aduan daripada pelbagai pihak pada program tahun-tahun lepas berkenaan dengan masalah kesesakan lalulintas.

Saya difahamkan perarakan pada tahun ini bermula dari Padang Brown, Datuk Keramat dan berakhir di sini. Saya juga difahamkan bahawa perarakan kali ini akan diketuai oleh brass band dari St Xavier’s Institution dengan disertai oleh 10 pasukan chingay, 10 pasukan tarian singa, 2 pasukan tarian naga, pasukan tarian kebudayaan Melayu, India dan Punjabi serta diserikan dengan lima pemenang utama Miss Pesta Pulau Pinang 2008 yang akan menaiki beca berhias khas. Bukan itu sahaja, saya juga turut dimaklumkan bahawa pada malam ini juga berlansungnya dua acara iaitu pertandingan menghias beca dan hiasan tarian singa. Pemenang bertuah akan membawa pulang wang tunai RM1,500 bagi tempat pertama, RM1,200 kedua dan RM800 ketiga.

Tuan Yang Terutama Tun, tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang baru ini mempunyai wawasan untuk mengtranformasikan Pulau Pinang sebagai sebuah Negeri bertaraf antarabangsa yang akan menjadi lokasi menarik pilihan para pelabur, destinasi pilihan para pelancong dan habitat plihan penghuni yang mengidamkan kehidupan yang mapan. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri amat komited terhadap perkembangan ekonomi Pulau Pinang serta kebajikan rakyatnya.

Menyedari hal demikian, Kerajaan Negeri sememangnya memberikan tumpuan serius terhadap sektor-sektor penyumbang kepada kemewahan ekonomi Negeri termasuk tumpuan kepada sektor pelancongan yang dilihat sebagai enjin pembangunan ekonomi Negeri ini. Oleh itu, Kerajaan Negeri sentiasa melipatgandakan usahanya dalam mengembalikan sinar dan kegemilangan Pulau Mutiara yang lalu. Tapi semuanya akan dilakukan secara berperingkat dan suka untuk saya nyatakan di sini bahawa usaha keras Kerajaan Negeri yang komited dalam memajukan semula dan menambah bilangan pelancong domestik dan asing ke Pulau Pinang mula menampakkan hasilnya. Dengan kemasukan anchor tenant – Pacific di Komtar pada 17 Disember lalu yang memberi nafas semula kepada Komtar yang nayawa-nyawa ikan sejak ketiadaan anchor tenant dari tahun 2004 dan pengoperasian semula Keretapi Bukit Bendera pada 19 Disember lalu yang tergendala dan dihentikan pengoperasiannya akibat kerosakan kabel sejak Jun 2008 lalu, akan mula menggamit para pelancong untuk bertandang ke Pulau Pinang semula.

Bagi memastikan sektor pelancongan terus menjadi penyumbang utama kepada pendapatan Negeri, Kerajaan Negeri meletakkan pelbagai strategi bagi memenuhi sasaran pelancongannya dengan memfokuskan kepada 10 teras utama pelancongan termasuk untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai Pusat Filem, Budaya dan Seni. Dan program hari ini, merupakan antara inisiatif bagi menjayakan teras berkenaan. Dengan adanya program-program pelancongan sebegini secara berterusan, menarik dan efektif, Kerajaan Negeri yakin bahawa sasaran Kerajaan Negeri untuk mencapai 17.4 juta pelancong asing dan luar negeri bagi tempoh 5 tahun (2008 – 2012) atau 3.48 juta setahun dengan perolehan pendapatan 1.4 bilion setahun, dapat direalisasikan.

Tuan Yang Terutama Tun, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati.

Matlamat tersirat penganjuran program perarakan malam ini adalah untuk meningkatkan kesedaran kepada rakyat keseluruhannya akan kepentingan perpaduan sesama kita dan antara kaum yang telah menjadi teras kepada kestabilan dan kelangsungan politik, ekonomi dan sosial negara. Saya akui bahawa perjuangan untuk memperkukuhkan perpaduan kaum merupakan perjuangan yang tiada bersempadan dan tiada penghujungnya. Justeru itu, pelbagai usaha sedang dan akan terus dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri untuk menjamin perpaduan kaum terus dipertahan dan diperkukuhkan di Negeri ini.

Selain itu, program ini juga bertujuan bagi memberi peluang masyarakat pelbagai kaum untuk mengenali dengan lebih dekat budaya serta warisan antara satu kaum dengan kaum yang lain. Dengan memperbanyakkan program-program kebudayaan pelbagai kaum sebegini, maka kita akan meningkatkan kesedaran akan kepentingan budaya – budaya yang wujud di Malaysia ini. Kita akan melupakan soal-soal perbezaan yang ada, sebaliknya kita akan mengutamakan kepada ciri-ciri persamaan yang membolehkan kita berganding bahu dan bekerjasama di antara semua kaum.

Akhir kata, saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada pihak penganjur, Persatuan Chingay Pulau Pinang, Persatuan Wushu, Tarian Singa & Naga, para penaja, mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung bagi memastikan program malam ini berjalan lancar. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Krismas atau Merry Christmas khususnya kepada mereka yang beragama Kristian dan selamat bercuti kepada semua.

Sekian, terima kasih.

0 Responses to “UCAPAN SEMPENA PERARAKAN CHINGAY, TARIAN SINGA DAN NAGA PESTA PULAU PINANG 2008”


  • No Comments

Leave a Reply

You must login to post a comment.